Oleh kerana bercerita mengenai azam tahun baharu adalah sesuatu yang maha membosankan, maka hari ini saya persembahkan:

10 hal yang saya jangka tidak akan berlaku tahun ini

1 - Manchester United menjuarai Liga Inggeris

Ramai penyokong MUFC beranggapan dengan pemain handal seperti Robin van Persie dan Wayne Rooney yang pernah bermain di bawah Sir Alex Ferguson, pasti mudah bagi David Moyes melakar kejayaan. Nampaknya tidak. Benar musim masih panjang dan MUFC mampu bangkit menjelang Mei ini. Tetapi calon pilihan kesukaan ramai, Manchester City dan Arsenal tidak pernah kalah di stadium sendiri sebanyak empat kali.

2 - Berhenti minum Starbucks

Pertama kali saya diperkenalkan kepada Starbucks ialah pada tahun 2000 di Tokyo. Populariti francais kopi ini begitu terasa kerana hampir setiap jalan utama wujud kedai- kedainya. Waktu itu saya tidak pandai minum kopi. Maklumlah berasal dari negeri bekas dinaungi Raja Brooke, maka teh adalah minuman ruji. Ada sesuatu yang luar biasa pada Starbucks ketika itu. Tiap kali berjalan di hadapan kedai, ada bau kopi yang sangat sedap. Lalu dicuba kopi tersebut. Mujurlah disebabkan tidak pandai minum kopi dan tidak sanggup menanggung kos tukaran Ringgit kepada Yen yang tinggi, maka tidak teruja dengan kopi mahal ketika itu. Beberapa tahun kemudiannya, Starbucks bertapak di Malaysia. Beza kedai Starbucks di negara ini, tidak kuat bau. Mungkin kerana ramai lebih suka ice blended.

3 - Penurunan harga barangan

Atas apa faktor sekali pun, baik oleh pasaran dunia atau tempatan, yang jelas harga barangan makin mahal terutama di bandar-bandar besar. Impaknya sangat terasa hinggakan mahu menonton wayang pun terasa perit. Tiket memang sengaja mahal, belum dicampur lagi membeli popcorn dan air minuman. Boleh melayang RM25 seorang. Kalau pergi berteman, nescaya habis RM50. Ini belum kira aktiviti karaoke. Maka kita di bandar ini nak beriadah macam mana? Nak main bola? Padang pun tiada. Futsal? RM80 sejam tapi nak cari korum 10 pemain pun susah. Mungkin masa sesuai untuk berhijrah ke bandar kecil supaya dapat menikmati nilai sebenar gaji.

4 - Menamatkan akaun Facebook

Apa lagi nak dibuat dalam Facebook? Mengepos pernyataan, luah perasaan, siar gambar selfie dan gambar makanan, kongsi nasihat entah dari mana sumber, Like sekadar nak ambil hati, unfriend bila disindir pedas, kumpul kawan beribu-ribu tapi benar-benar kenal hanya sembilan orang. Dan saya sudah tidak mengemaskini akaun Facebook sejak Oktober lepas. Itupun setelah mematikan rangkaian dengan Twitter. Nak tutup sama sekali, risau pula kehilangan hubungan sahabat-handai (yang sembilan orang itu). Biar dululah.

5 - Rancangan lawak jenaka menampilkan pelawak baharu

Sebenarnya saya yang kena lawak sebab tidak faham format. Mati-mati saya ingatkan peraduan di musim baharu akan ada kumpulan baharu. Tapi rupa-rupanya di kitar semula. Alangkah bagusnya kalau dibuat sama seperti Liga Juara-juara. Misalnya juara lawak Malaysia, bertanding dengan juara Singapura dan Indonesia. Sebab dalam format sekarang, peraduan itu seolah-olah menggambarkan hanya kumpulan yang sama sahaja paling layak mewakili negara masing-masing. Tetapi siapa kita nak pertikaikan? Tengok dan gelak sahajalah.

6 - Beli Mercedes-Benz

Saya meminati kereta ini bukan kerana hendak dipandang sebagai orang kaya. Sebab kalau tujuan itu, saya akan beli Hummer. Enjin besar, tangki minyak besar. Bila memandunya, saya kena berpakaian macam Rappers. Bila berhenti di simpang lampu isyarat, saya buka tingkap supaya orang sebelah boleh dengar lagu ‘HAVOC!' yang saya pasang sekuat-kuatnya. Maklumlah, orang yang benar-benar kaya sahaja mampu membeli dan menyenggara Hummer. Tetapi saya pilih Mercedes-Benz kerana saya mengerti kereta ini serba-serbi hebat dan dibina dengan penuh ketelitian. Cuma harganya saya tidak mampu bayar. Walau sudah diberi potongan harga istimewa tanpa cukai apa sekali pun, saya tetap tidak mampu. Toyota Camry pun tak.

7 - Tiada lagi filem bercorak gengster

Ironi sudah semacam tidak relevan lagi. Tatkala pasukan keselamatan negara gigih melancarkan Ops Cantas bagi membanteras kumpulan gengster di negara ini, makin galak pula produksi filem tempatan menerbitkan filem genre sebegini. Kita ingatkan penerbitan filem sebegini bermusim. Bila satu filem gengster meletup di pawagam, semua produksi lain pun ikut sama. Tetapi yang berlaku ialah semacam tidak berhenti-henti. Ini menyebabkan lambakan filem gengster (dan filem hantu) yang tiada kesudahan. Lagi sedih, balik-balik orang yang sama jadi gengster (dan hantu).

8 - Kulit udang dalam mi kari siap dikupas

Baiklah. Saya mengaku. Saya sudah sebut perkara ini minggu lepas. Dan ada peminat Masterchef menjawab saya dengan berkata ‘kalau udang sudah siap dikupas kulitnya, tidak akan sama rasanya’. Mungkin betul. Tapi saya mahu jawapan yang praktikal. Lihat mangkuk mi di hadapan anda sekarang. Penuh kuah, kan? Tarik mi guna penyepit atau garpu, tiada masalah. Sekarang, ambil udang. Buat keputusan waras. Awak nak mengupas kulitnya dengan jari, sekaligus mengotorkan jari anda? Atau makan dengan kulitnya sekali? Atau alangkah bagus jika udang itu sudah siap dikupas kulitnya.

9 - K-Pop diharamkan

Makin galak, makin kerap stesen radio Melayu menyelitkan lagu-lagu Korea. Kalau di televisyen, boleh juga membaca terjemahan The Running Man. Bolehlah sama-sama ketawa dengan telatah slapstik Yoo Jae-suk. Tetapi dalam radio, mana ada terjemahan. Hairannya, lagu-lagu pop Korea itu tetap mencatat markah tinggi dalam carta mingguan. ‘‘Nan ihaega an dwaeyo’'.

10 - Rakam album rock bersama Amy Search

Saya tidaklah obses kepada kumpulan rock Search walaupun hakikatnya album pertama Search diterbitkan semasa saya di tingkatan 1. Dalam erti kata lain, memang saya ‘membesar’ dengan lagu-lagu Search. Saya berkesempatan bertemu Amy Search baru-baru ini, dan sejak itu menjalin persahabatan sebagai seorang peminat dengan Rock Star. Semasa sekolah dulu-dulu, memang ada angan-angan nak jadi anggota Search dan ‘bikin album’. Sekarang pun, rasanya Amy Search akan kata ‘teruskan berangan- angan’.