PERJALANAN dari pekan kecil Sungai Rengit ke Tanjung Pengelih mengambil masa kira-kira setengah jam. Melalui pekan Pengerang yang dikelilingi beberapa kedai-kedai kayu kini semakin berbeza kerana sebahagian besar kawasan hutan dan kampung telah tiada.

Ini kerana kawasan itu kini telah diterokai untuk projek industri minyak dan gas di kawasan Pengerang. Kampung-kampung sekitar juga telah dipindahkan ke kawasan lain di mukim itu sejak tahun lalu.

Namun, pemandangan itu tidak menghalang misi S2 untuk mengunjungi tapak kompleks pertahanan zaman penjajahan British, Pengerang Battery yang terletak di Bukit Pengerang di Tanjung Pengelih.

Setibanya penulis di Tanjung Pengelih, lokasi paling hujung dalam mukim Pengerang, kelihatan Pangkalan TLDM KD Sultan Ismail dan Kompleks Kastam dan Imigresen yang sudah beroperasi di situ sejak 1990-an.

Betul-betul di tepi jalan sebelum masuk ke kawasan kompleks Kastam dan Imigresen, kelihatan beberapa binaan lama yang merupakan kubu pertahanan yang dibuat oleh pihak British pada 1930-an.

Kubu tersebut hanyalah sebahagian yang dapat dilihat daripada keseluruhan kompleks pertahanan British yang masih berdiri teguh di sekitar Bukit Pengerang.

Pengerang Battery merupakan kompleks pertahanan yang lengkap dengan pelbagai infrastruktur termasuk hospital, tempat simpanan makanan, senjata dan peluru, kubu bawah tanah serta terowong rahsia yang dibina bagi menghadapi serangan tentera Jepun pada 1940-an.

Namun, kompleks pertahanan tersebut sebenarnya tidak pernah digunakan apabila tentera Jepun tidak langsung menyerang Singapura melalui Pengerang sebaliknya menggunakan laluan Johor Bharu sebelum berjaya mengalahkan British pada Februari 1942.

Menurut seorang pengkaji sejarah yang membuat kajian lengkap mengenai Pengerang Battery, Raz Talhar, kubu pertahanan itu mempunyai kedudukan yang sangat strategik dengan pusat pemantauan terletak di atas Bukit Pengerang setinggi 180 meter.

Katanya, selepas Leftenen Jeneral Arthur E. Percival menyerah kalah kepada pihak Jepun, tentera British yang ditugaskan di Pengerang telah ‘dilupakan’ apabila hampir tiada pertempuran berlaku di kawasan itu semasa Jepun menyerang.

“Pihak Jepun tidak pernah menghantar pasukannya ke Pengerang. Mereka tidak perlu berbuat demikian kerana Pengerang berada begitu jauh dari laluan tentera Jepun ke Singapura melalui Johor Bharu. Kawasan itu juga tidak langsung memberi ancaman kepada rancangan serangan Jepun ke atas Singapura,” katanya.

Namun, tentera Jepun pernah juga berada di Pengerang ketika proses memindahkan pasukan pertahanan British ke Changi. Di sebalik kegagalan British, Raz melihat Pengerang Battery sebenarnya menjadi mekanisme pertahanan yang efektif ketika itu.

“Dengan gabungan kuasa tembakan dari pertahanan lain termasuk di Changi serta Pulau Tekong, kesan penghalang di kawasan pertahanan sebelah Timur memberi impak tinggi. Saya pasti pihak Jepun telah mengambil kira ini dalam perancangan serangan mereka sebelum itu,” katanya.