Sebelum itu, saya ingin mengulangi pendirian dan format Merrepak untuk tidak mengulas mengenai politik secara spesifik. Walaupun saya tidak pernah menyorok fakta bahawa saya adalah penyokong Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), ia tidak bermakna saya ahli politik tegar kerana saya belum berkesempatan menghadiri mesyuarat parti setakat ini.

Cuma saya yang bermastautin di ibu kota, sentiasa memastikan saya ambil tahu apa yang berlaku di Sarawak, setiap masa setiap ketika!

Keputusan untuk tidak menyentuh hal politik secara berat di dalam Merrepak telah menjadi formula yang menyenangkan pembaca yang terdiri daripada pelbagai fahaman untuk terus membaca ruangan santai dan salai ini.

Secara terbuka saya menerima kehadiran pembaca di dalam Facebook saya yang memaparkan propaganda masing-masing. Asalkan jangan tag nama saya sudah. Itu akan mendorong tindakan unfriend.

Jadi, Merrepak hari ini akan menulis mengenai politik tetapi mengikut metodologi Merrepak. Setiap hujah telah dinilai dan dibaca berulang kali, agar tidak menyentuh mana-mana pihak atau parti secara terperinci. Tema politik ini akan dipecahkan kepada beberapa topik dalam tempoh beberapa minggu mendatang ini.

Bahagian pertama ini menyentuh mengenai calon untuk menjadi calon bertanding. Faham ke tidak? Sebelum menjadi calon, seseorang itu perlu masuk menjadi calon dalam senarai yang diserahkan kepada parti masing-masing. Hanya kes terpencil dan kecil – ada individu yang mencalonkan dirinya sendiri, lalu terus menjadi calon bertanding. Lazimnya golongan diistilahkan sebagai warlords atau 'hulubalang’.

Berikut adalah ciri-ciri individu yang wajar dilayakkan menjadi calon untuk bertanding pilihan raya, mengikut metodologi Merrepak:


1. Muda

Muda ini kategori usia di bawah 45 tahun. Ada yang kata 'bawah 40 tahun’. Saya tidak bersetuju bawah 40 tahun kerana seseorang itu perlu ada pengalaman secukupnya dalam kancah politik. Usia 45 dikira tidak tua, tidak muda. 

Tapi sangat bagus untuk menggalas peranan besar. Benar, orang muda ini lazimnya penuh semangat untuk berkhidmat. Tetapi semangat sahaja tidak memadai tanpa pengalaman. Senang-senang kena belit, sia-sia saja semangat.

 

2. Cekal

Seseorang yang cekal zaman ini ialah mereka yang berani bertanding melawan orang lama, demi pembaharuan atau pembersihan. Sebelum pertandingan bermula, dia berdepan bukan sahaja kempen lawan tetapi juga fitnah-fitnah terus mengenai dirinya, zaman silamnya dan ahli keluarganya. Jika tiada kecekalan menahan diri daripada tikaman bersimpang-siur, politik bukan bidang anda.

 

3. Berjiwa rakyat

Ini bunyi cliche? Tidak. Ini benar-benar serius. Seorang wakil rakyat yang dipilih menerusi undi majoriti, harus sentiasa mendampingi rakyat. Bukan muncul semasa acara besar sahaja seperti kenduri kahwin, perarakan Hari Kebangsaan atau sambutan rumah terbuka.

Datanglah temui rakyat ketika tragedi seperti banjir atau kematian, terutamanya. Pastikan anda senang didampingi dan mudah untuk rakyat mendekati. Beritahu pembantu anda, jangan sesekali menjadi plaza tol atau mesin X-Ray di lapangan terbang.

 

4. Pintar

Abad ke-21 ini mungkin tiada lagi calon yang tidak berijazah. Inilah syarat minimum. Tidak kisahlah kalau CGPA yang diraihnya 2.2 cukup makan untuk bergraduasi, asalkan ada itu kira bagus. Ini kerana setiap parti kini cenderung membariskan calon-calon berlatar belakang perundangan, kejuruteraan dan perubatan. Ini penting kerana bilangan rakyat yang berijazah juga semakin besar.

