Halimunan? Ia bermaksud tekanan yang kena pada orang lain tetapi diyakini akan mengena kepada diri mereka tidak lama lagi oleh entiti jelmaan orang berkuasa. Halimunan ini khabarnya boleh membuat keputusan secara autonomi, mengeluarkan arahan mewakili menteri atau kadang-kadang, arahan yang menteri sendiri tidak tahu.

Bila disoal, entiti halimunan akan memberi alasan menteri tidak perlu tahu semua hal yang kecil-kecil. Memadai halimunan buat kerja. Kerja apa? Kerja membalas dendam? Situasi tidak tenteram ini melanda bukan sahaja organisasi yang ada kait-mengait dengan kerajaan tetapi juga syarikat persendirian. Macam mana hendak tenteram?

Pihak yang biasa mereka jumpa untuk urusan tertentu kini tiada lagi. Orang baru pula beri pelbagai alasan tidak mahu jumpa. Sama ada disengaja atau tidak, ia amat mendebarkan hati sebab kontrak kerja akan tamat 31 Ogos ini.

Paling sadis ialah organisasi yang diterajui oleh CEO yang terang-terang menyokong kerajaan sekarang. Pun tidak selamat! Alasannya, CEO sokong salah individu di dalam parti. Yang patut disokong presiden parti tetapi CEO sokong timbalan presiden. Kalau tewas pemilihan parti, nasib CEO pun samalah menjadi puak yang kalah sekarang.

Jadi, suasana korporat kini serba-serbi tidak selamatlah, sekurang-kurangnya sehingga tempoh 'pembersihan' ini tamat. Merrepak menyenaraikan 10 hal yang paling ditakuti CEO sekarang:

1 Berundur sukarela

Tidak tahu apa yang didakwa salah sebab proses pembersihan sekarang lebih kepada menekan secara halus agar CEO meletak jawatan dengan 'sukarela'.

Malangnya 'sukarela' itu kemudiannya dilihat aneh oleh masyarakat bila satu demi satu 'kesalahan' mereka diumumkan sehingga ke soal baju dalam wanita. Mengikut peraturan, jika seseorang itu bersalah, maka dakwalah di mahkamah.

Inilah prinsip keadilan. Apakah proses pembersihan GLC sekarang benar-benar mengikut prinsip keadilan? Tanya sama hud-hud.

2 Audit

Sebenarnya, tanpa mengira situasi sekarang, setiap organisasi kerajaan dan swasta wajib melalui proses audit. Ini kaedah paling tepat untuk memasti prosedur dipatuhi. Mengapa audit ditakuti CEO? Kerana mungkin selama ini, 'peruntukan khas untuk tujuan derma politik' tidak akan mendatangkan apa-apa persoalan berat tetapi kini boleh membawa kepada pemberhentian kerja.

Kita harap kerajaan hari ini memastikan pengganti CEO juga tidak mengamalkan 'peruntukan khas untuk derma politik'. Ini adil untuk rakyat!

3 Perkataan reformasi

Slogan reformasi ini telah sinonim dengan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dipecat dari parti dan kerajaan pada 1998. Sejak itu, perkataan reformasi agak kekok disebut oleh orang yang tidak menyokongnya atau tidak mahu dilihat menyokongnya.

CEO hari ini pantas tersirap darah, mungkin berdebar bila ada kakitangan menyebut perkataan 'reformasi'. Walhal kakitangan itu baru berusia empat-lima tahun pada 1998.

4 Penstrukturan semula

Ada seorang CEO menyertai sebuah syarikat tiga tahun lalu, disifatkan sebagai White Knight untuk memulihkan prestasi kewangan organisasi. Dia sediakan pelan penstrukturan semula selama tiga tahun. Tahun inilah genapnya tapi hasil baru hendak dituai.

Disebabkan tekanan halimunan, dia terpaksa berundur tanpa dapat memastikan sasaran dicapai. Orang baru ambil alih pula tidak pasti hendak tuai hasil penstrukturan semula orang dulu, atau cipta pelan sendiri. Harap-harap syarikat tidak karam disebabkan situasi aneh ini.

5 Townhall

Suatu masa, acara townhall amat digalakkan agar ada interaksi pengurusan dengan kakitangan bawahan. Semua boleh tanya, dari pangkat ketua kerani hingga pengawal keselamatan.

Sekarang ini dalam semangat Malaysia baharu di mana kakitangan boleh dengan berani dan selamba meminta pengurusan berundur, maka acara Townhall digantung sehingga diberitahu kelak.

6 Naik gaji

Ini persoalan sejagat, sensitif kerana jika ditanya sewaktu syarikat berdepan dengan sekatan perniagaan, dibatal kontrak, kontrak ditangguh bayaran atau ditukar pengurusan, maka elaklah dahulu niat nak bertanya. Persoalan penting, syarikat boleh bertahankah? Silap-silap syarikat muflis, kerja anda pun tiada lagi.

7 Kerajaan bertukar

Negeri yang kerap bertukar kerajaan mungkin Terengganu. Sekejap BN, sekejap Pas. Rumu­sannya ialah rakyat Terengganu jangan dipandang lekeh.

Jika kerajaan tidak berfungsi sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto, rakyat Terengganu akan menukar kerajaan pada pilihan raya seterusnya. Harap-harap pendirian rakyat Terengganu ini dikongsi sama oleh masyarakat negeri-negeri lain.

8 Disoal wartawan

Mengikut peraturan, antara ketetapan dalam KPI sesebuah korporat ialah keupayaan CEO menyalurkan maklumat yang tepat mengenai syarikat kepada orang ramai amnya, pelabur dan pemegang saham khususnya.

Jadi tiada tempat untuk CEO pemalu atau benci publisiti. CEO diwajibkan memberi publisiti sewajarnya terhadap syarikat yang diterajuinya. Dalam situasi pembersihan CEO sekarang, ramai CEO amat keberatan menjawab apalagi bersemuka dengan wartawan.

9 Muka masuk TV

Malangnya, ketika mengelak wartawan itulah juga muka CEO muncul di media massa. Siar dalam TV, Facebook dan sebagainya. Bila nama CEO disebut secara langsung sudah cukup menyeramkan, ia tambah menakutkan bila nama disebut sipi-sipi. 'Datuk Morinho disebut-sebut bakal meletak jawatan....' Siapa di belakang penyiaran berita ini, mestilah entiti halimunan.

10 SPRM

Serius! Bukan buat-buat. Bukan main-main. Sebut saja SPRM, semua berderau. Semua jadi sasau, risau dan melilau. Gelabah ini ketara pada yang buat salah. Tangkaplah dan dakwa mereka. Tetapi kasihan pula mereka yang tidak buat salah pun terkena gegarannya.

Harap-harap ketakutan orang kepada SPRM inilah tidak menyamai tahap ketakutan orang pada zaman darurat dahulu. Yakinlah tidak berlaku witch-hunt. Inikan sudah dijamin oleh Perdana Menteri sendiri. Kita yakin sajalah.