Meriam batang kelapa merupakan warisan zaman berzaman yang menjadi tradisi di Kampung Parit Baru, Sabak Bernam, Selangor setiap kali menjelangnya Ramadan dan terutama pada malam Hari Raya Aidilfitri.

Pada masa itu, orang kampung terutama anak-anak muda akan bergotong-royong membuat persediaan sebelum meriam batang kelapa itu dibedil pada malam raya.

Menurut anak jati Kampung Parit Baru yang juga Ahli Parlimen Belia Malaysia, Mohamad Hakim Mohd. Nor, tugas pertama dilakukan orang kampung adalah mencari batang kelapa yang sesuai untuk dijadikan meriam.

“Pokok kelapa yang telah ditebang akan dibelah menjadi dua dan kemudian dibahagian tengahnya akan dikorek seperti lubang. Kemudian, kedua-dua batang kelapa itu dicantum semula dan diikat dengan kuat menggunakan buluh yang lembut atau tali tebal.

“Satu lubang pencucuh akan ditebuk pada pangkal batang kelapa. Cara menyalakannya sama sahaja seperti bermain meriam buluh,” katanya.

Katanya, tradisi meriam kelapa itu dikatakan berasal dari Jawa dan menjadi aktiviti anak tempatan di kampung itu dan kawasan sekitar Sabak Bernam setiap kali Ramadan dan menjelangnya Syawal dengan cara menyusun sehingga enam batang meriam sebelah-menyebelah sebelum acara membedil bermula.

Beliau berkata, pada malam raya, satu pertandingan akan diadakan bagi mencari meriam yang paling kuat berdentum.

Mohamad Hakim berkata, meriam batang kelapa mempunyai cara pembuatan yang sama dengan meriam karbait yang begitu popular dimainkan setiap menjelang Syawal di Pontianak, Kalimantan.

“Mengikut sejarah, kampung ini pernah membuat sehingga 40 batang meriam kelapa dalam persiapan menjelang Syawal. Aktiviti ini mengisi masa lapang anak muda di waktu siang dan juga selepas solat sunat tarawih,” katanya.

Katanya, aktiviti tradisi itu bukan sahaja dimainkan oleh golongan muda tetapi juga mereka yang sudah berumur dan mempunyai pengalaman dalam pembuatan meriam batang kelapa.