Rakyat mahu wakil mereka setaraf pemikiran dan sama kelas. Bila cerita hal ekonomi, segala angka KDNK dihafal. Bila cerita pelaburan KWSP, keuntungan hasil di London akan dipetik sebagai hujah. Takkan hendak cerita bola sahaja. Itu sembang dengan budak-budak bolehlah.

 

5. Manusia biasa, bukan bangsawan elit

Berkait dengan perkara No. 3 iaitu berjiwa rakyat, politik tiada tempat untuk sesiapa berkelakuan seperti bangsawan elit. Pergi ke majlis, wajib ada kerusi di hadapan pentas. Atau kena ada penyambut tetamu.

Sebaliknya, jadilah manusia biasa, merendah diri sama seperti anda masuk masjid. Tiada imam tunggu anda di pintukan? Begitulah bila berjumpa rakyat. Perlukah ada orang mengiring selalu?

 

6. Tidak berniaga

Benar ada kalanya dalam membantu rakyat, seseorang ahli politik kena ada sumber kewangan kukuh. Ini kerana duit disalur parti pun tidak memadai, tambah-tambah lagi di kawasan bandar yang serba mahal. Boleh berniaga tetapi berilah proksi menjalankannya. Janganlah berpolitik sambil berniaga. Ini mendedahkan anda kepada pelbagai tohmahan. Bebaskan diri anda daripada memberi peluang kena 'tembak'.

 

7. Agama

Dalam konteks agama, hendak jadi ahli politik tidak dapat lari daripada orang melihat sisi agama anda. Jagakah solat, jagakah rukun Islam, jagakah tingkah laku? Ini penting terutama di kawasan luar bandar. Makna anda benar-benar ada kualiti dunia dan akhirat.

Tidak perlu sampai jadi imam, sebab semua tahu disiplin ahli politik agak sulit hendak mempertahankan kriteria yang dituntut untuk layak jadi imam. Memadai menjaga lima waktu solat anda. Insya-Allah, Tuhan akan membantu anda.

 

8. Keterampilan diri

Ada yang tidak kisah cara berpakaian. Apa yang ada di dalam almari, itulah yang dipakai, sampai lusuh. Ada pula yang mengalahkan model. Setiap bulan kena tempah sut. Maklumlah hendak muncul di televisyen. Nasihat terbaik ialah berpakaianlah mengikut kesesuaian masa dan tempat, mengikut kemampuan dan keselesaan anda.

Jangan berpakaian cara yang anda tidak biasa. Tidak selesa pakai tali leher, tidak perlu pakai. Rasa janggal anda sendiri akan pantas terpancar di mata orang ramai.

 

9. Bertemu media

Jika boleh, dapatkan individu yang berpengalaman untuk membantu dalam soal media. Jangan memandai-mandai jika tidak pandai. Jangan memandang remeh, pandang serong atau pandang tak pandang aspek media. Ini merangkumi media sosial. Salah sebut atau terpesong sedikit makna, nescaya wajah dan kata-kata anda jadi tular.

Cara mengelakkannya ialah benar-benar mempersiapkan diri dengan maklumat dan berbincang cara terbaik menyatakannya, sebelum bersemuka dengan media. Ia mungkin mengambil masa tetapi tidak selama masa tular yang boleh menjejaskan imej anda untuk jangka masa panjang.

 

10. Memilih 
penasihat

Pilihlah individu dengan cermat dan teliti sebelum melantiknya menjadi penasihat anda. Dan sesudah melantik, sentiasa perhatikan kaedah atau idea yang diketengahkannya. Kalau perlu, uji juga keupayaannya.

Kita tidak mahu bila ditanya mengenai peluang kemenangan anda, yang sebenarnya tipis, dijawab penasihat itu 'pasti menang’. Bencana alam akibatnya!