Semua tahu cuaca panas ini bukan sahaja memendekkan kesabaran tetapi juga membawa risiko berulangnya bencana catuan bekalan air. Komoditi paling mudah dan banyak ini pun kita tidak berupaya menguruskan dengan baik berbanding negara di padang pasir.

Cuaca panas ini juga menyaksikan peningkatan mendadak penemuan haiwan liar di kawasan penempatan manusia seperti ular dan monyet. Jika ini bukan petunjuk tahap kepanasan tinggi selain alat saintifik, apa lagi boleh kita gunakan bagi menyukatnya?

Elektrik. Menurut statistik terbaharu Tenaga Nasional Berhad (TNB), permintaan tertinggi (peak demand) elektrik di Semenanjung Malaysia mencatatkan bacaan pada 17,788 MW pada 20 April 2016, meningkat 37.82 peratus berbanding 1 Januari 2016 (12,906 MW) kesan fenomena El-Nino.

Peningkatan elektrik ini bukan disebabkan cuaca panas menyebabkan orang ramai memilih tinggal di rumah dan menonton televisyen seharian. Atau menggosok baju sehingga seterika jadi hitam. Tidak. Yang dimaksudkan ialah penggunaan pendingin udara.

Keadaan panas pada siang hari yang meninggalkan kesan bahang sehingga ke awal pagi telah mempengaruhi tabiat penggunaan peralatan elektrik khususnya pendingin udara yang secara relatifnya menggunakan lebih banyak elektrik berbanding peralatan lain.

Bagi memastikan perenggan di bawah tidak dianggap sebagai omongan, berikut adalah pernyataan terbaharu TNB:

Pengguna pendingin udara lebih cenderung untuk menurunkan suhu pada tahap lebih rendah;

Meningkatkan kelajuan kipas pendingin hawa

Menggunakan pendingin udara untuk tempoh yang lebih lama.

- Penggunaan peralatan lama yang tidak diselenggara dengan baik juga boleh mengakibatkan penggunaan elektrik meningkat.

Kesemua faktor ini akan meningkatkan penggunaan elektrik secara mendadak, sekali gus memberi kesan ke atas bil elektrik pengguna.

Dalam cuaca panas sekarang, bukan sahaja orang cepat berpeluh tetapi juga cepat marah. Perkara pertama dilakukan ialah mencari pihak yang boleh dihentam iaitu TNB.

Jadi apa yang wajar kita harap akan berlaku? Berikut adalah 10 cadangan Merepak:

1 Rebat

Ya, sudah banyak gesaan daripada pelbagai pihak agar TNB memberi rebat caj elektrik bagi membantu orang ramai berdepan dengan cuaca panas terlampau sekarang. Sokong! Cuma di sebalik itu, siapa pula hendak beri rebat kepada TNB? IPP? Pernahkah?

2 Tingkatkan ilmu

Tarif elektrik TNB ialah dari 0 hingga 200 kWj, caj ialah 0.218 sen per unit; 201 hingga 300 ialah 0.334 sen; 301 hingga 600 ialah 0.516 sen dan 601 ke atas ialah 0.546 sen.

Buat kiraan sendiri. Formula mudah: lagi banyak, lagi lama guna pendingin udara, lagi tinggi bil. Lawat www.tnb.com.my untuk panduan penjimatan tenaga letrik.

3 Kumpul setempat

Siang hari seperti hari ini, pastikan semua ahli keluarga duduk di ruang tamu untuk berkongsi satu pendingin udara. Walaupun ada pendingin udara dalam bilik masing-masing, dengan duduk di ruang utama beramai-ramai, hanya satu pendingin udara digunakan.

4 Kunjungi pusat 
 beli-belah

Ya. Kunjungi pusat beli-belah untuk menikmati pendingin udara percuma. Tidak perlu beli apa-apa. Bawa telefon pintar, beli kopi ais dan duduklah sehingga suhu di luar menurun

5 Tonton wayang

Tidak kisah cerita apa. Lagi bosan lagi bagus. Boleh tidur, dalam kedinginan nyaman. Cuma kena tahan bising. Dan elak berdengkur. Nanti orang ambil video dan kena viral.

6 Elak memandu kereta

Ada yang beranggapan pendingin udara di dalam kereta lebih menyamankan. Masalahnya, cuaca panas ini turut mempengaruhi corak pemanduan tidak berhemah. Sesejuk mana pendingin udara tidak akan membantu jika pemandu berjiwa baran. Maka elakkan memandu lama-lama melainkan ke tempat tujuan khusus.

7 Berhijrah bandar

Nanti sekejap. Bandar mana di Malaysia? Semua terkena cuaca panas. Hendak ke Sabah? Pun sama. Perlis? Sama. Duduk diam-diam sahajalah.

8 Buat kolam

Mahal? Mungkin benar. Jangan buat kolam bertaraf Olimpik. Atau beli baldi besar seperti tangki air, ubah suai jadi mini kolam. Bila kepanasan melampau, anda boleh berendam. Masukkan ketulan ais.

9 Ziarah rumah kawan yang ada pendingin udara

Hujung minggu bila tidak ke pejabat, hubungi sahabat-handai dan beritahu anda mahu datang melawat dan makan tengahari sehingga matahari turun.

10 Tinggal dalam gua

Kelawar tinggal dalam gua kerana gelap dan sejuk. Manusia dahulu kala pun amalkan serupa. Jadi anda boleh cari gua. Seandainya anda tidak tahu mana gua hendak dituju, tanya penyokong MUFC.