Wanita, katanya, tidak kira dari lapisan mana sekalipun - berpendapatan rendah, sederhana, bahkan yang berduit pun - boleh berjaya asalkan rajin, kreatif dan bekerja keras.

Shahaniza menarik perhatian Utusan Malaysia dalam pertemuan di ibu negara baru-baru ini me­ngenai perniagaan sekecil menjual kerepek.

“Katakan anda bermodalkan hanya RM50 (kerepek yang dibeli dalam kilogram) + RM10 (pembungkusan plastik) sebelum dibungkus kecil-kecil dan dijual. Dengan kerepek bernilai RM50 tadi, seseorang usahawan itu mampu mencapai sehingga 20 plastik.

“Keuntungan RM1,000 sebulan dari perniagaan kerepek, itu boleh dibuat perniagaan yang berkembang pesat sekarang, contohnya, busana muslimah atau kosmetik (kesihatan dan kecantikan).

“Kalau kita buat jubah, contoh­nya, satu jubah kosnya RM100 (kain + jahit + pembungkusan + pemasaran) dan kita jual RM200. Jadi, dalam RM1,000 kita boleh buat 10 jubah dan dapat jualan RM2,000,” katanya.

Begitu juga dengan perniagaan tudung, kata Shahaniza:

“Katakanlah secara purata terdapat lapan juta wanita beragama Islam di negara ini. Dengan kata lain, potensi pelanggan anda adalah seramai lapan juta orang.

“Sekiranya diambil kiraan kasar, setiap seorang membeli sehelai tudung berharga RM20 setiap bulan, maka 8,000,000 orang x RM20 = RM 16,000,000 sebulan. Kalau RM16,000,000 x 12 bulan = RM192,000,000 setahun.

“Secara kasarnya, mengikut kiraan di atas, saiz pasaran adalah lebih kurang 200 juta setahun,” katanya.

Bertitik tolak dari keprihatinan inilah, kata Shahaniza, Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri Pahang yang diketuai beliau dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terpanggil untuk menganjurkan Festival Dari Wanita Untuk Wanita 2016.

Selama empat hari bermula esok 19 Mei, Dataran Temerloh, Pahang, iaitu tempat berlangsungnya festival dijangka dibanjiri kira-kira 250,000 pengunjung.

“Program berskala besar ini belum pernah dilihat di Temerloh dan ia bukan semata-mata mengetengahkan peluang-peluang keusahawanan kepada wanita, malah kami menyajikan 19 acara lain dengan pendekatan santai dan bermaklumat. Matlamatnya hendak mengembangkan rangkaian melibatkan wa­nita,” katanya.

Shahaniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul berkata, pihaknya mahu mengimplementasikan dasar-dasar kerajaan yang mahukan wanita menjadi ejen pemangkin yang lebih berkesan kepada masyarakat sama ada dari segi ekonomi, kesihatan, sukan dan agama.

Kata beliau: “Taraf literasi wa­nita semakin meningkat dengan golongan itu mewakili satu pertiga daripada keseluruhan tenaga kerja, justeru suatu kerugian besar jika ruang dan peluang untuk berkembang maju tidak digerakkan.

“Penganjuran festival ini akan memberi pelbagai faedah serta peluang baharu mahu pun sedia ada dan seterusnya dapat memimpin golongan wanita khususnya di Pahang untuk lebih maju di masa akan datang.

“Penyertaan wanita dari luar Pahang turut kami alu-alukan. Kita berkumpul supaya dapat ber­kenalan, bertukar-tukar fikiran dan mempromosikan produk masing-masing,” katanya.

Katanya, festival berkenaan akan memberi ruang kepada golongan kecil seperti ibu tunggal untuk menjual dan memasarkan produk mereka bukan sahaja di peringkat negeri, bahkan ke seluruh negara.

Setakat ini, terdapat kira-kira 2,000 ibu tunggal berdaftar dengan kerajaan negeri dan pihaknya akan mempergiatkan lagi usaha bagi memastikan golongan itu tidak tersisih daripada arus pembangunan.

“Perniagaan yang berteraskan produk dan penglibatan wanita se­perti tudung, busana muslimah, kosmetik dan makanan beku kini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

“Mereka tidak lagi menjurus perniagaan tradisi tetapi sudah terkehadapan dengan penyertaan dan minat daripada badan-badan korporat.

“Di sini saya tidak lupa untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Bank Rakyat yang turut terlibat menaja program festival ini,” katanya.

Antara acara menarik disediakan sepanjang festival berlangsung ialah sukan rakyat, belon udara, ceramah agama disertai ustaz Don (8.45 malam 19 Mei), konsert, ferris wheel, Pahang Idol, aspirasi wanita dan selebriti, pemeriksaan kesihatan percuma serta kursus keusahawanan.

Turut menarik perhatian pe­ngunjung nanti cabutan bertuah, kenduri rakyat, senamrobik zumba, air inflatables, lady bikers, pa­meran, pertandingan kanak-kanak, bola jaring, busana Muslimah, bola sepak artis fan wayang pacak.

Festival mendapat kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Majlis Perbandaran Temerloh, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Tekun Nasional, SME Corp., Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Mara, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Pelitawanis Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Penganjuran festival, kata beliau, juga bertepatan dengan sambutan Hari Ibu, Hari Guru dan Hari Jururawat bulan ini.

Sebuah portal dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang iaitu Wanita Mall juga akan dilancarkan yang berfungsi sebagai pusat pe­ngumpulan data kepada usahawan wanita di Pahang bagi menyalurkan input, tips dan maklumat berkaitan keusahawanan.

“Idea ini timbul apabila kita lihat setiap kali diadakan karnival keusahawanan, kebiasaannya ia dibuat dalam bentuk skala kecil yang tidak dapat mempromosikan sepenuhnya produk usahawan wanita ini,” katanya.

Beliau menjangkakan lebih 200,000 pengunjung menghadiri festival ber­kenaan yang menyediakan pelbagai hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM100,000.

“Selain gajet, barang elektrik, kami juga menyediakan hadiah utama sebuah kereta Perodua Axia dan tiga buah motosikal Demak kepada pe­ngunjung bertuah,” kata Shahaniza.