Penghulu yang mengetuai setiap luak memperolehi kuasa atau mandat daripada Sultan Johor. Negeri Sembilan dikatakan memiliki sejarah penubuhan yang kompleks, bukan sahaja dari segi adat, malah geografi.

Sebagaimana dibayangkan oleh namanya, Negeri Sembilan merujuk kepada persekutuan sembilan negeri yang menjadi sebuah kesatuan politik. Namun, wujud pelbagai tanggapan berbeza mengenai bilangan luak dan daerah di Negeri Sembilan. Malah masih belum jelas, luak mana pada asalnya yang bergabung untuk membentuk Negeri Sembilan.

Berdasarkan salah satu catatan sejarah, Negeri Sembilan pada peringkat awal dikatakan terdiri daripada sembilan negeri atau luak iaitu Sungai Ujong, Rembau, Johol, Jelebu, Naning, Kelang (kini Klang), Hulu Pahang, Jelai dan Hulu Muar.

Daripada sembilan negeri itu, dua luak menjadi perbahasan tentang kedudukannya dalam Persekutuan Negeri Sembilan iaitu Hulu Pahang dan Jelai. Persoalan yang seringkali dibangkitkan ialah jarak kedudukannya dengan luak-luak lain di Negeri Sembilan adalah jauh dan terpinggir.

Dalam pada itu, kedudukan Kelang juga menjadi perbahasan. Persoalan Jelai diselesaikan dengan pernyataan kedudukannya bukanlah Jelai dalam Pahang tetapi Inas (Jelai) yang kini sebahagian daripada Seri Menanti.

Seringkali dinyatakan dalam sejarah, Melaka menguasai negeri Melayu. Begitu juga apabila kerajaan Johor meneruskan keagungan Kesultanan Melaka, kerajaan Johor pula menguasai negeri Melayu.

Ketika kerajaan Johor dalam keadaan kucar-kacir dan lemah, negeri naungan Johor telah membebaskan diri daripada kerajaan Johor. Pada 1708, Putera Bendahara Padang Saujana, Tun Habib Abdul Majid iaitu Tun Zainal Abidin mengasaskan kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Zainal Abidin I.

Diikuti Selangor yang membebaskan diri daripada Johor apabila Putera Yang Dipertuan Muda Johor, Daeng Chelak iaitu Raja Lumu mendapat daulat daripada Sultan Perak, Sultan Mahmud Shah. Raja Lumu kemudian mendirikan kerajaan Selangor pada 1766 dengan gelaran Sultan Salehuddin Syah. Kelantan dan Negeri Sembilan turut sama membebaskan diri daripada naungan Johor sekitar 1770-an.

Tahun 1773 merupakan permulaan kerajaan Negeri Sembilan, apabila raja dari Pagar Ruyung iaitu Raja Melewar dijemput pembesar-pembesar dan ditabalkan sebagai pemerintah dengan gelaran Yam Tuan atau Yang Dipertuan Besar.

Bagaimanapun menurut Felo Penyelidik Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali (gambar), terdapat beberapa luak yang keluar dari negeri itu, antaranya Kelang yang menyertai Selangor, manakala Hulu Pahang dan Jelai memasuki Pahang dan Hulu Muar menjadi sebahagian daripada Segamat.

“Naning pula ditakluki British pada 1832 dan menjadi sebahagian daripada Melaka. Jadi, yang tinggal Sungai Ujong, Rembau, Jelebu dan Johol,” ujarnya.

Negeri Sembilan berpecah buat seketika pada 1869 berikutan perebutan kuasa di antara putera Yam Tuan Besar Raja Radin, Tunku Antah dengan putera Yam Tuan Besar Raja Imam, Tunku Ahmad Tunggal, sekali gus menyebabkan berlakunya huru-hara di Rembau.

Pelbagai usaha kemudian dilakukan oleh para pembesar untuk mencantumkan semula luak yang berpecah, namun tidak berhasil. Proses itu hanya berjaya dilakukan pada 1880-an yang menyaksikkan Gabenor Negeri-negeri Selat, Frederick Weld memainkan peranan ke arah penubuhan Negeri Sembilan sebagai sebuah unit politik.

Menurut Abdullah, menjelang 1895, sebuah perjanjian ditandatangani di antara Yang Dipertuan Besar Seri Menanti, Undang Johol, Undang Sungai Ujong, Undang Jelebu, Undang Rembau dan Tunku Besar Tampin dengan Gabenor Negeri-Negeri Selat.

“Di dalam perjanjian itu, undang bersetuju membentuk sebuah negeri disebut sebagai persekutuan dan dikenali dengan nama Negeri Sembilan dan menerima seorang Residen British sebagai penasihat,” katanya.

Luak Jempol, Luak Inas, Luak Gunong Pasir dan Luak Terachi juga dimasukkan ke dalam Negeri Sembilan, namun penghulu mereka bebas menjalankan pentadbiran masing-masing.

Kedudukan Negeri Sembilan sekali lagi mengalami perubahan apabila pada 1895, Sungai Ujong dan Jelebu yang sebelumnya bernaung di bawah British memasuki persekutuan negeri tersebut.

Dr. Abdullah berkata, Negeri Sembilan kemudian menyertai Perak, Selangor dan Johor menandatangani Perjanjian Persekutuan menjadi salah sebuah negeri dalam Negeri Melayu Bersekutu pada 1895 dan ditadbir oleh Residen Jeneral yang berpusat di Kuala Lumpur.

Sungguhpun Negeri Sembilan menjadi sebuah negeri yang rasmi, namun daerah hanya terdiri daripada enam sahaja iaitu Seri Menanti, Rembau, Johol, Sungai Ujong, Jelebu dan Tampin.

Tahun 1898 menyaksikan Undang yang empat iaitu Undang Sungai Ujong, Undang Jelebu, Undang Rembau dan Undang Johol menurunkan tandatangan bagi mengiktiraf Tunku Muhammad sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang pertama.