Kebimbangan yang dilontarkan oleh baginda adalah mengenai sikap orang Melayu yang semakin lupa daratan akibat dilambung ombak persaingan kuasa, amalan rasuah, pecah amanah, penipuan dan salah guna kuasa. Ini diparahkan lagi dengan perbuatan bercakaran sesama sendiri.

Peringatan baginda itu amat bermakna di saat-saat orang Melayu sedang ditimpa pelbagai gejala dan sengaja melakukan tindakan yang boleh mengundang bencana kepada masa depan mereka.

Memang tepat sekali titah ba­ginda bahawa orang Melayu lupa daratan sebab itulah ketika ini segelintir golongan tersebut seolah-olah tidak mempunyai maruah diri dan bersedia menggadaikan segala-galanya sama ada mahu hidup mewah mahupun mencapai impian politik mereka.

Semua itu berlaku kerana orang Melayu melupakan per­ingatan yang terdapat dalam pepatah Melayu dan mengabaikan perintah Allah SWT seperti mana terkan­dung dalam kitab suci al-Quran. Dalam soal salah guna kuasa dan rasuah, mereka bukannya tidak pernah mendengar ingatan ‘harap­kan pagar, pagar makan padi’ serta firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud; “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Tetapi persoalannya berapa ramai dalam kalangan orang Melayu yang sanggup melakukan perbuatan salah guna kuasa dan rasuah. Amanah yang diberikan dikhianati. Kuasa yang dimiliki dijadikan ‘lubuk’ untuk mengaut kekayaan peribadi. Mereka mengabaikan peringatan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud, “Pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang perantaraan menguruskan rasuah (orang tengah) semuanya sama akan dimasukkan ke dalam neraka.”

Begitu juga dalam perebut­an kuasa politik. Orang Melayu tidak peduli peringatan pepatah Melayu seperti menang sorak, kampung tergadai; kalah jadi abu menang jadi arang; bertelingkah antan di lesung, ayam juga yang kenyang dan; marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Sebaliknya apa yang kita saksikan, orang Melayu tidak habis-habis bercakaran. Mereka menggunakan apa sahaja strategi untuk menjatuhkan kuasa politik bangsa sendiri dan sanggup bersekongkol dengan sesiapa sahaja asalkan matlamat mereka tercapai.

Keadaan itu sudah tentulah akan menyebabkan orang Melayu menjadi lemah dan kedudukan umat Islam menjadi tidak menentu. Dalam situasi seperti itu maka akan muncullah pembawa-pembawa watak ‘musang berbulu ayam’ yang akan ‘menangguk di air keruh’.

Segalanya terjadi kerana orang Melayu mengabaikan perintah Allah SWT seperti mana firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud; “Berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara.”

Perselisihan faham akibat berbeza fahaman politik dalam kalangan orang Melayu sudah sampai pada tahap ‘berpatah arang berkerat rotan’, walaupun Rasulullah SAW mengingatkan orang Islam itu bersaudara.

Lanjutan itu dari semasa ke semasa orang Melayu semakin lemah. Perpecahan sesama mereka seolah-olah tidak dapat disa­tukan lagi. Usaha untuk menyatukan sesama orang Islam ditentang orang Islam sendiri hanya demi kepentingan politik.

Bagi mencapai matlamat itu, mereka sanggup bersekongkol dengan ‘musuh’ biarpun diperingatkan bahawa kebaikan pihak tertentu sebenarnya ‘ada udang di sebalik batu’. Tetapi pepatah itu dilupakan dan perintah Allah diabaikan.

Pertelingkahan dan perbalah­an bukan sahaja berterusan malah semakin parah sehingga ada kelompok yang sudah hilang rasa hormat kepada orang Melayu dan umat Islam. Justeru mereka bertindak bagaikan keada­an ‘bila kucing tidak bergigi, tikus berani melompat tinggi.’

Inilah yang juga diperingatkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bagaimana satu hari nanti umat Islam bagaikan buih di lautan - ramai tetapi tidak berguna dan tidak menakutkan musuh.

Hakikatnya, kita sudah bosan untuk menyeru orang Melayu bersatu dan mengubah sikap mereka kerana apa yang dititahkan oleh Sultan Perak sudah banyak kali kedengaran. Tetapi dalam kalangan orang Melayu ada antara mereka terlalu tegar mahu berpolitik, begitu tamak untuk menyalah kuasa dan begitu kemaruk mahu meraih kuasa.

Akibatnya, kekuatan bangsa Melayu semakin tergugat sehingga terpaksa menyembah kepada kaum lain bagi memulihkan kekuatan mereka. Keadaan itu sudah tentulah tidak akan meng­untungkan orang Melayu kerana boleh menyebabkan mereka menjadi bangsa yang tidak bermaruah dan paling buruk mungkin menjadi ‘pelarian di tanah air sendiri’.

Oleh itu, sebelum terlambat hayatilah titah Sultan Nazrin. Fahamilah segala peringatan yang terkandung dalam pepatah Melayu dan sentiasa mengamalkan perintah Allah dalam usaha memastikan orang Melayu terus kekal berkuasa dan menjadi bangsa bermaruah serta bermartabat.