Politik pejabat ini wujud di mana-mana pejabat, malah di dalam organisasi parti politik sendiri pun. Kita ingatkan sesebuah parti politik akan menumpu perhatian menentang parti lawan. Rupa-rupanya, di dalam parti itu sendiri saling berebut kuasa. Kalau anda kata tidak tahu, berhentilah sekejap membelek Instagram sahaja. Baca-bacalah akhbar agar minda dan pengetahuan anda luas sedikit.

Merrepak hari ini bukan menumpu kepada hal-ehwal parti politik tapi sipi-sipi sahaja. Kita cuba huraikan definisi 'politik pejabat’. Apakah makna 'politik pejabat’? Contoh mudah ialah bila anda dapat rasa, lihat dan dengar mengenai individu di dalam organisasi anda yang giat dan aktif menonjolkan diri.

Orang itu bukan isu sebenar. Sebaliknya, kaedah anda mendapat perkhabaran tersebut. Gosip bertali arus, bersimpang-siur. Itulah capaian Wi-Fi politik pejabat, terus kepada anda secara langsung! Kenapa gosip wujud? Kerana ia adalah sebahagian daripada ciri utama politik pejabat. Gosip kemudiannya, mengalami transformasi menjadi lobi. Lobi seterusnya menjadi 'tekanan’. Dan tekanan inilah zat besi dan zat tembaga politik pejabat.

Pada tahap ini, zat-zat tersebut sama ada menjadi penebat atau menjadi konduktor yang mengalirkan elemen negatif seperti syak wasangka, curiga angkara fitnah dan propaganda sebelah pihak. Boleh anda faham analogi dan metafora yang disebut di atas?

Kalau masih kabur, bermakna anda belum memasuki alam pekerjaan atau bekerja sendiri. Berikut adalah senarai elemen politik pejabat yang mungkin anda pernah terasa selama ini:

1 Bila bos kau nak resign?

Bos kau dilantik zaman siapa? Sekarang zaman siapa? Takkan tak faham-faham lagi? Letak jawatanlah. Nak tunggu sampai dipecat? Ada yang kata semua CEO kena letak jawatan sebab pentadbiran dahulu kaki rasuah. Mudahnya melabel orang.

Walhal kebanyakan CEO yang dilantik adalah berlandaskan kelayakan pendidikan dan pengalaman. Tidak ramai yang berminat aktif dalam parti politik. Ini kerana mereka kena beri tumpuan kepada kerja yang ditetapkan menerusi Indeks Utama Prestasi (KPI). Kontrak mereka tidak akan disambung jika gagal mencapai KPI. Tiba-tiba kerajaan berubah, semua kena ubah. Benar, ada seorang dua yang berperanan aktif dalam politik negara tetapi wajarkah mereka dilabel rasuah? Buktikan di mahkamah, baru adil. Dan langkah 'menebar jala’ ke seluruh GLC, adalah serkap jarang namanya.

2 Siapa ganti bos kau?

Proses menekan dan memaksa secara halus peneraju GLC masih berterusan. Ada yang meletak jawatan beberapa hari selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu. Bayangkan, sehingga ke hari ini lebih 70 hari organisasi itu tidak mempunyai peneraju mutlak. Selagi itulah, teka-teki dan ketidaktentuan berterusan. Yang berminat, sedaya-upaya melobi. Kalau melobi ke Putrajaya tidak apalah. Ini melobi di dalam pejabat. Rimas.

3 Lagi siapa kena buang?

Oleh sebab proses 'pemburuan’ saki-baki peneraju daripada pentadbiran lepas masih berlangsung, ramai tertanya-tanya mengenai nasib diri sendiri, orang sebelah meja dan orang seberang meja. Lazimnya bila peneraju letak jawatan, semua orang yang dianggap rapat dengannya kena ikut jejak langkahnya. Bukan lantikan politik tetapi lantikan legasi seperti setiausaha, pembantu khas dan drebar. Apa salah mereka?

4 Kenapa kau tak kena pula?

Bagai menonton acara gusti, tidak cukup melihat aksi belasahan ahli-ahli gusti. Kita mahu pula melihat ahli gusti melempang pengadil, membaling kerusi ke arah lawan atau mencarut terhadap penonton. Jadi dalam kekalutan orang meninggalkan organisasi, tiba-tiba anda ditanya soalan cepumas: "Bagaimana kau boleh terlepas?’’

5 Padan muka

Di mana-mana kita akan bersua dengan hakim jelmaan yang terus menjatuhkan hukum dan kemudian mengulas kes secara terbuka sama ada di dalam Facebook atau bersemuka dengan nada sinis di kafe. Ayat paling lazim ialah 'salah mereka sendiri’ sehingga terpaksa meletak jawatan!

6 Ini masa balas dendam

Segelintir orang di dalam organisasi akan muncul setelah terpinggir sekian lama oleh peneraju syarikat. Sementara peneraju baharu belum diumumkan, inilah masa mereka bermaharajalela, membalas dendam. Sama macam MPAJA (Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu) dalam tempoh Jepun menyerah kalah dan British kembali. Ramai jadi mangsa.

7 Keluarlah cepat!

Antara taktik ala-komunis anasir subversif pejabat ini ketika tiada CEO rasmi ialah memberi tekanan kepada orang yang tidak disukainya. Mereka memulakan perang saraf dengan bertanya bila dia hendak berambus, yang disampaikan kepada Ali, kemudian Ali kepada Baba, Baba kepada Labi, Labi kepada Labu sebelum sampai ke telinga anda.

8 Bila SPRM hendak tahan dia?

Sekarang ini, tiada siapa risau hal polis. Tidak pasti kenapa. Yang nyata, orang sangat risau terhadap SPRM. Jadi ayat untuk membuli orang ialah 'bila SPRM hendak tahan dia?’ Ayat ini pasti membawa segala macam persepsi dan imaginasi kepada pendengar bahawa individu yang dimaksudkannya itu seorang yang kotor dan berdosa. Soal sahih atau tidak, itu cerita di mahkamah.

9 Esok kena tendanglah

Sementara CEO belum diumumkan, pengurusan ditugaskan kepada pegawai tertentu mengikut hierarki organisasi. Ini pun orang tak puas hati. Siapa suruh wujudkan dua jawatan sama? Sekarang tidak siapa faham siapa lebih tinggi. Yang ketara ialah individu ini yang banyak pula perintahnya. Ini mendorong sesetengah puak mula berkomplot memastikan peneraju interim itu tidak disahkan jawatannya.

10 Kumpulan pemisah

Kategori separatist group ini bukan bermakna mereka setaraf dengan pengganas. Tetapi bila diteliti ayat dalam tulisan WhatsApp mereka, sebenarnya tidak jauh sangat daripada propaganda pengganas. Pada mereka, tidak ada satu pun yang betul. Tugas mereka ialah mengetengahkan kesilapan dan kesalahan orang. Kononnya merekalah yang tertindas. Mereka yang dibuang itu perosak syarikat. Benarkah? Atau sekadar menangguk di air keruh? Berhati-hatilah ya. Esok-esok anda pula jadi sasaran mereka. Siapa hendak melindungi anda, tika dan saat itu?