Huraian nasihat cendekiawan yang nama tidak diingat ini sebenarnya cukup mudah. Bila berkawan, maka berkawanlah seikhlas hati. Perkara wang yang dimaksudkannya ialah berhutang atau melakukan perniagaan.

Kita pun cuba mencabar minda cendekiawan tersebut. Kalau sudah kawan, memang tanggungjawab kawanlah memberi pinjaman kepada yang memerlukan, betul? Dengan kawan jugalah kita lebih selesa membuat perniagaan kerana tahu serba serbi sikap dan alamat rumahnya.

Itu perkara ideal dalam persahabatan. Cuma cendekiawan ini lebih berupa kepada memperkatakan aspek risiko-risiko yang boleh merosakkan persahabatan. Bila susah, kita beri pinjam. Dengan harapan, akan dibayar balik bila berkemampuan. Gaji peminjam sudah melebihi RM4,000 pun tetap liat menjelaskan balik pinjaman.

Begitu juga hal perniagaan. Jika melabur RM10,000 dan dijanjikan pulangan tahunan 10 peratus, ia haruslah dihormati dan dilaksanakan. Tetapi atas nama kawan, bukan sahaja dividen tidak diperoleh, malah terseret pula ke mahkamah kerana perniagaan menimbulkan kecurigaan pihak berkuasa. Rumit, bukan?

Jadi jalan paling mudah ialah bila berkawan, kita jaga nilai-nilai persahabatan dan elakkan daripada berdepan dengan risiko putus kawan. Satu daripadanya ialah wang. Satu per tiga pula mulut lancang. Satu per empat lagi Facebook.

Jadi apakah spesies manusia yang tidak layak dijadikan kawan? Berikut adalah senarai Merrepak:

1. Pendendam

Ali (nama samaran) adalah seorang kawan yang dikenali tetapi tidak rapat. Dia bermasalah rumah tangga dengan isterinya. Lama turun naik Mahkamah Syariah. Kita pun bukannya ambil peduli. Cuma bila terpampang di dada akhbar, baca sajalah. Maklumlah isteri Ali ini separa-selebriti. Entah apa dia marah sangat pada bininya dan Mahkamah Syariah, dengan kita sekali menjadi sasaran kemarahannya. Sistem keadilan tidak wujud, katanya. Terlalu banyak birokrasi. Benci meluap-luap. Kita cuba faham masalahnya dan dalam kebanyakan masa, tidak menanya pun hal peribadi. Yang kita tidak faham mengapa kita terus jadi tempat dia membalas dendam? Itu yang nampak dia dari jauh, kita terus menyorok sebab tidak mahu bersua.

2. Sentiasa mahu menang

Sifat ini menyerupai babun-alfa di Afrika. Dengan bontot merah terdedah dan suara menakutkan, babun-alfa akan mengarah-arah semua di dalam puaknya. Jangan ada sesiapa berani makan lebih daripadanya. Kalau ahli kata anak dia baharu masuk kolej, babun-alfa pantas menceritakan anak dia sudah semester kedua di Universiti Papua. Jauh tu.

3. Kaki provokasi

Apa sahaja isu dia mesti mahu beri ulasan. Dan dia mewakili 'suara muda’ dan 'suara liberal’. Maka diletakkan pernyataan yang jelas bernada provokasi. Masalahnya setelah lima jam terpampang di dada Facebooknya, hanya ada empat orang masuk. Lalu dia mula membelek akaun orang lain pula untuk melakukan provokasi serupa. Provokasi di halaman sendiri, bermakna kebanyakan kenalan sendiri yang membaca. Di halaman orang, itu pasti orang tidak dikenali, bukan? Pun diajaknya berdebat. Bila disindir, pandai pula melenting. Ditulisnya kepada orang asing itu Noob. Walhal dia sebenarnya bersikap Noob.

4Peduli apa hati keluarga

Benarlah sesetengah pendapat mengatakan media sosial seeloknya, jangan dibawa sama ahli keluarga. Jadi bila nak cakap apa sahaja, tidak perlu fikir sensitiviti keluarga. Dan tiada ahli keluarga akan rasa malu bila membaca pernyataan anda yang 'hipster', anti pegawai agama atau sebagainya. Anda pun tidak risau disindir ahli keluarga semasa beraya di kampung.

5. Tidak perlu Tabayyun

Berulang-kali sudah dipesan, bila menerima apa-apa kiriman atau pernyataan dalam media sosial, ambillah sedikit masa untuk menyiasat kesahihan sumber berita. Menyebar berita palsu sama seperti memfitnah yang hukumnya amat serius di sisi agama. Tapi siapa ada masa nak siasat, itu kerja orang lain. Dapat saja, kita pos balik dalam grup lain. Bila ada sesiapa menyanggah menyatakan ia berita palsu, jangan takut. Cakap sorry selesailah. Esok buat lagi dan lagi.

6. Kaki sanggah

Dalam mana-mana peradaban manusia, mesti wujud spesies manusia berhaluan kiri atau bertentangan. Biasanya, kita akan terima dan menghormati mereka yang menyanggah dengan hujah ilmiah dan cukup fakta. Yang kita tidak tahan ialah spesies manusia yang kerjanya sanggah semata-mata kerana tidak mahu dilihat bersetuju dengan orang lain. Seolah-olah jika setuju, ia merendahkan martabat dirinya. Menyanggah dengan hujah emosi dan tong kosong pun tergolong dalam kategori merendah martabat. Bab ini dia tak tahu pula.

7. Hanyut dengan populariti

Era Facebook dan Instagram ini, ramai beranggapan populariti diri disukat daripada berapa banyak pernyataan mendapat Like atau Share. Soal kandungan tulisan itu sendiri, adalah soal kedua. Yang penting tulisan hal-hal jelek, sindiran, cacian dan ketawa pasti menarik perhatian ramai. Video gempar termasuk isteri sendiri pun disiar. Itu formula menjadikan diri popular. Halal haram? Esok minta maaf saja.

8. Asyik merungut

Semalam jumpa muka kelat. Hari ini pun masam. Cerita yang keluar dari mulut ialah hal tidak puas hati terhadap orang. Tidak puas hati kepada bos. Tidak puas hati kena letak kereta tingkat lapan. Tidak puas hati Jabatan Sumber Manusia tak jawab panggilan. Tak puas hati pendingin hawa tak sejuk.

9Otak singkat

Menzahirkan rasa lega kerana tarif elektrik tidak dikenakan terhadap orang ramai, sebaliknya hanya kepada sektor komersial dan industri. Dia tidak tahu bahawa kos elektrik itu akan diturunkan kepada pengguna juga akhirnya.

10. Menghukum sebelum mahkamah

Ketawa besar sampai berguling-guling bila didedahkan rampasan harta dianggarkan bernilai begitu tinggi. Lagi kuat ketawa bila dinyatakan niat akan dilelong pula harta tersebut kelak. Ada kalangan rakyat telah melihat taktik serupa pada 1998. Belum naik mahkamah, belum diputuskan hakim, sudah ditayang tilam ke seluruh dunia. Jadi, bawa-bawalah bertenang. Tunggulah naik mahkamah dan perbicaraan. Inikan Malaysia Baru. Buanglah cara lama itu.