Penjajahan Belanda yang menekan ekonomi penduduk di wilayah berkenaan pada ketika itu menjadi punca utama masyarakat Banjar meninggalkan kampung halaman untuk mencari sinar hidup baru.

Berikutan itu, ada yang merantau ke Kepulauan Jawa dan Sumatera, sebahagian yang lain pula melakukan penghijrahan ke Singapura, kemudian belayar ke Pulau Pinang dan seterusnya ke Perak.

Bermula dari situ, masyarakat Banjar yang terkenal dengan kebolehan bertani diberi kebenaran oleh pihak British di Tanah Melayu ketika itu membuka tanah untuk bercucuk tanam.

Masyarakat itu menjadikan beberapa kawasan di Johor, Selangor dan Perak sebagai penempatan baru dan membuka tanah-tanah baru bagi tujuan pertanian.

Apa yang uniknya mengenai orang Banjar? Seperti orang Jawa, Melayu, Mandailing, Minang dan lain-lain yang berasal dari Kepulauan Nusantara, masyarakat Banjar mempunyai keistimewaan tersendiri.

Dari aspek bahasa, makanan, pakaian, amalan tradisi dan kesenian, masyarakat Banjar memaparkan corak kehidupan yang sederhana tetapi mempunyai keunikan, selain warisan yang masih kekal sehingga hari ini.

Masih ramai orang Banjar yang wujud di Malaysia bertutur dan mengamalkan sosiobudaya masyarakat itu sejak sekian lama. Malah, ia menjadi sebati dengan kehidupan masyarakat Malaysia termasuk orang Melayu pada hari ini.

Wartawan S2, FAIZAH IZZANI ZAKARIA mendekati masyarakat Banjar di Malaysia, selain menyingkap asal-usul serta sejarah penghijrahan mereka ke negara ini suatu masa dahulu.