Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

SYABAS PABM 2016

SEBAHAGIAN peserta PABM Piala Pendana Menteri 2016 yang menyertai
SEBAHAGIAN peserta PABM Piala Pendana Menteri 2016 yang menyertai pertandingan itu bermula 21 Mac hingga 25 Mac lalu.

TAHNIAH diucapkan kepada tiga johan pertanding­an peringkat akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2016 iaitu Hatsune Yanai, 21 dari Jepun; Muhamad Haziq Jamaludin, 23 (Malaysia) dan Abdalla Hassan Gharib, 36 (Tanzania) yang telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Jumaat lalu.

Dengan pidato bertajuk, Ilmu Keamanan Yang Seimbang Kunci Kebahagiaan Manusia, Hatsune Yanai berjaya mengalahkan dua peserta lagi dalam kategori antarabangsa, PABM edisi ke-10 kali ini.

Muhamad Haziq, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula muncul juara bagi kategori Alam Melayu menerusi pidatonya bertajuk, Rahsia Keamanan manakala Abdalla Hassan yang kini menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) diumumkan juara bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM).

PABM edisi ke-10 itu secara keseluruhannya berjaya menarik 47 orang peserta dari pelbagai negara iaitu 20 peserta bagi kategoti antarabangsa, 10 orang peserta kategori Alam Melayu dan 17 peserta lagi pelajar antarabangsa di Malaysia (PAM).

Peringkat saringan telah bermula pada 21 Mac lalu, dikuti peringkat suku akhir dan kemudian separuh akhir. Kemuncaknya adalah peringkat akhir di PICC, Jumaat lalu dan pada malam pertandingan akhir itu hanya sembilan orang sahaja bertanding, tiga orang bagi setiap kategori.

Lebih istimewa lagi malam kemuncak pertandingan tersebut turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Tidak dinafikan bahawa PABM yang telah memasuki edisi ke-10 berjaya memberi satu impak cukup kuat kepada perkembangan bahasa Melayu ke seluruh dunia. Malah kesan itu boleh dilihat melalui kesungguhan para peserta ketika mereka berpidato sepanjang empat hari pertandingan.

Mereka berusaha memberikan persembahan terbaik dengan menggunakan gaya bahasa Melayu yang menarik sambil diselang-seli patah-patah perkataan sungguh indah antaranya melalui perumpamaan, bidalan dan peribahasa walaupun masa yang diberikan terhad iaitu lima minit pada peringkat saringan, enam minit (suku akhir) dan tujuh minit (separuh akhir dan akhir).

Tidak kira siapa dan dari mana asalnya para peserta sama ada dari benua Asia, Afrika, Eropah mahupun Amerika kesemua mereka berjaya mempamerkan kemahiran bertutur bahasa Melayu dengan begitu baik.

Abdalla Hassan, johan bagi kategori pelajar antarabangsa di Malaysia adalah antara peserta yang berjaya menarik perhatian penonton melalui pidatonya. Bukan itu sahaja dia juga berjaya mencuit hati Perdana Menteri dan isteri serta tetamu kenamaan lain dengan gayanya bersahaja ketika meniru suara Najib dalam salah satu ucapan beliau.

Lebih menarik lagi, Abdalla Hassan mampu bertutur bahasa Melayu Sarawak dengan baik apabila dia menyelitkan beberapa patah dialek bahasa Melayu Sarawak dalam pidatonya yang bertajuk, Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh. Tatkala memulakan bicara pidatonya, Abdallah Hassan berkata, dia mula mempelajari bahasa Melayu sejak lima tahun lalu.

Hatsune Yanai juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya mempamerkan kemahirannya berbahasa Melayu. Kemampuan yang ditunjukkan oleh Hatsune Yanai itu sedikit-sebanyak telah mengikis persepsi banyak pihak di negara ini bahawa rakyat Jepun sukar bertutur menggunakan bahasa lain.

Bagaimanapun kemampuan Hatsune Yanai berbahasa Melayu dengan fasih telah membuktikan sebaliknya. Pelajar Tokyo University of Foreign Study itu berjaya menunjukkan bahawa rakyat Jepun juga mampu menguasai bahasa Melayu sekiranya ada kesungguhan dan minat.

Dalam pada itu Perdana Menteri ketika berucap pada malam pertandingan akhir itu telah memberi mesej yang cukup jelas bahawa PABM adalah salah satu wadah terbaik dalam usaha memperkenalkan intipati bahasa dan bangsa Melayu selain mengantarabangsakannya ke seluruh dunia.

Berkait dengan mesej tersebut, sememangnya diakui penawaran pengajian bahasa Melayu telah lama berlaku di universiti-universiti seluruh dunia tetapi penganjuran PABM sejak 2007 boleh disifatkan sebagai pemangkin terhadap usaha memperkembangkan lagi bahasa Melayu di peringkat global.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan ketika dihubungi berkata, peningkatan jumlah peserta PABM dari setahun ke setahun yang bermula pada 2007 menunjukkan peningkatan minat masyarakat antarabangsa terhadap bahasa Melayu.

“Kita tidak boleh nafikan bahawa bahasa Melayu mempunyai daya tarikannya tersendiri sehingga rakyat di negara-negara lain amat berminat mempelajari, menguasai dan bertutur dengan menggunakan bahasa Melayu,’’ ujarnya yang kini dilantik sebagai penyandang Kursi Profesor Pengajian Melayu ketiga bagi tempoh tiga tahun di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China.

Lebih menarik lagi katanya, terdapat lapan buah universiti di China telah menawarkan pengajian bahasa Melayu di peringkat ijazah sarjana muda dan perkembangan itu baginya amat memberangsangkan.

Inilah yang berlaku terhadap perkembangan bahasa Melayu. Dengan jumlah penuturnya antara 300 juta hingga 350 juta dunia khusus di Nusantara, adalah diharapkan bahasa yang indah ini terus berkembang ke seantero dunia.

Tahniah juga diucapkan kepada pihak penganjur iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum) dan Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (Makum) atas kejayaan penganjuran PABM 2016 yang telah pun melabuhkan tirainya Jumaat lalu.

Semoga bertemu lagi pada pertandingan PABM Piala Perdana Menteri 2017 tahun depan.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain