Sepanjang empat hari itu, terlalu banyak maklumat diterima. Seakan tidak percaya, namun penulis benar-benar secara ikhlas mahu mengingatkan kepada warga Langkawi, anda perlu bersedia.

Sebabnya, Langkawi yang anda diami hari ini bakal berubah ‘warna serta coraknya’ dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. Jika hari ini anda berpeluang menadah rezeki dengan tangan hasil kedatangan ramai pelancong, mungkin selepas ini anda memerlukan bekas yang lebih besar.

Perlu disedari, kerajaan menerusi Blueprint Pelancongan Langkawi yang diwujudkan sejak lima tahun lalu mahu membangunkan pulau tersebut sebagai antara 10 destinasi pelancongan terbaik dunia. Dan untuk mencapainya, Langkawi seharusnya berkemampuan untuk menarik kedatangan pelancong dari segala latar belakang bermula dari pelancong bajet sehinggalah pelancong premium iaitu golongan yang sukar untuk singgah ke pulau legenda itu sebelum ini.

Pahit untuk ditelan tetapi fakta tidak menipu. Sebagai contoh, anda perlu tahu bahawa kebanyakan pelumba serta individu yang terlibat dengan perlumbaan Formula Satu (F1) di Sepang saban tahun tidak memilih Langkawi sebagai destinasi untuk berehat sebaliknya terus ke Bali, Indonesia.

Begitu juga dengan golongan profesional atau syarikat-syarikat besar dunia yang seringkali memilih Bali sebagai tempat perkumpulan mahu pun persidangan bersifat santai. Soalnya mengapa Bali menjadi pilihan sedangkan pulau itu bukannya diklasifikasikan sebagai bebas cukai seperti Langkawi?

Jawapannya mudah, kerana Langkawi gagal menyediakan kemudahan seperti hotel-hotel mewah yang menepati citarasa mereka. Bukan hendak berlagak kerana penulis sendiri pun tidak mampu tetapi hakikatnya untuk golongan sebegini, hotel yang menawarkan bilik pada harga RM2,000 atau RM3,000 untuk penginapan satu malam belum tentu menepati kehendak mereka.

Barangan-barangan dengan jenama terkenal juga tiada di Langkawi. Jika dibandingkan dengan Bali, jelas Langkawi terlalu jauh ketinggalan daripada aspek ‘memuaskan nafsu’ berbelanja mereka sekali gus menyebabkan kita tewas kepada Bali untuk menarik ‘wang’ mereka ke sini.

Maka dengan itu, tertegaklah The St. Regis di Jalan Pantai Beringin yang keindahannya boleh dilihat sebaik saja pelancong tiba ke Langkawi dengan menaiki feri.

Hotel itu setakat ini adalah satu-satunya hotel di Langkawi yang menawarkan penginapan mewah sepenuhnya serta mempunyai pengikutnya tersendiri dari kalangan golongan elit dari serata dunia.

Sebagai nilai tambah, Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) yang serba lengkap dengan peralatan canggih serta mempunyai reka bentuk moden sudah pun disiapkan dan diguna pakai sejak April 2015. Maka, nantikan sajalah pelbagai persidangan mahu pun pertemuan bertaraf antarabangsa di Langkawi nanti ketika nama LICC kian mendapat perhatian kini.

Semua itu bagaimanapun hanyalah fasa pertama dalam menjadikan Langkawi sebagai Riveira Of Asia persis pemandangan indah di Monaco.

Dalam fasa kedua, nantikan saja kawasan berkeluasan kira-kira 95 hektar berhampiran pesisiran pantai sejauh tujuh kilometer di pekan Kuah berkembang dengan pelbagai kemudahan berkelas dunia termasuk hospital swasta bagi menaik taraf sektor pelancongan kesihatan bertapak di pulau tersebut.

Malah dari sumber-sumber yang amat boleh dipercayai, u­saha sedang giat dijalankan kerajaan bagi menarik penganjuran acara sukan bertaraf dunia seperti kejohanan tenis ATP serta perlumbaan Formula-E yang pastinya menjadi salah satu bentuk promosi di mata dunia.

Kerajaan negeri juga tidak berdiam diri. Hasil kerjasama dengan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. (BiotechCorp) serta rangkaian syarikat kosmetik terkenal di Perancis, Cosmetic Valley, Langkawi tidak lama lagi dijangka turut dikenali sebagai kepulauan kosmetik.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya negeri, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid melalui kerjasama dengan nilai pelaburan kira-kira RM200 juta itu, pelbagai produk kosmetik dan pewangi berjenama terkenal akan dihasilkan dan dipasarkan di Langkawi.

“Apabila kilang-kilang itu beroperasi nanti, golongan petani dan masyarakat bukan saja di Langkawi malah di seluruh negeri Kedah bakal mendapat manfaat. Mereka yang berminat boleh terlibat dengan penanaman bunga-bungaan serta herba yang amat diperlukan dalam pembuatan barangan tersebut.

“Sebanyak 5,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dijangka dibuka. Kesemua itu dijangka menjana pendapatan sebanyak RM500 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dengan segala coretan di atas, maka jelaslah penduduk Langkawi bakal menerima faedah besar. Kedatangan pelancong kelas premium yang mampu berbelanja besar serta pelbagai lagi perancangan dijangka membuka pintu kepada limpahan rezeki dan peluang perniagaan berpendapatan tinggi buat warganya.

Maka sekali lagi penulis mahu mengingatkan penduduk Langkawi agar bersedia untuk me­nerima semua nikmat hasil usaha kerajaan Pusat dan negeri. Sudi-sudilah berkongsi rezeki sesama anda dan jangan dicalarkan imej kemajuan dengan perkara-perkara negatif. Selamat maju jaya orang Langkawi!