Menurut kajian dan statistik, lebihan makanan setiap hari mencecah 17,800 tan. Sepanjang Ramadan setiap tahun pula, sebanyak 270,000 tan makanan yang tidak diusik dibuang begitu sahaja.  

Jumlah ini bukanlah sedikit. Malah, betapa ruginya kita membiarkan makanan sebanyak itu dibuang begitu sahaja sedangkan ada dalam kalangan kita kekurangan makanan dan terpaksa mengikat perut untuk bersahur dan berbuka puasa.

Selain daripada kita yang dikatakan tidak dapat me­ngawal nafsu makan ketika bulan Ramadan, punca pembaziran juga terletak kepada yang gagal membuat anggaran jumlah makanan dan minuman yang diperlukan untuk berbuka puasa dan juga bersahur.

Pantang sahaja ke bazar Ramadan, ada sahaja yang hendak dibeli.  Dua tiga jenis air minuman dibeli sedangkan di rumah pun sudah ada sejenis dua minuman yang sudah disediakan.  Itu belum lagi dikira kuih-muih untuk berbuka puasa termasuk lauk-pauk yang kelihatan menye­lerakan.

Usaha untuk mengekang nafsu makan bukanlah mudah kerana peniaga pada bulan puasa ini juga mempu­nyai daya penarik untuk melariskan jualan mereka.  Orang berniaga mestilah berusaha menarik pelanggan kerana sesiapa yang berniaga mestilah hendakkan keuntungan.  Tambahan pula, peniaga makanan sudah menganggap Ramadan sebagai lubuk rezeki setiap tahun.

Pembaziran turut berlaku disebabkan kualiti makanan dan minuman yang dijual.  Oleh sebab sesetengah makanan yang dibeli tidak sedap, makanan tidak diusik langsung lalu dibuang. Ada minuman yang mendatangkan kemudaratan jika diminum selepas dibeli kerana mungkin minuman tersebut merupakan sisa jualan yang tidak habis pada hari sebelumnya.

Sementara itu, di hotel-hotel dan di restoran-restoran mewah, mereka menyediakan pakej makanan dan minuman berbuka dengan kadar yang banyak untuk disesuaikan dengan harga yang tinggi tetapi akhirnya makanan tidak habis. Di masjid-masjid dan surau, kuih-muih selepas tarawih bukannya sedikit tetapi yang menjamahnya tidak berapa kerat.

Tanggungjawab peniaga dan pengguna untuk mengelak pembaziran mestilah seiring supaya masalah pembaziran makanan yang meruncing ini dapat dikurangkan.   

Peniaga mestilah menyedia dan menjual makanan yang berkualiti supaya pengguna tidak membuang makanan dengan mudah. Makanan yang berlebihan mestilah di­salurkan kepada pihak-pihak tertentu seperti rumah anak-anak yatim, warga emas dan pihak-pihak lain yang memerlukan supaya jumlah makanan yang berlebihan dan dibuang begitu sahaja dapat dikurangkan.

Di pihak pengguna atau pembeli pula, mereka mestilah arif tentang jumlah makanan yang diperlukan setiap hari berdasarkan isi keluarga. Tidak guna bermewah-mewah dalam soal makan minum pada bulan Ramadan ini jika ada makanan dibuang setiap hari.

Keprihatinan pengguna amat penting untuk memastikan jumlah makanan yang tidak terusik dan dibuang begitu sahaja tidak menjadi isu berpanjangan setiap kali bulan Ramadan tiba.  

Kita bimbang jika pada bulan Ramadan yang dianggap sebagai bulan untuk mengurangkan belanja makan minum bertukar menjadi bulan untuk pesta makan minum.

Sikap ini perlu dihindari bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi apabila tibanya Syawal nanti, kita akan berdepan pula dengan majlis rumah terbuka yang kerap menjadi topik perbincangan kerana berlaku juga lambakan makanan seperti mana bulan Ramadan.

Semuanya ini berpunca daripada sikap kita yang kurang peka dalam soal menguruskan perbelanjaan makan minum.

Dan ada pula yang menganggap disebabkan Ramadan dan Syawal hanya setahun sekali, apa salahnya kita ber­belanja sakan demi meraikan bulan-bulan yang mulia ini.
Persepsi ini mesti diubah!