Topik yang dekat di hati baginda ini tidak sukar ditelusuri pengaruhnya berdasarkan latar kelulusan Sultan Nazrin sebagai pemegang Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford di United Kingdom serta Sarjana Pentadbiran Awam dari Kennedy School of Government, Universiti Harvard, Amerika Syarikat (AS). Minat baginda yang mendalam terhadap pembangunan ekonomi dan politik di rantau Asia Tenggara, dan pertumbuhan ekonomi negara-negara sedang membangun mendorong baginda menjalankan penyelidikan dalam bidang berkenaan dan memperoleh ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Ekonomi Politik dan Kerajaan, juga dari Universiti Harvard, AS.

Keprihatinan Sultan Nazrin terhadap krisis etika yang berlaku di mana-mana, malah begitu ketara dalam sektor perniagaan dan kewangan, sehingga menjerumuskan dunia beberapa kali dalam krisis kewangan global, mendorong baginda mempromosikan secara aktif kewangan Islam sebagai alternatif dan pelengkap sistem kewangan konvensional.

“Melaksanakan prinsip-prinsip kewangan Islam dalam sistem kewangan kita bermakna menggunakan kod etika, aspek yang diabaikan dalam industri kebelakangan ini.

“Beta percaya semua pihak boleh belajar daripada kewangan Islam tanpa mengira perbezaan kepercayaan,” titah baginda menyampai ucaptama bertajuk, "Mengamal Etika dalam Perniagaan dan Kerajaan" pada Persidangan Antarabangsa Yayasan Antirasuah Malaysia 2015, di Kuala Lumpur.

Pematuhan

Harapan baginda agar pembuat dasar dan pengawal selia sektor kewangan dapat melihat melangkaui pandangan bias dan stereotaip negatif terhadap Islam seterusnya menimbangkan apa yang boleh ditawarkan kepada dunia kewangan. Pendirian ini selari dengan peranan baginda sebagai Duta Kewangan bagi Pusat Kewangan Antarabangsa Islam Malaysia (MIFC) – organisasi yang ditubuhkan atas inisiatif Kerajaan Malaysia untuk memajukan Kewangan Islam di peringkat global. Selaku Duta Kewangan, baginda berperanan membantu memacu proses pengukuhan hubungan bilateral di antara Malaysia dengan para pemimpin negara, ketua-ketua industri dan peneraju kewangan rantau dan dunia, khususnya dari Asia Barat.

Dalam titah ucapan selaku Duta Kewangan bagi MIFC pada Forum Ekonomi Islam Oman 2013 di Muscat, baginda menjelaskan bahawa sebahagian besar kekuatan kewangan Islam terletak pada prinsip-prinsip dan nilainya yang universal, yang menekankan soal keadilan dan ketelusan, melarang riba, gharar dan maysir, selain memandang jijik spekulasi berlebihan dan pencatutan harga.

“Jika peranan kewangan adalah untuk mempromosi pertumbuhan ekonomi menerusi peruntukan sumber kewangan dan pengurusan risiko kewangan, maka kewangan Islam mempertingkatkan fungsi-fungsi ekonomi melalui set disiplin dan objektif yang dikenali sebagai Maqasid al-Syariah. Sesungguhnya, pematuhan terhadap objektif inilah yang memberikan nilai unik kepada kewangan Islam,” titah baginda.

Teguran Sultan Nazrin terhadap amalan perniagaan konvensional yang mengundang prestasi buruk, ketidakcekapan yang kronik dan rasuah sehingga menjauhkan para pelabur, menghalang pertumbuhan ekonomi dan meletakkan golongan miskin dan lemah dalam keadaan yang sangat tidak menguntungkan, menarik perhatian dunia akademia yang mahu mendengar pandangan ikhlas baginda. Di dalam negara, baginda ialah Canselor Universiti Malaya dan Felo Utama, Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS), Malaysia. Di luar negara pula, Sultan Nazrin dilantik sebagai Felo Kehormat Kolej Worcester, Universiti Oxford dan anggota Lembaga Pemegang Amanah, Oxford Centre for Islamic Studies.

Baginda turut dianugerahkan Sarjana Kehormat Pentadbiran Perniagaan, Cranfield Institute of Technology, United Kingdom, dan Doktor Kehormat daripada Soka University, Jepun, di samping menjadi anggota kehormat Magdalene College, Universiti Cambridge. Penyertaan baginda di arena antarabangsa telah membantu membina imej positif negara dan meningkatkan keyakinan dunia luar terhadap Malaysia.

Dalam titah ucapan yang sama semasa Persidangan Antarabangsa Yayasan Antirasuah Malaysia tahun lepas, baginda mengingatkan bahawa untuk melangkah ke hadapan, setiap rakyat Malaysia perlu mengambil tanggungjawab masing-masing dalam menegakkan etika dan integriti dan tidak "menyerahkan" bulat-bulat kepada institusi pendidikan, kumpulan rakan sebaya, majikan atau kerajaan. Sultan Nazrin turut berpesan kepada media agar memainkan peranan aktif dan instrumental sebagai estet keempat yang boleh memastikan pemegang kuasa bertanggungjawab terhadap keputusan mereka kerana ia bukan sahaja mampu memusnahkan struktur kewangan bahkan kerajaan dan negara.

Menyahut seruan baginda agar mempromosikan perniagaan beretika, Kumpulan Utusan mengambil inisiatif menganjurkan Utusan Business Awards 2015 bertujuan mengiktiraf pemain industri dan syarikat korporat yang bukan sahaja menunjukkan prestasi cemerlang bahkan kepemimpinan berkualiti.

Anugerah yang menampilkan 37 kategori itu disokong akhbar Utusan Malaysia bersama Yayasan Utusan dan Utusan Studios, manakala McMillan Woods Global bertindak sebagai firma audit antarabangsa dengan majlis diuruskan MyEvent International.

Selaku Penaung Diraja Anugerah berkenaan, Sultan Nazrin berkenan mencemar duli ke majlis penganugerahan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 1 Mac ini.