Garis masa ialah dari 9 Mei 2018. Ia tidak disusun mengikut mana yang penting, jadi anda disaran baca sahaja dengan minda dan hati terbuka. Berikut adalah 10 hal politik aneh pada 2018:

1. Selepas tewaskan BN, sekarang PH berantakan

Bagi penyokong PH, tajuk di atas akan pantas disanggah. Ini satu lagi agenda Utusan Malaysia, dakwa mereka. Maaflah ya, ini adalah pertama kali Merrepak hendak menulis tentang politik atas keyakinan kebebasan bersuara yang dijanjikan oleh PH, tidak akan menghalang kebebasan media seperti rejim yang lepas.

Parti-parti komponen PH cuba menyembunyikan gelodak tetapi ramai dapat melihatnya. Bersatu fokus menarik ahli Parlimen UMNO, tidak disukai oleh DAP dan PKR. Semen­tara peringkat dalaman PKR sudah jelas ada dua pasukan iaitu Azmin dan Rafizi. Peletakan jawatan Nurul Izzah dalam kerajaan dan parti, menyerlahkan lagi retak. Aneh, bukan?

2. BN kaput, semua komponen bertempiaran

 

Jika hal ehwal PH itu aneh, tidak dapat menandingi keanehan yang menimpa BN. Setelah ditewaskan pada 9 Mei, satu demi satu parti komponennya cabut keluar sama ada untuk membentuk pakatan sendiri atau melompat parti sama sekali. Anehnya kerana sekian lama penyokong BN dibuai dengan ungkapan ‘bersatu kita teguh, bercerai hancur roboh’ tetapi kepimpinan parti komponen sendiri yang pertama merobohkan BN. Belum lagi ahli Parlimen BN yang secara individu melompat parti. Menyakitkan dan hanya mendatangkan radang hati. Tidakkah ini aneh?

3. Lompat 
parti

Kepimpinan DAP sekarang lantang mengkritik tindakan Bersatu menerima kemasukan ahli Parlimen BN yang berpaling tadah. Hujah DAP sangat bernas. Ahli Parlimen BN mewakili parti yang ditewaskan di dalam PRU-14. Menerima mereka ke dalam PH, seolah mempersenda proses pemilihan itu sendiri. Perlukah diwujudkan undang-undang? Susah sikit. DAP perlukan majoriti dua pertiga untuk menggubal undang-undang. Jangan harap Bersatu akan mengundi menyokong. Aneh tak?

4. Pendakwaan tanpa kertas pertuduhan lengkap

Beberapa kali ketika bekas Perdana Menteri didakwa di mahkamah, kita kehairanan bila mendapati butiran kertas pendakwaan tidak lengkap. Ia memberi gambaran bahawa orang itu diseret ke mahkamah secara tergesa-gesa, jika tidak tergesa-gesa tentulah kertas pertuduhan sempurna. Hal hidup mati orang bukan boleh dibuat tergesa-gesa. Keadilan hendaklah dijunjung, jika tidak rakyat membacanya sebagai suatu keanehan dan suatu ‘balas dendam’ semata-mata.

5. Presiden UMNO 
dibuli

Ahmad Zahid Hamidi dijadikan punca alasan sebilangan ahli Parlimen parti itu melompat ke dalam Bersatu. Kumpulan ini mengatur beberapa gelom­bang keluar di Sabah dan Semenan­jung. Ahmad Zahid ditekan sedemikian rupa sebelum beralah, dengan memberi laluan kepada Datuk Mohamad Hassan menerajui parti, tetapi Ahmad Zahid kekal memegang jawatan Presiden. Kenapa aneh? Orang-orang yang dikenali sebagai ‘penyokong kuat’ Ahmad Zahid pun cabut lari.

6. Berapa sebenar hutang negara?

BN kata hutang negara ialah RM600 juta. PH kata RM1 trilion. Tahukah betapa takutnya para pelabur asing melihat pertikaman lidah kedua-dua pihak ini, sehingga mereka memutuskan untuk menarik keluar wang tunai mereka, lagi menambah sengsara ekonomi negara. Aneh mengapa ekonomi dijadikan senjata politik. Orang Jepun kata ‘harakiri’.

7. Menteri lupa 
mereka menteri

Ini ramai sudah beri ulasan bahawa sebilangan menteri masih berkelakuan dan berfikir­an seperti pembangkang, lupa diri sudah di pihak kerajaan. Ini dilihat dengan cara mereka berkomunikasi dan memberi reaksi. Ketahuilah seorang menteri kena patuh pada protokol dan etiket. Kerana setiap ayat itu boleh ditafsir sebagai pernyataan dasar dan pendirian rasmi kerajaan. Berhentilah main Facebook dan Twitter.

8. Menteri Agama bermadah seloka

Sebenarnya, belum reda lagi kisah mencuit hati Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof mengutus surat terbuka kepada anak sulung bakal Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar. Sebagai ‘mat sastera’ kami memahami intipatinya. Yang ramai anggap aneh ialah Mujahid mengutus surat sedemikian sedangkan dia memegang portfolio menteri agama. Orang ramai juga berasa aneh, jika tidak ngilu, geli geleman membaca menteri agama guna kanda dinda kepada Nurul Izzah.

 

9. Menteri desak menteri sesama kabinet letak jawatan

Rentetan daripada kejadian keganasan di kuil Seafield yang meragut nyawa anggota bomba, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy meletak jawatan. Penyokong PH melihat ia sebagai aneh sebab sesama anggota Kabinet bertelagah. Tetapi orang Melayu terbuka mata kepada keberanian Syed Saddiq yang sekian lama diperlekehkan sebagai budak-budak sahaja. Teruskan keberanian Bro Saddiq tetapi ‘Bro kena konsistenlah’.

10. Bos Utusan paling sekejap

Datuk Dr. Ibrahim Yahaya atau Tiger hanya seminggu menjadi Ketua Pengarang Kumpulan. Beliau dilantik ketika Ahmad Zahid berada dalam kedudukan runcing diasak supaya berundur. Bila Ahmad Zahid akhirnya beralah, Tiger pun mengosongkan pejabat Ketua Pengarang. Sempatlah kami bekerja dengan Tiger yang merupakan seorang profesional dan kemasukannya ke dalam Utusan, bukanlah salah beliau 100%. Ini adalah satu daripada keputusan UMNO yang aneh membabitkan Kumpulan Utusan. Melangkah ke tahun 2019, UMNO perlu memberi ruang lebih besar untuk pasukan editorial memulihkan Utusan, seandainya UMNO tidak mahu melepaskan ekuiti majoritinya di dalam syarikat.