Pertamanya, secara umum pada usia 50 tahun kebanyakan daripada kita masih perlu bekerja, sama ada untuk menyara hidup atau mengelak mati kebosanan di rumah. Setuju? Jadi kita memang masih bekerja pada usia tersebut.

Tambah-tambah lagi bila ada anak masih di sekolah rendah. Kalau pencen lumayan tidak mengapa. Itu pun kalau ada pencen. Siapa suruh kahwin lepas usia 30 tahun? Ramai juga yang usia wajib bersara 60 tahun pun masih ada anak bersekolah, kena jemput hantar tiap hari. Atas sebab itulah emak nasihatkan kita kahwin pada usia 20-an.

Bagi orang Islam khususnya, inilah juga usia untuk bertenang dan meningkatkan amalan dengan mengerjakan solat serta tuntutan lain yang semasa usia muda, banyak compang-camping.

Hakikat ini kita terima tetapi tidak akan diulas secara khusus dalam Merrepak kerana bab agama ini, diri sendiri kena insaf. Kalau usia 50 tahun masih malas hendak solat berjemaah di masjid atau surau, anda memerlukan lebih daripada sekadar doa rintihan daripada semua untuk berubah.

Namun aspek yang akan diperhalusi oleh Merrepak berkaitan 'sesudah usia 50 tahun ke atas’ ialah kesejahteraan rohani dan jasmani. Jiwa kena tenang, matang dan buang jauh-jauh elemen Cong Codei. Nak marah-marah sudah tidak manis, apa lagi uban dah lebat.

Berikut adalah antara perkara yang boleh atau wajar anda lakukan bila mencapai usia emas ini. Harus diingat, ini bukan berkaitan mencari kerja baharu tetapi lebih kepada hobi atau aktiviti:

1Buka akaun Facebook/ Instagram

Seandainya anda sudah ada akaun, maka teruskan. Bagi yang belum, anda digalakkan buat satu. Ini kerana Facebook/ Instagram adalah platform hiburan dan maklumat yang lebih mengasyikkan berbanding televisyen. Menerusi televisyen, anda hanya boleh lihat orang kaya beli slot program tertentu untuk pamerkan produk mereka. Dalam Facebook/ Instagram anda boleh lihat orang kaya pamerkan kekayaan mereka tanpa kita tahu apa sebenarnya produk jualan mereka. Semua ini hiburan!

Cuma jika anda rajin mengkritik, berhati-hatilah. Kalau kejam sangat ayat anda, mungkin ada orang akan melaporkan anda kepada pihak berkuasa atas tuduhan menghasut, mencerca dan memfitnah. Jadi, jagalah disiplin. Tak manis tua-tua diheret ke mahkamah.

2. Belanja orang

Anda pergi ke restoran. Ternampak rakan lama bersama keluarganya. Anda sapa dan bersalaman. Kemudian anda ke kaunter, dan bayarkan sekali bil sahabat lama anda. Atau anda nampak anggota polis sedang berehat semasa rondaan di gerai. Anda bayarkan makanan mereka. Tidak payah umumkan. Bayar dan berlalu. Kalau cakap kuat-kuat nanti orang ingat anda hendak minta diskaun saman laju.

3Tulis memoir

Biar betul? Menulis? Membaca pun malas, ini anda disuruh pula menulis? Beginilah. Menulis kenangan-kenangan manis diri sendiri adalah satu bentuk terapi jiwa yang disaran oleh pakar psikologi. Ia boleh dijadikan panduan atau sempadan. Tidak ramai yang menulis di dalam buku hari ini. Ramai yang menulis di alam maya, sama ada disimpan di dalam blog atau apa sahaja platform yang wujud di dalam Internet hari ini. Lagipun, mungkin anak cucu anda boleh membaca tulisan anda itu suatu hari nanti, dan akan mengenali anda walaupun sesudah anda tiada lagi di dunia.

4Amalkan memberi pujian

Serius? Ya. Perkataan-perkataan positif seperti Asalamualaikum, Selamat Pagi, Salam Sejahtera, Saya suka tengok tali leher awak, Beg tangan awak sedondon dengan baju kurung dan semudah 'Terima Kasih’ pasti memberi inspirasi kepada orang sekeliling untuk turut sama ceria dan bersemangat bersama anda. Pesanan ini boleh diamalkan oleh semua peringkat usia, sebenarnya.

5. Jadi mentor

Mencapai usia jubli emas ini bukan sesuatu yang mudah. Banyak onak duri telah dilalui. Semuanya pengalaman. Carilah seseorang yang boleh menjadi anak murid anda. Curahkan ilmu dan pengalaman anda kepadanya. Jadilah Yoda. Jadilah Jedi. Tapi ajarlah betul-betul agar anak didik anda tidak menjadi Darth Vader pula.

6. Beri benda anda sayang kepada orang yang anda sayang

Pada usia ini, orang yang disayang biasanya merujuk kepada anak atau cucu. Lain daripada itu, sila guna imaginasi anda sendiri. Misalnya koleksi USB yang anda kumpul sejak tahun 2000 yang pelbagai saiz dan rupa, atau baju kelab bola yang ditandatangani pemain sebenar. Itulah warisan anda, yang akan dijaga oleh pemilik barunya yang pasti gembira kerana mengetahui barangan itu berharga beribu-ribu ringgit jika dilelong.

7. Jadi penganalisis politik

Malaysia adalah sebuah negara yang penduduknya berpolitik setiap hari. Jadi, apa salahnya anda menjadi seorang penganalisis politik. Tidak kisahlah anda sokong kerajaan atau pembangkang. Audien anda akan pantas mengesan ke mana haluan anda. Maka, jadilah penganalisis yang tulen iaitu menganalisis secara ilmiah, bukan emosi atau kepartian. Hari ini terlalu ramai penganalisis politik yang mendakwa diri mereka berpendirian 'bebas’ tetapi membohong sahaja kerjanya.

8. Jadi pakar bidang yang anda minat

Pakar di sini bukan bermakna menjadi pakar nuklear atau aeroangkasa. Mungkin selama ini anda minat kepada penternakan burung hantu tetapi sekadar membaca sahaja. Sekarang, anda gerakkan dengan membina kandang dan membeli spesies-spesies burung hantu. Kaji tabiat haiwan itu dan apa makanannya, yang mungkin boleh membantu petani menghapuskan ancaman tikus dan ular di sawah bendang. Itu contoh sahaja.

9. Jadi pengerusi alumni

Menggunakan media sosial seperti Facebook dan Instagram, anda memulakan usaha mengumpul sahabat lama persekolahan. Kenal pasti yang masih hidup. Di mana mereka berada. Ajak mereka berkumpul semula dalam majlis alumni. Mungkin mencari rakan sekelas tidak begitu mencabar. Cari rakan satu batch ambil SPM pada 1989 yang berjumlah lebih 100 orang. Ada yang ambil setahun baharu jumpa 80 peratus.

10. Belajar bahasa baharu

Biasa orang kata, payah hendak melentur buluh yang tua. Apa lagi ajak berbahasa baharu. Yang saya sarankan bukan bahasa Korea atau Perancis. Yang disarankan ialah bahasa Arab. Sendiri-sendiri kena ingatlah.