Bagi kebanyakan pengguna Android, harga sebegitu mahal banyak melegakan. Kenapa lega? Ini kerana dengan tenang dan bersahaja dapat menepis keinginan untuk mencuba telefon berjenama buah epal itu.

Tidaklah difahami bagaimana telefon iPhone boleh diletakkan pada harga sedemikian tinggi. Seolah-olah ia amat yakin produknya tetap laris walau mahal menggunung. Dalam pasaran telefon pintar global, Apple bersaing dengan Samsung merebut kedudukan pertama dan kedua, daripada aspek jualan.

Pun begitu, pasaran semakin berlambak dengan telefon buatan China yang menawarkan ciri-ciri yang tidak ketinggalan pada harga mampu milik. Semua tahu penjenamaan Apple sekian lama telah memastikan pembelinya tidak memandang jenama lain.

Namun, dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang, apakah strategi Apple ini mampu bertahan? Apatah lagi pesaing terdekatnya Samsung memiliki model-model yang sama mahal dengan iPhone hinggalah ke paras semurah telefon jenama China. Samsung memastikan ia ada produk yang boleh melawan saingan dari setiap penjuru.

Secara sinisnya, untuk berbelanja hampir RM5,000 hanya untuk telefon pintar memerlukan bank akaun yang kukuh. Bayangkan pada harga RM5,000 juga, anda sekarang sudah boleh membeli televisyen pintar 50 inci. Namun orang akan cemuh balik: "Itu perbandingan kita yang tidak berkemampuan membeli iPhone’’. Biarkan berlalu.

Bukan soal produk yang Merrepak fokuskan hari ini. Ini adalah soal gaya hidup. Betapa mahalnya hendak mengekalkan gaya hidup jika produk import semahal RM5,000 pun kita ada hati mahu memilikinya, tanpa mengira berhutang bertahun-tahun.

Dalam laporan khas Utusan Malaysia semalam, diceritakan perihal pekerja swasta bergaji RM3,600 berdepan tekanan hidup disebabkan kos hidup yang tinggi di ibu negara.

Tiada siapa menafikan isu ini. Memang serba-serbi barang mahal sekarang. Tetapi persoalannya, apakah ia berlegar pada isu 'kos hidup tinggi’ atau sebenarnya, 'gaya hidup tinggi’ yang diamalkan oleh kita semua?

Itulah sebab saya mulakan Merrepak hari ini dengan cerita iPhone. Merungut dan memprotes kos kehidupan tidak setimpal gaji tetapi gaya hidup kita tidak mahu ubah. Oh, gaya hidup itu hak individu? Kalau anda kemaruk hendak pertahankan hujah seumpamanya, teruskanlah mengamuk tetapi ramai mahu berusaha menguruskan gaya hidup. Dan mereka inilah yang akan terlerai daripada tekanan hidup di ibu kota.

Tidak mengapalah. Siapalah saya hendak menasihatkan anda. Jadi bagaimana anda yang bergaji bawah RM3,000 boleh memiliki iPhone? Berikut adalah cadangan Merrepak yang tidak semestinya anda akur. Setakat senyum pun memadai.

1 Cari kerja dekat rumah

Bermakna kos pengangkutan sudah anda hapuskan kerana anda boleh berjalan kaki atau naik basikal ke tempat kerja.

2 Beli baju dua kali setahun

Beli baju bulan Ramadan sempena Aidilfitri dan musim jualan mega pada Disember sahaja untuk mendapatkan penjimatan maksimum.

3 Tamatkan langganan Astro

Tidak perlu tengok tv satelit sebab menerusi iPhone anda boleh melayari apa sahaja hendak ditonton.

4 Catu makanan

Hadkan belanja makanan RM10 untuk sarapan, RM10 untuk tengah hari dan RM10 untuk malam. Dengan RM30 sehari anda hanya berbelanja antara RM900-RM1,000 sebulan. Kurang daripada itu, anda bakal berdepan masalah makanan berkhasiat.

5 Berhenti merokok

Rokok premium berharga RM17 sekotak. Rokok entah apa-apa ada yang RM6 sekotak tetapi ia bagaikan meminum Coca-cola yang tiada gas. Manis ada tapi kick tiada. Jadi berhenti merokok, jimat pun jimat dan paru-paru anda bersih.

6 Tidak perlu ada kekasih

Bila ada kekasih, memang kena ada bajet lebih. Belanja tengok wayang, belanja makan. Boleh ada kekasih jika dia sedia kala kaya raya. Mungkin nasib lebih baik, dia belikan anda iPhone terbaru. Percuma!

7 Berhenti karaoke

Kecuali jika karaoke itu bersifat pertandingan dan anda berpotensi menang hadiah wang tunai, aktiviti karaoke bercorak riadah hendaklah dihentikan. Mahal sewa bilik sejam. Bila sudah karaoke, mana cukup sejam. Mesti minimum tiga jam.

8 Berniaga

Semua orang berniaga sekarang. Pandai-pandailah pilih produk yang sesuai pada jiwa anda. Jangan salah pilih. Jangan sesekali terjerumus ke dalam kancah skim piramid. Itu tidak menambah wang tapi menambah sengsara.

9 Hijrah ke bandar kecil

Tidak terlintas di kepala anda? Kenapa tidak? Bandar kecil tidak sehebat Kuala Lumpur? Hendak hebat apa? Hiburan malamnya? Bukankah semua ini menelan kos? Di bandar kecil, nasi, sayur dan ayam seketul masih boleh dibeli pada harga RM7 sepinggan. Fikirkan sejenak.

10 Guna iPhone buat duit

Selain untuk melayari laman web dan berinteraksi, gunakan aplikasi di dalam iPhone untuk menjana duit. Misalnya gambar atau lagu. Hidup kena kreatiflah! Bukan hidup asyik merungut. Rimas semua orang!