Saya masih ingat semasa saya mengambil peperiksaan SPM pada sekitar 80an.  Ketika itu SPM adalah penentu segala-galanya.  Arwah ibu pernah berkata – “kalau tak pass SPM, kahwin!” dan pernyataan ini begitu menakutkan kepada seorang pelajar yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. 

Pada masa itu, sekiranya keputusan SPM cemerlang, tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara terbuka luas, maklumlah tidak banyak persaingan.  Peluang untuk ke insititusi pendidikan tinggi atau maktab perguruan juga amat mudah diperolehi.  Sekiranya tidak berkesempatan untuk melanjutkan pelajaran di kolej atau Tingkatan Enam, mereka mula mencari pekerjaan yang sesuai dengan keputusan yang diperolehi, justeru agak menakutkan juga apabila difikirkan yang satu peperiksaan adalah penentu kepada masa hadapan seseorang.  Bagi mereka yang sudah mula bekerja, peluang untuk melanjutkan pelajaran nampak agak kelam, berbanding dengan rakan-rakan yang lebih bernasib baik untuk ke universiti. 

Namun begitu, itu yang berlaku tiga puluh tahun dahulu, ketika negara kita sedang berada dalam era pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru.  Malaysia baru sahaja bertapak untuk membina nama sebagai salah satu negara yang pesat membangun di rantau Asia Tenggara. 

Tetapi kini nama Malaysia begitu gah di persada antarabangsa.  Dalam masa tiga puluh tahun selepas saya meninggalkan bangku persekolahan, terlalu banyak peningkatan dan pembaharuan bukan sahaja dalam bidang pendidikan tetapi juga dalam segenap aspek kehidupan.  Dalam era Revolusi Industri 4.0 ini, kemajuan infrastruktur negara merupakan antara yang terbaik di dunia.  Perkembangan teknologi yang pesat adalah satu rahmat, dan juga cabaran untuk warga Malaysia.  Yang penting, nilai dan identiti kita sebagai rakyat Malaysia perlu dipelihara. 

Begitu juga dengan peluang pekerjaan dan pendidikan selepas SPM ini.  Sebenarnya ibu bapa dan masyarakat tidak perlu begitu risau tentang ke mana hala tuju anak-anak mereka kerana peluang terbuka luas untuk mereka meneroka dunia yang luas ini.   Kalau anak-anak yang mendapat keputusan akademik yang baik, mereka bukan sahaja boleh melanjutkan pelajaran di 20 universiti awam yang ada, malah mereka boleh memilih untuk menuntut ilmu di universiti swasta, kolej, politeknik, kolej komuniti, institusi pendidikan guru ataupun ke Tingkatan Enam.  Bagi yang berminat dengan kemahiran, begitu banyak peluang untuk mengikuti pelbagai program kemahiran di bawah pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dan swasta. 

Bukan setakat peluang pelajaran dan latihan, malah pelbagai bantuan kewangan juga disediakan untuk mereka yang menyambung pengajian di mana-mana institusi pendidikan dan kemahiran, bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga daripada badan berkanun, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik.  Yang penting adalah keterbukaan kita untuk mendapatkan bantuan demi masa hadapan anak-anak ini.  Sumber maklumat yang terdapat di hujung jari perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan anak-anak kita tidak terlepas peluang yang berharga untuk meningkatkan potensi diri.

Sekiranya anak-anak kita memilih untuk menceburi dunia pekerjaan, berilah sokongan kepada mereka.  Sesungguhnya peluang pekerjaan tidak kira di Malaysia mahupun di mana-mana negara di dunia sangat terbuka luas.  Tidak ada salahnya kalau anak kita mahu mencuba nasib bekerja di hotel ternama di Dubai atau menjadi pembantu chef di London,  contohnya.  Sekiranya dalam tempoh beberapa tahun menimba pengalaman dan anak kita mahu menyambung pengajian, pendidikan sepanjang hayat memang menjadi dasar pendidikan negara.  Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) di bawah Malaysia Qualifications Agency (MQA) adalah platform yang paling sesuai untuk anak-anak kita menimba ilmu dan mendapat pengiktirafan terhadap usaha yang mereka lakukan. 

Tidak perlu lagi kita menjadi seperti karektor Nyonya Mansur dalam filem ‘Ibu Mertuaku’ yang hanya mahukan peguam atau majistret sebagai calon menantu.  Dunia sekarang dan akan datang memberikan seluas-luas peluang kepada anak-anak kita untuk meneroka segala ilmu dan kemahiran; yang penting adalah nilai, etika dan kerohanian yang telah kita bekalkan kepada mereka selama 17 tahun ini.  Anak-anak kita zaman ini adalah warga global – jadikan SPM ini sebagai kunci kepada mereka untuk menjelajah dan menimba pengalaman di serata dunia.  Gunakan sepenuhnya kemudahan telekomunikasi yang ada untuk kita terus berhubung dengan mereka di mana sahaja mereka berada.   Sesungguhnya langkah mereka masih jauh – selamat berjaya semua!