Rakyat Malaysia sudah pasti mengalu-alukan usaha-usa­ha yang sedang dilakukan bagi menjadikan SPRM sebuah badan yang benar-benar bebas dalam memerangi rasuah.

Ahli-ahli politik daripada kedua-dua belah jurang fahaman politik harus memberi sokongan penuh dan padu terhadap apa-apa pindaan undang-undang untuk menjadikan SPRM benar-benar bebas dan berkesan dalam memerangi gejala rasuah di negara ini.

Untuk memastikan bahawa SPRM benar-benar berwibawa dan digeruni oleh semua, ia mesti diberikan kuasa sama se­perti Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) di Hong Kong yang telah diketahui amat berkesan dalam membanteras rasuah.

Ahli-ahli politik tanpa mengira fahaman politik dan ideologi perlu bersatu dalam memerangi jenayah terbesar di negara ini iaitu rasuah.

SPRM harus diberi pujian terhadap usaha membanteras rasuah setakat ini dan yang pasti mereka akan boleh melakukannya dengan lebih baik untuk memerangi rasuah sebagai musuh nombor satu negara jika ia boleh berfungsi sebagai sebuah badan autonomi yang bebas daripada per­khidmatan awam.

Jika ia hendak dilihat benar-benar bebas, maka perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk menempatkan semula pejabat SPRM di luar Kompleks Perdana Menteri dan meletakkannya di tempat yang sesuai.

Rasuah telah bersama kita sejak awal pembangunan manusia. Namun kita tidak boleh berasa lega dan leka berkaitan isu rasuah kerana ia menyerang bukan sahaja fabrik ekonomi dan sosial masyarakat malah juga menggugat asas-asas mo­ral pemerintahan.

Perilaku

Rasuah adalah meluas, ia mampu menjangkau hampir dalam setiap aspek kehidupan. Ia wujud dalam pelbagai bentuk selagi orang ramai berinteraksi dengan pihak berkuasa.

Ia telah terbukti dalam pelbagai keadaan di mana seseorang individu yang terlibat dengan perilaku rasuah adalah kerana tamak dan peluang untuk melakukan amalan rasuah. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa ketamakan merupakan faktor utama di sebalik kebanyakan perilaku amalan rasuah.

Pegawai yang terlibat dalam amalan rasuah kebanyakannya ialah golongan yang sepatutnya bertanggungjawab bagi pe­nguatkuasaan undang-undang. Untuk membasmi amalan ini, semua agensi penguatkuasaan undang-undang perlu mempunyai sistem audit dan kawalan dalaman yang boleh mengesan penyelewengan.

Usaha berterusan perlu dilakukan untuk memupuk integriti dan nilai-nilai etika yang tinggi kerana orang yang berintegriti tidak mungkin melakukan amalan rasuah dalam apa jua keadaan.

Penerapan nilai-nilai murni dan etika dengan disertai kepatuhan kepada sumpah tadbir urus yang baik adalah cara yang paling berkesan untuk memerangi amalan rasuah dalam perkhidmatan awam.

Untuk memerangi rasuah kita perlu membina insentif yang kukuh dan segala perilaku rasuah adalah tertakluk kepada penelitian awam.

Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mendidik rakyat terhadap bagaimana mereka boleh melaksanakan hak-hak dan tanggungjawab mereka sebagai masyarakat dan bagaimana mereka boleh mengambil bahagian secara aktif dalam usaha untuk menambah baik tadbir urus negara.

Khususnya pendekatan untuk mempromosi kesedaran awam dan penglibatan awam perlu diberi penekanan seperti berikut: -

i) Media yang bebas dan telus melaporkan kegiatan rasuah,

ii) Meningkatkan akses rakyat terhadap maklumat khususnya di kawasan luar bandar;

iii) Menggalakkan perbincangan dan wacana mengenai isu-isu integriti dan penyalahgunaan kuasa.

iv) Membangunkan kesedaran sivik yang lebih tinggi demi untuk memupuk budaya ketelusan, akauntabiliti dan integriti di kalangan rakyat;

v) Universiti dan institusi pengajian tinggi perlu memupuk nilai-nilai integriti di kalangan mahasiswa untuk me­ngubah persepsi mereka terhadap rasuah;

vi) SPRM boleh memainkan peranan penting untuk memupuk nilai-nilai positif di semua maktab perguruan supaya guru-guru boleh menyampaikan nilai-nilai yang baik kepada pelajar untuk masa depan mereka.

Usaha memerangi rasuah juga perlu bermula di sekolah-sekolah melalui penekanan yang lebih tinggi kepada pengajaran dan pengamalan nilai-nilai murni di kalangan generasi muda kita tentang keperluan untuk membangunkan satu budaya kejujuran dan integriti serta menjadikan ia satu cara hidup sebagai pelapis kepimpinan negara di masa depan.

Jika boleh satu kurikulum perlu diperkenalkan di bilik darjah untuk membolehkan pelajar-pelajar diajar tentang keburukan rasuah dan mengapa ia tidak boleh dibiarkan.

Kita tidak boleh membanteras rasuah dengan berkesan jika kita abaikan nilai-nilai, moral, etika dan integriti. Pemupukan nilai dan integriti harus bermula dengan golongan muda ketika mereka di bangku sekolah.

Tan Sri Lee Lam Thye ialah Ahli Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.