Apakah disebabkan tidak mendapat apa-apa itu boleh diterjemahkan sebagai anda tidak dihargai majikan? Wajarkah berperasaan sedemikian? Mengapa tidak wajar? Kita sama-sama membanting tulang untuk syarikat atau organisasi tetapi bila masa ganjaran, bukan anda yang dapat. Tidakkah ini sakit hati dibuatnya?

Semua ayat di atas berbaur negatif, bukan? Mungkin ada antara anda sudah menjang­kakan artikel Merrepak ini akan bertukar menjadi syarahan nasihat. Maaf, anda silap. Tidak ada dalam lunas Merrepak hendak jadi penasihat psikologi anda. Sudah terang lagi jelas anda memang gagal dapat ganjaran, tak perlulah cari alasan lain.

Berikut adalah 10 manifestasi yang membuktikan bahawa anda telah gagal pada mata majikan dan kaedah untuk menyerap hentakan agar anda tidak pula cari jalan pintas dengan terjun dari LRT.

1. Salah pilih kem

Bos besar tidak disambung kontrak perkhidmatan, yang mendatangkan spekulasi dua timbalannya bakal mengisi jawatan tersebut. Anda memutuskan untuk mengisytiharkan kem, meskipun dinasihatkan oleh kakak pembancuh kopi agar berkecuali. Rabu lepas, bukan kem anda yang naik pangkat. Lain kali, jangan sombong terhadap pembancuh kopi. Tidakkah anda tahu mereka inilah yang `memiliki akses’ kepada maklumat-maklumat sulit di dalam pejabat bos?

2. Lambat tunjuk rajin

Bukannya anda malas. Tidak juga rajin sangat. Berpegang kepada slogan work smart maka anda bekerja apabila ada bos berdiri berhampiran. Bunyi kelakar. Kadang-kadang susah hendak dipercayai. Tetapi elemen sebegini benar-benar wujud. Disebabkan asyik kena menjaga masa untuk tunjuk rajin, anda terlepas masa genting penilaian. Nasiblah.

3.Terlupa minta maaf

Kepala angin, manusia berangin dan pengeluar angin, adalah antara nama jolokan kepada anda, oleh rakan-rakan sepejabat. Sekali-sekala berdengus mungkin boleh lagi diampun. Tetapi disebabkan memang sudah menjadi keistimewaan diri kerana menganggap orang lain lebih rendah daripada anda, maka anda lupa untuk memohon kemaafan pada waktu yang sepatutnya. Tiada siapa mahu bos kaki gaduh, kaki buli.

4.Tidak bayar balik duit advance

Tugasan anda banyak di luar pejabat. Maklumlah kena buat pemasaran atau promosi. Jadi dalam kebanyakan masa juga memerlukan wang pendahuluan. Setakat ratusan ringgit, mungkin boleh anda ganti cepat bila dituntut oleh jabatan kewangan. Kalau ratusan ribu, masuk buku laporan disiplinlah jawabnya. Hapus sudah peluang naik pangkat.

5.Terlebih ambil cuti

Musim cuti sekolah, anda yang pertama ambil cuti seminggu. Kononnya untuk beri laluan kepada rakan anda bercuti pula masa Krismas. Lepas dia balik cuti, anda ambil lagi cuti. Walhal cuti 2018 anda sudah habis. Tahukah anda jika terlebih cuti yang diperuntukkan, organisasi boleh memotong gaji anda? Malah menafikan kenaikan pangkat anda.

6. Kerap ambil EL

Bila bekerja di dalam organisasi, bermaksud anda perlu bekerja secara berpasukan. CEO kena ada pasukan tenaga kerja. Tetapi apa erti pasukan bila anda kerap ambil cuti kecemasan (EL) terutama sewaktu tarikh akhir projek.

7. Buat tuntutan OT semasa EL

Galak betul buat tuntutan lebih masa, seolah-olah anda bekerja 24 jam tujuh hari seminggu. Tetapi anda lupa tarikh yang bila disemak oleh pegawai HR, adalah hari-hari yang anda ambil cuti kecemasan.

8. Lancang dalam WhatsApp

Kononnya, pekerja kena berani bersuara, terutama di dalam grup WhatsApp yang ada ketua di dalamnya. Sekali-sekala sindir. Sikit-sikit cuit. Kadang-kadang kirim gambar GIF Mr. Bean. Maklumlah gaji lewat dibayar. Buat lawak terhadap ketua. Lepas ini, ketua pula melawak beri anda markah penilaian rendah.

9. Asyik menyanggah SEMASA mesyuarat

Spesies ini ada di mana-mana organisasi, waima dalam kelab pakaian seragam sekali pun. Anda pasti membantah, semata-mata untuk membantah. Ini dapat dikesan bila ditanya apa cadangan untuk menangani isu yang dibantah itu, anda tidak dapat memberi jawapan munasabah, jauh sekali ‘munasarawak.’

10. Takut ambil risiko

Bukan mudah buat kepu­tusan. Sebab itu ada pemim­pin yang cari jalan sela­mat sema­ta-mata. Jadi, anda serah kepada orang lain untuk buat keputusan. Anda takut dipersalahkan, walaupun belum pasti lagi akan ada sesiapa pun hendak menyalahkan apa-apa. Akibatnya, banyak projek tertangguh.