Walaupun tugasnya hanya menghadiri persidangan, namun dia mempunyai satu lagi misi ‘personal’ iaitu membandingkan harga barangan di Manila dengan Kuala Lumpur. Yang ini bukan merupakan petunjuk prestasi utama (KPI) dirinya, namun perasaan menebal dalam diri membuatkan keinginan itu begitu kuat.

Tidak dapat dinafikan, Manila merupakan sebuah bandar membangun yang mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi antaranya Fort Santiago, Rizal Park, Paco Park dan Casa Manila, sekadar menyebut beberapa nama. Tempat-tempat ini sangat menjamu mata dan mempesonakan bagi sesiapa yang berkunjung apatah lagi bagi penggemar foto dan video terutama dalam dunia tanpa sempadan - sesiapa sahaja boleh menjadi wartawan dan jurufoto.

Lokasi-lokasi pelancongan ini memang wajib dikunjungi ditambah lagi dengan cuaca di Manila yang cerah dan cantik. Hampir mempunyai persamaan dengan Kuala Lumpur iaitu suhu mencecah 32 darjah Celcius. Rakan saya ini memang seorang yang kuat berpeluh dan cepat dahaga dan lapar. Sememangnya restoran halal banyak dan sangat memudahkan pengembara Muslim sepertinya. Akan tetapi semua restoran ini tidak memenuhi selera! Kami sahabat-sahabat karibnya sangat mengenali karakter rakan kami ini. Sangat cerewet! Disebabkan itu, dia mengambil keputusan untuk berkunjung ke pasar dan masak sendiri makanan. Puas hati katanya. Sambil-sambil itu, bolehlah juga bandingkan harga barangan di tanah air sendiri.

Disebabkan masa yang terhad, rakan saya hanya sempat pergi ke dua pasar raya berhampiran lokasi penginapannya di Cubao, Quezon City iaitu di Rustan’s dan Unimart. Tak boleh tahan. Lapar katanya. Disebabkan itu ada beberapa barangan mentah yang sempat menjadi pilihan (rujuk carta perbandingan harga).

Setelah perbandingan dibuat, rakan saya sudah pasti memilih untuk membeli di Unimart kerana harganya yang lebih murah. Sempat juga dia bertanya kepada urusetia persidangan yang membawanya ke pasar raya-pasar raya ini di Manila, berapakah pula harga petrol dan bagaimanakah cara pengumuman harga minyak? Urus setia yang juga merupakan orang tempatan menyatakan bahawa di Manila harga minyak ditentukan secara mingguan dan berbeza mengikut syarikat penjual.

Cukup menarik juga, apabila dilihat daripada 105 juta penduduk di Filipina, hanya 66 peratus bekerja. Ini bersamaan dengan 69.3 juta rakyat Filipina. Kalau dilihat perbandingan itu juga, ia lebih ramai daripada penduduk Malaysia. Purata pendapatan sebulan pula adalah sebanyak 22,250 Peso yang mana bersamaan dengan RM1,750.

Betul, ada yang menyebut tidak usahlah kita membandingkan harga barangan di Malaysia dengan negara lain. Tetapi penulis hanya ingin berkongsi pendapat dan perasaan syukur kerana dapat hidup di tanah air tercinta. Alhamdulillah Malaysia masih aman. Walaupun tidak sempurna tetapi percayalah anda dan saya, kita semua mendambakan kesempurnaan. Jangan ditanya apa yang negara sumbangkan kepada kita, tetapi tanyalah apa sumbangan kita kepada negara. Salam.

PENULIS ialah Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).