Menurut Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md. Sam, jumlah siasatan itu adalah daripada 1,465 aduan yang diterima suruhanjaya sepanjang tempoh sama. Berdasarkan statistik, paling banyak melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu 292 kes diikuti Jabatan Imigresen (21), Jabatan Pengangkutan Jalan (10), kastam (tujuh) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (tujuh). Lima kertas siasatan lagi turut dibuka untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (empat), Jabatan Perikanan (dua) manakala, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Tenaga Kerja dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia masing-masing satu kes.

Jenis salah laku yang dicatatkan sepanjang tempoh 2012 hingga Mei 2016 pula ialah, tidak mengikut undang-undang (SOP), tindakan secara tidak adil, tiada tindakan diambil, salah guna kuasa, rasuah, lewat ambil tindakan dan jenayah.

Pendedahan statistik ini cukup menyeramkan dan sewajarnya membuka mata semua pihak untuk mencari jalan supaya kita dapat bersama-sama membantu menangani salah laku pegawai penguat kuasa dalam pelbagai agensi di negara kita. Memang kita tidak boleh terus menuding jari menyalahkan agensi terbabit secara keseluruhannya namun kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Hakikatnya memang sukar untuk kita membendung pandangan serong dan persepsi negatif segelintir masyarakat terhadap agensi penguatkuasaan setelah meneliti laporan seperti ini.

Justeru kita tidak boleh berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa untuk membetulkan situasi memalukan seperti ini.

Imej agensi dan pegawai penguat kuasa yang digeruni dan dihormati kerana memiliki semangat dan tahap disiplin tinggi, malah sering diangkat sebagai penyelamat dan wira membantu menyelamatkan rakyat dalam bahaya perlu dipertahankan. Kenyataan bahawa ada sebahagian daripada mereka terlibat dengan pelbagai gejala salah laku seperti ini adalah berita yang cukup menyedihkan.

Sebagai contoh pembabitan anggota dan pegawai Imigresen dalam sindiket pemalsuan pasport dan pemerdagangan manusia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2. Ekoran itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) terpaksa melaksanakan penggiliran kerja terhadap sebilangan mereka yang bertugas di pintu masuk negara itu selain melakukan proses pertukaran pegawai berikutan kelemahan myIMMs yang dikesan.

Dilaporkan kira-kira 100 orang pegawai Imigresen peringkat pertengahan ke bawah dan anggota sindiket disiasat oleh pihak berkuasa kerana disyaki melakukan sabotaj terhadap Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs).

Kejadian ini sekali gus membuktikan betapa gejala salah laku dalam kalangan anggota penguat kuasa boleh memudaratkan masyarakat dan menjejaskan ke­selamatan negara jika dibiarkan berterusan.

Masyarakat tidak berhasrat untuk menyalahkan agensi terbabit secara keseluruhannya kerana kita sedar hanya sebahagian kecil anggota agensi tersebut yang tamak dan mengambil kesempatan atas kepercayaan yang telah diberikan. Namun jika dibiarkan dikhuatiri akan merebak dalam kalangan anggota yang lain. Jus­teru usaha menangani salah laku penguat kuasa ini perlu dibuat secara menyeluruh.

Anggota yang terbabit dengan salah laku sewajarnya segera dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman yang setimpal agar menjadi pengajaran kepada yang lain sekali gus membuktikan betapa negara kita tidak sama sekali kompromi dan bertolak ansur dalam soal integriti penjawat awam.

Ini juga boleh diklasifikasikan sebagai tindakan pembetulan yang segera terhadap kemudaratan yang telah diakibatkan oleh pegawai penguat kuasa berkaitan di agensi tersebut.

Pada masa yang sama kita juga berharap agar semua pihak berkuasa agensi penguatkuasaan akan memberi perhatian dan fokus kepada usaha dan tindakan pencegahan sebagai langkah jangka panjang agar perkara ini tidak terus berlaku dan berulang. Hal ini penting kerana walaupun kita melakukan pusingan kerja yang kerap namun mereka tetap memiliki peluang untuk menyalah guna kedudukan masing-masing untuk kepentingan peribadi. Apa yang penting ialah tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan anggota penguat kuasa tentang integriti dan amanah serta tanggungjawab yang diletakkan oleh rakyat dan negara di bahu mereka.

Di samping menggunakan elemen agama dan kerohanian sebagai pendekatan terbaik bagi menyedarkan mereka, perlu juga diselitkan dengan unsur-unsur patriotisme dan semangat cintakan negara agar mereka sedar tindakan mereka itu adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap pertiwi.

Cukup-cukuplah segala kerosakan yang telah berlaku. Sedikit sebanyak imej agensi penguatkuasaan juga sudah tercalar angkara tindak-tanduk pegawai mereka sendiri. Untuk itu, eloklah kita cari jalan penyelesaian agar isu ini dita­ngani segera secara konsisten sebelum lebih banyak lagi kemudaratan berlaku. Jangan hanya ambil tindakan apabila ada aduan. Berwaspada dan bertindaklah sepanjang masa.

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia.