Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Pertahan diri: 
Di mana sempadannya?

BARU-BARU ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dipetik media tempatan sebagai berkata, ramai orang awam tidak faham tentang undang-undang hak mempertahankan diri. Beliau turut meluahkan rasa kecewanya kerana Majlis Peguam dan peguam hak asasi manusia tidak segera menjelaskan isu ini kepada orang ramai.

“Kalau bab lain, cepat sahaja mereka beri penjelasan, tapi mengapa tidak kes ini,” katanya.

Menurut beliau, ramai yang tidak tahu had mempertahankan diri. Hak mempertahankan diri itu bukan mutlak. Jika ada orang hendak mencuri atau menyamun, mangsa tidak boleh dibunuh sewenang-wenangnya.

Isu hak mempertahan diri ini menjadi topik hangat dalam media setelah seorang lelaki berusia 50 tahun, Mohamad Zulkifli Ismail, dituduh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan (kesalahan membunuh yang membawa hukuman mati mandatori) kerana menikam seorang perompak sehingga mati kediamannya di Kampung Labohan, Kerteh, Terengganu. Dalam kejadian yang berlaku pada 7 Disember lalu itu, Zulkifli menikam dua perompak yang memasuki rumahnya, tetapi seorang sahaja yang meninggal dunia.

Zulkifli ditangkap dan ditahan reman sehingga 21 Disember. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Selepas itu siasatan diubah, iaitu dijalankan di bawah Seksyen 304, dan Zulkifli dibenarkan ikan jamin RM15,000. Malang bagi Zulkifli, apabila kes mula disebutkan di mahkamah pada 27 Disember, pasukan pendakwa telah memfailkan pertuduhan di bawah 302 Kanun Keseksaan, sambil menambah satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 326 (melakukan kecederaan).

Kesalahan membunuh adalah satu kesalahan yang tidak boleh dijamin (non-bailable offence). Kini Zulkifli ditahan reman di penjara Marang sehingga hari bicara yang ditetapkan pada 24 Januari ini.

Kes Zulkifli ini segera menarik perhatian orang awam yang simpati dengan situasinya. Terbaru satu kempen di talian telah dilancarkan dan satu akaun Facebook dibuka dengan slogan Selamatkan Zulkifli.

Kanun Keseksaan mengiktiraf hak mempertahankan diri sebagai satu pembelaan. Seksyen 96 menyatakan secara umum bahawa nothing is an offence which is done in the exercise of the right of private defence, yang boleh diertikan sebagai bermaksud jika sesuatu yang kita lakukan itu adalah mempertahankan diri, ia bukan satu kesalahan.

Seksyen 97 pula menyatakan hak mempertahankan diri itu meliputi hak mempertahankan atau melindungi tubuh badannya sendiri atau badan orang lain (his own body or the body of another person), dan mempertahankan atau melindungi harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, miliknya sendiri atau milik orang lain dari dicuri atau dirompak dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, hak mempertahankan diri yang disebutkan dalam Seksyen 97 ini adalah tertakluk kepada sekatan (subject to restrictions) yang disebutkan dalam Seksyen 99. Peruntukan Seksyen 99 inilah yang sukar difahami, bukan hanya oleh orang ramai bahkan oleh pengamal undang-undang.

Seksyen 99 mengandungi 4 subseksyen dan 2 Huraian. Subseksyen (1) dan (2) tidak ada kaitan dengan isu Zulkifli ini dan tidak perlu kita ulas lebih lanjut. Subseksyen (3) menyatakan there is no right of private defence in cases in which there is time to have recourse to the protection of the public authorities. Secara mudah, maksudnya jika dalam sesuatu kes itu seorang itu masih ada masa dan peluang untuk mendapatkan pertolongan dan perlindungan dari pihak berkuasa, hak pertahan diri itu tidak wujud. Dalam kes Zulkifli, nyata sekali keadaan tidak membenarkan Zulkifli mengharapkan pertolongan oleh pihak polis sewaktu berdepan dengan dua perompak berkenaan.

Yang akan menjadi isu paling kritikal adalah tafsiran dan maksud subseksyen (4), yang menyatakan the right of private defence in no case extends to the inflicting of more harm than it is necessary to inflict for the purpose of defence. Secara ringkasnya, peruntukan ini bermakna jika tindakan yang kita lakukan itu menyebabkan mudarat yang lebih besar dari apa yang perlu bagi maksud mempertahankan diri kita, maka tindakan itu bukan mempertahankan diri. Dengan lain perkataan, bila kita mempertahan diri, kita tidak boleh menggunakan kekerasan yang berlebihan. Kekerasan yang kita gunakan hendaklah berpada dan munasabah.

Kanun Keseksaan tidak berhenti di situ, kerana dalam Seksyen 100 ada dinyatakan hak pertahan diri boleh juga merangkumi (dalam kes-kes tertentu) menyebabkan kematian. Disebabkan fakta kes Zulkifli ini, pada hemat saya, tidak termasuk dalam beberapa hal keadaan yang disenaraikan dalam seksyen 100 ini, ia tidaklah perlu kita buat ulasan lanjut.

Di bawah common law apa yang disebutkan dalam Seksyen 99(4) Kanun Keseksaan kita itu dipanggil the right to use reasonable force (hak menggunakan kekerasan yang munasabah) manakala apa yang disebutkan dalam seksyen 100 itu dipanggil the right to use deadly force (hak menggunakan kekerasan hingga mendatangkan maut).

Dalam kes R v Beckford (1988) 1 AC 130, mahkamah menyatakan “Seorang defendan berhak menggunakan kekerasan yang munasabah untuk mempertahan diri”. Dalam kes itu juga, Lord Griffith menjelaskan “Seorang yang akan diserang tak perlu tunggu hingga orang lain itu menyerangnya atau menembaknya; hak keadaan mungkin membolehkan dia bertindak secara pre-emptif” (A man about to be attacked does not have to wait for his assailant to strike the first blow or fire the first shot; circumstances may justify a pre-emptive strike).

Disebabkan kes Zulkifli ini sudah menjadi sub judice, adalah tidak wajar bagi kita membuat sebarang komen lebih dari ini. Kita pun tidak dimaklumkan sama ada kedua-dua perompak yang memasuki rumah Zulkifli itu ada bersenjata atau atau mengugut melakukan apa-apa kekerasan terhadapnya atau ahli keluarganya. Jika pasukan pendakwa berhasrat meneruskan pertuduhan mereka di bawah Seksyen 302 terhadapnya, pastinya mereka akan mengemukakan keterangan serta hujah bahawa apa yang dilakukan oleh tertuduh (Zulkifli) itu bukan satu hak mempertahankan diri, manakala peguambelanya akan menghujahkan sebaliknya pula. Sama-samalah kita tunggu kesudahan kes ini.

PENULIS ialah penganalisis undang-undang.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain