Sejak minggu lepas, ‘posting’ di media sosial begitu kerap membincangkan isu ini. Warga pendidik seratus peratus berada di belakang Cikgu Azizan walau apa pun keputusan yang ditetapkan mahkamah.  Hikmah daripada kes ini, untuk pertama kali dalam era digital, solidariti atau semangat kekitaan guru-guru dari seluruh negara tampak begitu padu dan kukuh.  Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memainkan peranan penting bersama-sama PIBG SK Taman Semarak, Nilai beserta pihak lain yang berkaitan bagi memastikan Cikgu Azizan tidak berseorangan dalam mendepani cabaran ini.

Saya kagum dengan semangat Cikgu Azizan kerana berupaya melalui episod ini dengan kekuatan jiwa seorang pendidik yang kental.  Namun begitu, semua orang pastinya amat memahami, di sebalik kekuatan yang dizahirkan, terdapat seribu satu perasaan yang bercampur baur di dalam hati.  Sedih, kesal, marah, gusar – namakan apa sahaja perasaan bagi seorang yang berhadapan dengan kes yang sebegini mencabar.

Sebagai seorang guru yang bukan sehari bergelumang dengan dunia pendidikan, saya pasti Cikgu Azizan telahpun menjunjung ikrar guru untuk mendidik anak bangsa dengan cara yang terbaik sebagaimana yang telah dijanjikan semasa melalui latihan perguruan.   Dalam menyediakan individu yang bakal bergelar guru, pensyarah di Institut Pendidikan Guru atau Universiti Awam pastinya telah acapkali mengingatkan guru pelatih untuk menganggap anak didik mereka sebagai anak sendiri.  

Dalam mendidik ‘anak sendiri’,  guru sebagai ibu atau ayah pastinya memikirkan  hanya yang terbaik untuk ‘anak mereka’.  Mereka bukan sahaja berperanan untuk memastikan murid dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran yang ditetapkan melalui kurikulum tetapi juga membentuk akhlak, menerapkan nilai murni dan memupuk nilai keagamaan dalam diri murid mereka.  Proses penerapan ilmu dan akhlak ini tidak boleh dilaksanakan secara mekanikal tanpa melibatkan perasaan dan semangat untuk mendidik, malah emosi memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan suasana yang kondusif dalam pembelajaran.

Tidak ada rutin dalam tugas seorang guru; tidak ada dua hari mahupun dua detik yang sama dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Sebagai contoh, semalam Ahmad mungkin datang ke sekolah dengan perasaan gembira, tetapi hari ini dia datang dengan perasaan sedih dan hiba.   Walaupun guru kelasnya telah menyediakan rancangan pengajarannya dengan begitu sistematik, tetapi dalam keadaan begini dia perlu mengambil masa untuk menguruskan perasaan Ahmad.   Dia juga perlu mendidik murid lain bagaimana untuk memberikan reaksi mereka terhadap Ahmad atau bagaimana untuk membantu.    Jelas dalam suasana di bilik darjah, proses pembelajaran melibatkan emosi yang sangat pelbagai yang memerlukan kemahiran untuk menguruskannya.

Begitu juga dengan emosi guru sendiri – ada kalanya dia gembira mendidik anak muridnya, ada kalanya dia juga akan menzahirkan perasaan marah apabila ada yang melanggar peraturan.  Murid juga sebenarnya belajar bagaimana berhadapan dengan emosi guru yang pelbagai, justeru mereka akan lebih bersedia untuk memberikan respon yang sesuai apabila berhadapan dengan golongan dewasa yang lain. 

Berhadapan dengan anak-anak yang pelbagai kerenahnya memang meletihkan fizikal, minda dan emosi.  Sama juga dengan ibu bapa yang perlu membesarkan anak-anak mereka – membangunkan keluarga sebagai satu unit bukanlah satu tugas yang mudah.  Tetapi adakah boleh  ibu bapa menyerah kalah sekiranya anak mereka sukar untuk dilentur? Wajarkan ibu bapa membiarkan sahaja sekiranya anak mereka terlibat dengan masalah disiplin ataupun kegiatan yang melanggar undang-undang?  Tentu sekali tidak.  Begitu jugalah dengan guru – seorang guru berjiwa pendidik tidak akan menutup mata membiarkan sahaja anak muridnya melakukan kesalahan yang bakal merosakkan diri mereka. 

Begitu besar tanggungjawab yang digalas oleh seorang guru, justeru Kementerian Pendidikan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sangat-sangat menganjurkan Anjakan ke 9 - Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti Dan Sektor Swasta dalam mewujudkan satu ekosistem pembelajaran dalam masyarakat setempat.   Syukur kerana ibu bapa, komuniti dan sektor swasta menyahut seruan Kementerian ini dengan begitu hebat;  satu hubungan yang dinamik telah berjaya diwujudkan antara sekolah dengan ibu bapa terutamanya sekarang ini.   Begitu banyak amalan terbaik mengenai sumbangan dan kerjasama ibu bapa dengan pihak sekolah dalam Laporan Tahunan PPPM yang diterbitkan setiap tahun.  Bersama-samalah berganding bahu – guru-guru, pentadbir, pegawai pendidikan, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta – demi membangunkan anak-anak yang dapat mencapai kesejahteraan diri dan dapat memberikan sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.