Ada yang semakin ceria, begitu riang-ria sehingga segala benda dijadikan sendaloka, jenaka tiada sempadan. Tidak mengapa. Sebelum 9 Mei pun, aktiviti ‘maharaja lawak’ telah berlangsung tanpa sekatan. Lihat sahaja di Facebook, pentas aksi lawak sejagat. Penyertaan percuma, untung-untung dapat LIKE, maha untung dapat tular.

Spesies yang memang kaki lawak itu kita akur. Memang kewujudan akaun Facebooknya direka untuk berlawak. Jadi audiens amat menyenanginya, atau sebaliknya melabel akaun itu sebagai 'macai’ atau 'pemakan dedak’.

Satu lagi yang dapat dilihat ketara ialah individu yang kita anggap budiman selama ini pun telah bangkit tampil ke atas pentas.

Sebermula daripada waktu imsak, setiap jam dia mengutus ayat-ayat lucunya. Siapa yang tidak bersetuju, turut menerima tazkirah. “Kau siapa hendak melarang aku? Ini kebebasan bersuara”.

Tazkirah yang kemudiannya bertukar menjadi monolog kemarahan, tetap menerima LIKE daripada sahabat sehati sejiwa. Inilah masanya sahabat membuktikan kesetiaan. Takkan hendak LIKE masa seronok sahaja. Masa sahabat tengah bengang pun kena tunjuk solidariti. Marah berapi-api, LIKE saja. Ini baharu tepat sahabat batu api.

Spesies lagi satu terlawak ialah individu yang kelihatan canggung tatkala suami atau isterinya, berlainan fahaman. Sudahlah dua-dua kaki Facebook. Sahabat kepada pasangan ini tentunya dapat melihat perutusan masing-masing pada waktu yang sama.

Seorang seru ke sana, seorang lagi sibuk cerita hal sini. Orang tidak ketawa pula melihat lawak ini kerana seorang daripada pasangan ini pasti dilihat 'berpendirian lalang untuk raih LIKE’. Kasihan.

Sebelum Merrepak menyamai tahap lawak yang dibentangkan di atas, eloklah kita senaraikan benda-benda serius yang wajar anda jenakakan. Bersedialah untuk kena bantai daripada sahabat, kena unfriend atau unfollow.

Benda-benda serius wajar dijenakakan:

1 Salah siapa BN kalah

Bukan tsunami kaum tertentu, bukan itu bukan ini. Kesalahan itu terletak kepada semua pihak yang alpa dan merasa diri untouchable. Kesalahan juga wajar dipikul orang yang memberi laporan lawak kepada pucuk pimpinan mengatakan 'semua Ok’.

2 1MDB

Jika dari awal diberi penjelasan teliti dan diurus dengan serius, sudah pasti 1MDB tidak akan abadi dalam sejarah sebagai monumen kepada kejatuhan BN pada 2018. Daripada awal kes 1MDB sepatutnya ditangani sebagai kes korporat, telah dibiarkan sehingga menjadi liabiliti negara dan kini diisytihar sebagai penyebab hutang negara melebar ke RM1 trilion.

3 Warlord

Sepatutnya bila tewas, individu-individu yang survived ini haruslah bermuhasabah. Tetapi ada warlord lupa diri. Mungkin disebabkan dia masih menang di kawasannya, lalu dia ingat dia masih berbisa. Mungkin betul berbisa di kawasannya. Tetapi di peringkat nasional?

4 Ekonomi negara

Sebelum dan selepas 9 Mei, ekonomi negara berada dalam kedudukan teguh, kata Bank Negara Malaysia. Ia disokong pula oleh penarafan baik oleh firma bebas antarabangsa. Bila dikata ekonomi sebaliknya, kita jadi hairan. Jika Bank Negara pun dipertikaikan, siapa lagi boleh kita sandarkan harapan?

5 Perlis

Rupa-rupanya selain mangga harumanis, ada juga mangga ‘harumulut’ iaitu mangga yang dijual sebagai harumanis, walhal ia mangga belakang rumah. Inilah analogi yang berlaku di negeri paling kecil, paling utara dan paling panas sekarang. Selesaikanlah segera sebelum orang kian meluat.

6 Nilai sebenar hutang negara

Mula-mula kata RM1 trilion. Kemudian RM600 juta. Tiba-tiba timbul pula RM800 juta. Perbezaan ini disebabkan ramai sangat yang menyebut perkara itu serentak. Eloknya bila Perdana Menteri bercakap, Kabinet akur saja. Kerap bercanggah dan berubah, lihatlah pergerakan Bursa Malaysia, ke selatan atau utara?

7 Tabung Harapan

Negara bankrap Greece meminta bantuan IMF untuk pulihkan ekonomi. Ini kerana Greece benar-benar muflis. Tetapi Malaysia sudah dijamin oleh Bank Negara yang melaporkan kedudukan teguh negara. Hutang yang ditanggung RM705 juta boleh dibayar mengikut masa yang ditetapkan. Tidak mengapalah tabung ini untuk rakyat berbakti kepada negara. Tabung ini dimulakan oleh rakyat. Mungkin duitnya boleh diguna untuk bayar hutang PTPTN.

8 PTPTN

Mujurlah Menteri Pendidikan ada beri gesaan agar hutang PTPTN dibayar juga, walaupun sebelum itu dikeluarkan panduan hanya penghutang bergaji RM4,000 ke atas kena bayar. Seraya itu lebih 400,000 penghutang dikeluarkan dari senarai hitam. Yang kita hairan ialah masa ambil duit PTPTN, anda sudah akad dan berjanji membayar balik. Menggunakan dasar kerajaan untuk mengelak bayar balik, mungkin anda melompat ria. Nanti di alam sana, ada siapa hendak tolongkan?

9 GST

Inilah antara senjata paling ampuh menumbangkan BN. Dalam sejarah peradaban manusia, isu cukai memang menjadi landasan kukuh untuk memulakan revolusi. Jadi dengan kembalinya SST sejak Jumaat lalu, anda pasti yakin harga barangan akan lebih murah. Ayuhlah kita shopping raya hari ini!

10 Kebebasan media

Merrepak hari ini menyesuaikan diri dengan kebebasan media yang kembali didakap setelah sekian lama dihadkan untuk tidak menyentuh isu politik dan kontroversi nasional. Jika dalam tempoh seminggu tiada surat saman diperoleh atau polis menggari tangan ini, maka akan ada lagilah Merrepak pada Ahad depan.