Daripada semua rumah api itu, terdapat sebuah rumah api tertua yang telah berfungsi sejak 200 tahun lalu. Catatan-catatan sejarah menyatakan Rumah Api Tanjung Tuan itu dibina oleh British, namun hakikatnya ia telah wujud sebelum kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu.

Mengikut catatan British, Rumah Api Tanjung Tuan dibina pada 1863 dan merupakan yang tertua di Malaysia. Ia mempunyai reka bentuk silinder dengan ketinggian 24 meter.

Di samping itu, rumah api yang terletak di Tanjung Tuan kira-kira 20 kilometer dari pusat bandar Port Dickson, Negeri Sembilan itu juga dikenali sebagai Cape Rachado.

Cape Rachado itu merujuk kepada sebuah tanjung kecil yang mempunyai dua buah puncak bukit. Ia sebenarnya sebahagian dari negeri Melaka tetapi tiada laluan darat yang boleh menghubungkan Tanjung Tuan dengan mana-mana daerah di negeri itu.

Itulah keunikan Tanjung Tuan, kata Penolong Pegawai Laut, Jabatan Laut Wilayah Tengah, Bachok Banan yang turut menceritakan tentang sejarah pembinaan rumah api berkenaan.

“Kita tidak ada catatan tentang sejarah asal pembinaan Rumah Api Tanjung Tuan, tetapi rujukan dibuat mengikut kepada para pengkaji sejarah yang membuat kajian tentang kewujudan rumah api ini.

“Banyak penemuan daripada para pengkaji memberitahu rumah api ini telah dibina dan beroperasi sejak 1817. Ia mungkin telah berfungsi lebih awal daripada itu memandangkan Portugis yang menggelar Tanjung Tuan sebagai Cape Rachado.

“Sehingga sekarang, masih terdapat lagi pelbagai andaian tentang sejarah rumah api ini dan pembinaannya masih menjadi tumpuan ramai pengkaji sejarah untuk menyelidik asal usulnya,” katanya semasa menemani penulis melawat Rumah Api Tanjung Tuan baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menceritakan kepentingan rumah api di Tanjung Tuan sebagai isyarat kepada pelayar tentang bentuk muka bumi di Selat Melaka.

Malah, katanya juga, dahulu di Tanjung Tuan wujud dakwaan yang menyatakan terdapat dua buah rumah api, masing-masing dibina oleh pihak Portugis dan Belanda.

“Untuk pengetahuan awak, jarak antara Tanjung Tuan dengan Pulau Rupat, Indonesia cuma sekitar 24 kilometer sahaja. Bermakna kapal yang lalu di Selat Melaka menyusuri bahagian paling sempit di lautan tersebut.

“Justeru, signifikan rumah api ini juga memberitahu kapten kapal bahawa terdapat banyak dasar cetek dan terumbu karang berhampiran laluan perairan antarabangsa.

“Memandangkan Selat Melaka merupakan laluan kedua tersibuk di dunia selepas Selat Inggeris sejak dahulu lagi, maka terdapat dakwaan mengatakan pernah wujud dua buah rumah api.

“Itu cuma cerita dari mulut ke mulut mengatakan Portugis dan Belanda pernah membina rumah api di Tanjung Tuan, tetapi ramai pengkaji menyangkal kerana tiada bukti catatan dan arkeologi tentang kewujudan rumah api tersebut,” jelasnya.

Tanjung Tuan juga pernah menjadi saksi kepada beberapa peristiwa bersejarah termasuklah peperangan yang digelar Battle of Cape Rachado.

Tambah Bachok lagi, nama Cape Rachado sebenarnya diberikan oleh seorang pelayar Portugis sekitar kurun ke-16 yang bermaksud Tanjung Patah.

Banyak lagi peristiwa pernah berlaku di Tanjung Tuan yang dikatakan pernah menjadi tempat Laksamana Hang Tuah bertapa serta kewujudan sebuah terowong misteri.