Namun apa yang berlaku di Jakarta baru-baru ini sewajarnya membuka mata semua. Kejadian pengeboman di Indonesia menunjukkan tidak mustahil perkara yang sama boleh berlaku di negara ini yang begitu hampir dengan mereka. Lebih menggerunkan, apabila pihak berkuasa berjaya menahan seorang lelaki yang mendakwa dirinya anggota kumpulan militan IS di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Setiawangsa Kuala Lumpur sehari selepas serangan di Jakarta dan mengaku merancang melakukan serangan bunuh diri selepas menerima arahan daripada anggota IS di Syria.

Walaupun Indonesia pernah digegarkan dengan pengeboman seperti ini di Bali satu ketika dahulu di samping beberapa siri letupan di sebuah lagi negara jiran kita iaitu Thailand namun tahap panik kita kali ini kelihatan agak berbeza. Ini kerana golongan pengganas sudah mula bergerak aktif dan agresif di seluruh pelosok dunia. Rata-rata masyarakat dunia mula bercakap tentang ancaman pengganas dan militan seperti IS.

Kerisauan kita sebenarnya ada asas yang kukuh kerana mengikut laporan sekurang-kurangnya 55 rakyat Malaysia dikesan terlibat dalam kumpulan militan IS di Iraq dan Syria dengan 17 daripadanya terkorban dengan enam disahkan sebagai pengebom berani mati. Lebih mengejutkan apabila lapan kanak-kanak Malaysia juga dikatakan telah direkrut dan dilatih menjadi pejuang IS di kem Syria dan Iraq.

Malah menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terro­rism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah menggagalkan enam percubaan serangan pengganas IS dalam kalangan warga tempatan manakala PDRM juga menahan 400 anggota IS dan kumpulan pengganas lain termasuk Al-Qaeda. Dan terkini tujuh individu warganegara Malaysia berusia di antara 26 tahun hingga 50 tahun yang disyaki terlibat dalam kumpulan IS ditangkap dalam satu operasi khas PDRM di sekitar Kedah, Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan Selangor. Ironinya apakah data-data ini masih belum cukup untuk buat kita rasa cemas, panik, risau dan takut?

Persoalan besar yang berlegar dalam pemikiran adalah andai pengganas boleh menyerang dan mengebom Jakarta, tidak mustahil Kuala Lumpur juga boleh menjadi sasaran yang berikutnya, justeru sejauh mana Malaysia bersedia untuk mengekang ancaman ini? Sebenarnya banyak usaha telah dilakukan oleh kerajaan.

Kerjasama strategik yang terjalin antara semua agensi keselamatan negara terutamanya PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) misalnya wajar diteruskan. Kawalan keselamatan bersama polis dan tentera terutamanya di kawasan strategik dan lokasi tumpuan orang ramai dan juga pelancong adalah satu tindakan yang cukup wajar dan boleh memberi kesan positif dalam mengekang ancaman pengganas.

Kita yakin risikan pihak polis dan tentera kita cukup hebat dan mampu mengesan mahupun mengenalpasti sebarang ancaman atau lokasi yang menjadi sasaran.

Dalam konteks ini kita juga bersetuju dengan cadangan bekas Ke­tua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan baru-baru ini agar diwujudkan kembali Jabatan Anti-Terrorism yang pada masa sekarang dikenali sebagai Bahagian Counter Terrorism dan diletakkan di bawah Cawangan Khas PDRM. Kita percaya apabila dinaiktaraf kepada sebuah jabatan maka tumpuan lebih spesifik dapat diberikan dalam usaha untuk menangani ancaman pengganas.

Dalam pada itu keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini untuk mewujudkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi dalam masa terdekat yang berfungsi untuk menangkis dakyah yang cuba mempengaruhi orang ramai untuk menyertai kumpulan militan juga dilihat satu lagi usaha yang baik. Hal ini kerana bi­langan rakyat yang mula terpe­ngaruh dengan kumpulan mi­litan dilihat mula merisaukan.

Hakikatnya ancaman pengganas seperti ini ada di mana-mana. Golongan pelampau ini mempunyai seribu satu alasan untuk menjustifikasikan dan menghalalkan segala perbuatan mereka termasuklah membunuh orang awam serta sanggup membunuh diri untuk menunjukkan tahap kesetiaan mereka dalam mencapai objektif kumpulan masing-masing. Tidak mungkin kita mampu mengesan dan mengenalpasti kesemua anggota kumpulan militan yang ada apatah lagi jika mereka bergerak dalam masyarakat kita sama seperti orang lain.

Maka apa yang kita boleh buat adalah usaha berterusan untuk memperketatkan tahap kawalan keselamatan, menyediakan pelan pengurusan bencana mahupun krisis, di samping memberi kesedaran kepada masyarakat. Apa yang mustahak di sini usaha untuk menjaga dan memelihara keselamatan rakyat dan negara perlu dipikul bersama kerana ini adalah tanggungjawab semua pihak. Oleh itu, anggota masyarakat juga perlu memberi kerjasama kepada pihak berkuasa supaya kita dapat terus menikmati keamanan seperti yang sedia ada.

Dalam hal ini tindakan sebi­langan kecil anggota masyarakat kita yang begitu gemar menyebarkan dan meviralkan pelbagai maklumat yang tidak sahih dan sensitif perlu dihentikan. Mi­salnya baru-baru ini tersebar khabar angin dalam media sosial kenyataan seolah-olah beberapa lokasi tumpuan pelancong di ibu kota telah menjadi sasaran pengganas dan pengebom berani mati yang kononnya dimaklumkan oleh pihak berkuasa.

Sebaran maklumat palsu seperti ini cukup bahaya kerana mula mencetuskan suasana panik dalam kalangan anggota masyarakat. Ini turut menjejaskan nama baik dan imej negara di mata pelancong luar yang mula beranggapan Malaysia juga sudah tidak selamat untuk dilawati.

Kita perlu sedar betapa isu ke­selamatan rakyat dan negara tidak boleh dikompromi, dijadikan bahan lawak jenaka ataupun dipolitikkan. Perlu diingat ini adalah soal antara hidup dan mati. Kita sebagai warga yang bertanggungjawab perlu bersatu mempertahankan kedaulatan dan ke­selamatan negara ini.

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).