Ada pendapat mengatakan Puteri Saadong berpindah ke Gunung Ayam bersama ibu angkatnya iaitu Che Siti Wan Kembang selepas sering merasa tidak tenteram berada di Bukit Marak.

Pendapat lain pula mengatakan Puteri Saadong membawa diri ke Gunung Ayam kerana merajuk dan makan hati dengan sikap segelintir penduduk kampung yang tidak bertanggungjawab dan tidak menepati janji dalam memulangkan semula pinggan mangkuk yang dipinjam daripadanya.

Menurut Setiausaha Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK), Raja Yusof Raja Abd. Rahman, ketika bersemayam di sebuah gua di Bukit Marak, penduduk kampung sering datang ke gua itu untuk meminjam pinggan mangkuk apabila mengadakan majlis jamuan.

“Di dalam gua tersebut, dikatakan tidak ada sesiapa pun yang dapat melihat wajahnya dengan jelas. Puteri Saadong akan mengarahkan dayang-dayangnya menyerahkan barang-barang yang ingin dipinjam penduduk.

“Dayang-dayang yang menyerahkan barangan tersebut juga tidak menampakkan diri melainkan dua tangan sahaja yang kelihatan dihulurkan keluar dari pintu gua, sementara anggota badan yang lain disembunyikan di sebalik gua,” katanya.

Namun, selepas menggunakan pinggan mangkuk tersebut, mereka tidak memulangkan semula barang-barang yang dipinjam untuk diserahkan semula kepada Puteri Saadong.
Malah ada juga yang nakal sengaja memegang tangan dayang-dayang ketika mereka menghulurkan barang-barang yang hendak dipinjam.

“Keadaan ini menyebabkan Puteri Saadong marah dan bertindak meninggalkan Bukit Marak lalu berpindah ke Gunung Ayam. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kebenaran cerita tersebut kerana terdapat pelbagai pendapat mengenai Puteri Saadong yang menghilangkan diri tanpa diketahui di mana pengakhiran kisahnya,” ujarnya.