Peristiwa itu mula tercetus pada 19 November 1974 dan kemuncaknya pada 1 Disember 1974 apabila kira-kira 30,000 penduduk berkumpul bagi membantah kejatuhan harga getah. Penduduk mula berkumpul di hadapan Pejabat Daerah Baling (kini Majlis Daerah Baling) sebelum merebak ke seluruh pekan terutama di hadapan stesen bas Baling ketika itu.

Tinjauan S2 mendapati stesen bas itu masih wujud sehingga hari ini tetapi fungsinya telah bertukar menjadi sebuah kedai runcit.

Di hadapan masjid yang berlatarbelakangkan Gunung Baling pula terletaknya Menara Jam Baling yang dibina pada 1957. Menara jam itu turut menjadi saksi peristiwa yang mencetuskan suasana tidak aman, bukan sahaja di daerah Baling tetapi juga di beberapa lokasi tertentu di Kuala Lumpur.

Peristiwa yang dicatatkan sebagai Demonstrasi Baling 1974 itu bermula apabila sekumpulan mahasiswa universiti menghasut penduduk supaya mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah kejatuhan harga getah yang terlalu rendah.

Harga getah ketika itu jatuh ke paras paling rendah, daripada harga biasa 25 sen hingga 60 sen sekati kepada 15 sekati. Harga getah yang rendah menyebabkan penduduk jatuh miskin.

Akibat miskin, ada penduduk terpaksa makan ubi gadung iaitu sejenis ubi beracun. Ubi itu boleh dimakan tetapi mesti diproses dengan betul. Cara memprosesnya ialah rendam dalam air garam selama tiga hari, kemudian rendam di dalam air sungai mengalir selama empat hingga lima jam bagi membuang racun di dalamnya. Hanya selepas itu, barulah ubi tersebut boleh dimakan dengan cara mengukusnya dan kemudian digaul dengan kelapa parut serta sedikit garam dan gula.

Dalam keadaan penduduk menderita akibat kejatuhan harga getah, golongan mahasiswa yang sedang mengalami era kebangkitan mengambil kesempatan. Kebangkitan mahasiswa berlaku antara 1971 hingga 1975. Sepanjang tempoh itu, banyak aktiviti demonstrasi diadakan di seluruh negara.

Suara mahasiswa bergema di seluruh negara termasuk meniupkan sentimen antikerajaan. Dalam ‘keributan’ itu, kumpulan mahasiswa terbabit mendakwa sebuah keluarga di Baling meninggal dunia selepas makan ubi gadung kerana terlalu miskin.

Seorang penduduk yang ketika itu berusia 16 tahun, Idris Mat Piah, 58, berkata, ingatannya terhadap peristiwa itu masih segar.

“Ketika itu, saya masih remaja dan tidak tahu apa-apa tentang demonstrasi yang diadakan. Apa yang saya tahu, saya nampak setiap penjuru jalan raya yang masuk ke pekan Baling dibanjiri penduduk yang berarak. Mereka keluar seawal subuh, malah ada yang lebih awal sudah mula berjalan,” katanya kepada S2.

Menurutnya, beliau tahu ada menteri yang datang ketika itu tetapi beliau tidak berani masuk ke pusat bandar.

Menurut sejarah, bagi meredakan kemarahan penduduk, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak mengarahkan Menteri Perusahaan Utama (ketika itu), Musa Hitam datang ke Baling bagi bertemu penduduk.

Musa Hitam sampai dengan helikopter dan disambut oleh penduduk dengan ejekan. Mengulas lanjut, Idris berkata, dia hanya memerhatikan sahaja peristiwa itu dari jauh sahaja.

“Bila tengah hari, penunjuk perasaan yang lapar masuk ke kedai makan orang Cina di sepanjang jalan sana (sambil menuding jari ke arah deretan kedai di seberang sungai).

“Mereka makan tanpa bayar. Tauke kedai makan biarkan sahaja kerana tak mampu nak buat apa-apa,” katanya yang kini merupakan pengerusi merangkap imam Masjid Pekan Lama Baling.

Dalam pada itu, Muszuki Saad, 54, dari Kampung Paya, Mukim Pulai pula berkata, beliau ketika itu masih kanak-kanak iaitu berusia sekitar 12 tahun.

“Orang kampung panggil mogok lapar. Heboh orang tua bercerita mengenai ada keluarga meninggal dunia sebab makan ubi gadung. Orang sini panggil ubi ara.

“Apa yang saya tahu, tak ada sesiapapun meninggal dunia akibat makan ubi gadung ketika itu. Kalau adik (penulis) nak tahu, ubi gadung itu adalah makanan biasa penduduk di sini.

“Memang ubi itu beracun tetapi kalau betul cara prosesnya, ubi itu boleh dimakan. Ia bagi menggantikan nasi yang ketika itu susah nak dapat sebab bila harga getah jatuh, penduduk jadi miskin dan tak mampu beli beras,” katanya yang merupakan seorang bekas tentera yang kini bekerja kampung.

Antara pekerjaan yang dilakukannya sekarang ialah menjual ubi gadung yang telah siap diproses mengikut tempahan yang diterima.

Tinjauan S2 mendapati kalangan penduduk Baling masih tidak dapat melupakan peristiwa ini. Masing-masing mempunyai pengalaman dan versi cerita tersendiri tetapi yang pasti, tiada kematian berlaku akibat kebuluran ekoran kejatuhan harga getah pada tahun tersebut.