Dalam pada menanti kejutan berikutnya, rakyat terus kaget. Ramai yang masih tidak yakin dengan pembaharuan yang sedang berlaku dan menyuarakan kegusaran ini melalui petisyen dan desakan di portal atas talian serta media sosial. Ada berpendapat pembaharuan yang cuba dilakukan kerajaan terlalu dangkal. Sedangkan ada pula berpendapat pembaharuan yang dirancang adalah keterlaluan sehingga boleh kecamukan sistem.

Ketika rakyat menerawang berhadapan pembaharuan ini, pihak pemerhati daripada Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera masih berdiam diri tanpa memainkan fungsi sebagai pembangkang dan pengimbang de­ngan baik. Kegagalan mereka untuk bersuara menjadikan rakyat  menjadi semakin gusar.

Memahami kegusaran ini dan bagi menyediakan landasan yang lebih teratur bagi rakyat menyua­rakan pandangan, IRC telah menjemput rakyat untuk menghantar aduan ber­kenaan dengan sebarang isu tadbir urus yang lemah. Jemputan ini adalah langkah pertama yang baik dalam memahami masalah sistemik yang merundung negara. Landasan ini juga memastikan kerajaan memberikan perhatian bukan sahaja kepada perkara-perkara yang diketengahkan oleh sesetengah pihak yang mempunyai agenda tersendiri, tetapi kepada kesemua isu daripada pentafsiran menyeluruh setiap lapisan masyarakat.

 Landasan ini juga menjawab kebimbangan banyak pihak yang khuatir dengan keputusan kerajaan mengangkat pihak-pihak dengan kecenderungan tertentu sebagai penasihat negara. Hal ini lebih-lebih lagi apabila melihatkan senarai penuh ahli IRC tidak mengangkat mereka yang mampu mengimbangi pandangan jawatankuasa tersebut dalam beberapa perkara khususnya yang melibatkan kepentingan agama Islam dan kaum Melayu.

Sepanjang tempoh tiga ming­gu kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kepimpinan negara, saban hari rakyat disajikan dengan berita tuntutan demi tuntutan untuk memansuhkan institusi agama Islam dan menghapuskan dasar menyokong kaum Melayu. Selain mengetepikan peruntukan undang-undang sedia ada, tuntutan-tuntutan sebegini menghina Perlembagaan Persekutuan.

 Bagi mengimbangi persaingan kepentingan yang wujud dengan rawak, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) yang mewakili peme­gang berkepentingan (stakehol­ders) tertentu harus lebih lantang dalam memainkan peranan sebagai pengembang pengaruh sosial. Tatkala wujud ketirisan kepimpinan yang serius dalam menjaga kepentingan orang Islam dan Melayu di Malaysia, sudah tiba masanya CSO memainkan pe­ranan dalam mengetengahkan isu-isu masyarakat Islam dan Melayu.

Tugas CSO tidak hanya terhad sebagai mereka yang melakukan kerja-kerja kemanusiaan tetapi le­bih utama lagi dalam mempe­ngaruhi dasar kerajaan bagi melin­dungi kepentingan yang mereka wakili. Untuk ini, pelbagai majlis perun­dingan yang telah ditubuhkan perlu memainkan peranan sebagai pemerhati bagi memastikan dasar dan tindak-tanduk kerajaan adalah tidak bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan, perundangan dan naratif kebangsaan.

Tugas badan-badan seperti Maj­lis Perundingan Melayu, Dewan Perniagaan Melayu dan Maj­lis Tindakan Ekonomi Melayu adalah untuk memastikan dasar kerajaan tidak mengetepikan kepentingan ekonomi dan sosial kaum Melayu.  Begitu juga dengan tugas CSO gabungan seperti Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) yang mentakzimkan peruntukan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan untuk memelihara dasar-dasar berkaitan martabat agama Islam di Malaysia.

CSO yang mengangkat diri me­reka sebagai pejuang bangsa dan agama harus menjadi blok ketiga yang lantang dalam mengimbangi lambakan tuntutan yang mendesak pengecilan kepentingan Islam dan Melayu dalam dasar-dasar kerajaan. Untuk berdiam diri tanpa mengetengahkan pandangan mereka adalah mencemar amanah yang mereka galas terutama semasa kepimpinan dalam kerajaan dan pembangkang masih tidak memberikan komitmen kepada hal ini.
PENULIS ialah pengamal undang-undang.