Menarik tentang Gunung Pondok itu, dahulunya pernah menjadi tumpuan bukan sahaja dalam kalangan penduduk malah penyelidik juga dikatakan mendaki gunung itu untuk melakukan kerja-kerja eksplorasi dan ekskavasi bagi tujuan kajian arkeologi.

Bagi segelintir penduduk tempatan, ada yang gemar melakukan aktiviti pemburuan terutama ingin mendapatkan kambing gurun iaitu antara spesies hidupan liar yang sangat sukar ditemukan.

Terdapat juga segelintir penduduk melakukan kegiatan mencari tahi kelawar di dalam gua selain aktiviti pertapaan untuk meningkatkan ilmu kebatinan dan persilatan. Antara gua yang menjadi tumpuan termasuklah Gua Panca Logam dan Gua Bersanding.

Namun, aktiviti-aktiviti berkenaan sudah tidak dilakukan lagi dan penduduk dikatakan tidak berani mendaki gunung tersebut.

Selain disebabkan aktiviti kuari yang dijalankan oleh sebuah syarikat pengeluar simen, rupa-rupanya terdapat peristiwa pelik dan kisah misteri pernah berlaku di gunung itu.

Menurut Ketua Kampung Lalang, Mohamad Nawawi, salah satu peristiwa yang sehingga kini dianggap misteri berlaku pada awal tahun 1970-an, apabila seorang penyelidik berbangsa Cina dilaporkan hilang ketika menjalankan kajian bersama satu rombongan lain.

“Tidak diketahui ke mana perginya penyelidik tersebut. Difahamkan ketika berada di atas gunung itu, penyelidik itu tanpa disedari telah hilang daripada kumpulannya.

“Apabila berita kehilangannya dilaporkan, pelbagai usaha mencari giat dijalankan. Penduduk kampung turut serta mengesan penyelidik berkenaan dari siang hingga ke malam namun, tidak berjaya ditemukan. Malah sehingga kini kehilangannya masih kekal menjadi misteri,” katanya.

Katanya lagi, ketika berlaku runtuhan pada 1967, penduduk kampung juga pernah sekilas pandang ternampak seorang wanita berpakaian lengkap berdiri di sebalik lubang seakan-akan sebuah terowong besar yang terbentuk di tengah-tengah gunung.

“Penduduk yang kebetulan menyaksikan runtuhan itu terkejut tatkala terpandang seketika kelibat perempuan berdiri di terowong tersebut. Kejadian pada waktu malam itu disaksikan beberapa penduduk.

“Yang peliknya lubang berbentuk seperti terowong hanya kelihatan selepas runtuhan itu berlaku. Sebelum ini lubang itu tidak kelihatan langsung,” katanya.

Dalam pada itu, menurut penduduk Kampung Sungai Ati, Hasan Yang Ibrahim, 71, pada masa dahulu pernah berlaku peristiwa seorang penduduk melihat beberapa orang berjalan sambil mengusung keranda pada waktu malam di laluan berhampiran Gunung Pondok.

“Kejadian itu disaksikan oleh seorang penduduk yang dalam perjalanan melalui sebuah jalan di tepi hutan.

“Kerana terkejut, dia tergamam dan tidak dapat berkata-kata namun sebaik melepasi laluan berkenaan barulah dia tersedar lalu teringat dengan peristiwa menakutkan itu. Di laluan tersebut juga dahulu dikatakan agak keras dan sering berlaku kemalangan,” katanya.

Ketua Kampung Sungai Ati, Hasini Mohd. Yusof, pula menceritakan sekumpulan pelajar kolej pernah sesat ketika mencari jalan keluar menuruni gunung tersebut.

“Masa kejadian itu saya masih kanak-kanak lagi. Apa yang saya ingat, dari bawah gunung kami boleh nampak pelajar-pelajar itu mencari-cari jalan untuk keluar. Entah kenapa mereka tidak dapat keluar. Jadi, penduduk terpaksa naik ke atas membawa mereka pulang.

“Dulu banyak juga kes orang yang sesat dilaporkan berlaku. Orang kata kalau naik ke gunung dengan niat tidak baik memang akan sesat dan tidak jumpa jalan keluar,” katanya.

Selain itu, kejadian histeria juga dikhabarkan pernah berlaku melibatkan penghuni perempuan di asrama sebuah madrasah yang terletak berhampiran gunung itu dipercayai diganggu makhluk halus.