Ramai yang boleh memberikan pendapat mengenai keadaan ekonomi antarabangsa akan tetapi dalam mempersiapkan diri dan keluarga menanganinya ramai yang akan terkulai gagal.

Apabila waktu dan ketika kita sedar bahawa kita perlu ­melakukan perubahan di dalam kehidupan, ia akan menjadi suatu keadaan yang amat menekan dan mengganggu perasaan dan emosi kita.

Ramai antara kita yang pernah mengalami pasang surut keadaan ekonomi dunia sejak dari tahun 80-an walaupun ketika kanak-kanak sehingga kini menerajui keluarga dan organisasi.

Perkara pertama yang kita perlu lakukan adalah berhenti membuang masa. Jangan bazirkan masa dan wang dalam melakukan perkara yang tidak berfaedah. Ini akan menambahkan lagi masalah kewangan kita.

Kita perlu fokus kepada permasalahan yang ada di depan kita.

Walaupun masalah ekonomi ialah masalah global, kadang-kadang, sebagai individu kita merasakan seperti bersendirian dalam menangani masalah ini. Jangan lupa, semua orang menghadapi masalah kewangan cuma dalam bentuk yang berbeza tidak kira sama ada mereka tergolong dalam golongan B40, M40 mahupun T20.

Selagi kita tidak dapat mena­ngani masalah kewangan individu dan keluarga, selagi itulah kita pening mencari kebocoran dalam kantung kewangan kita. Cara ­paling mudah ialah dengan mencari di mana punca kebocoran tersebut.

Paling mudah adalah dengan meninggalkan kredit kad kita di rumah. Walaupun ia tidak menampal kebocoran secara hakiki, namun dapat melambatkan kebocoran itu daripada melimpah.

Antara cabaran dalam menangani krisis ekonomi peribadi ialah apabila kita melihat senarai per­belanjaan dan bil yang kita terima setiap bulan. Kita memerlukan telefon, api dan air untuk hidup dalam dunia moden dan setiap unsur ini memerlukan wang.

Apa yang kita perlu lakukan adalah menggunakan segala sumber yang kita ada dan jangan membazir.

Pergilah ke dapur dan sudah pasti ada banyak barangan makanan kering yang masih kita tidak gunakan lagi.

Gunakanlah secara maksimum dengan mewujudkan menu ­baharu untuk keluarga. Selain itu, sudah pasti masyarakat Malaysia mempunyai almari besar yang memuatkan baju yang ada antaranya kita pakai setahun sekali.

Berhenti membeli pakaian baharu dan gunakanlah pakaian sedia ada. Selain itu, inilah masanya untuk kita bersama keluarga. Kurangkan menonton ­televisyen atau membuat aktiviti yang menggunakan wang.

Sebaliknya gunakan masa ini bersama keluarga sama ada membaca buku bersama atau membuat aktiviti riadah seperti berkebun yang boleh menguatkan ukhuwah kekeluargaan.

Perancangan adalah amat ­penting. Kadangkala, kita termasuk ke dalam perangkap permasalahan kewangan kerana ­tiada perancangan.

Duduk sebagai satu keluarga dan rancanglah kewangan secara kolektif. Rangka perbelanjaan dan pendapatan bulanan keluarga. Jangan malu bertanya dan membaca pandangan pakar mengenai cara mengatasi masalah ini.

Selain itu, berkongsilah masalah dengan keluarga. Jika tidak mampu atau malu untuk berkongsi masalah, maka anda boleh menulis masalah anda di dalam sebuah jurnal peribadi dan dalam masa yang sama anda mencari rujukan penyelesaiannya melalui internet ataupun buku rujukan.

Seperkara lagi adalah sebagai seorang ketua keluarga, seorang lelaki mempunyai ego yang mana kita akan merasakan bahawa masalah kewangan perlu di­selesaikan oleh kita sebagai ketua.

Perceraian selalunya berlaku di­sebabkan masalah kewangan.

Cara terbaik adalah dengan berterus terang dengan pasangan anda mengenai kedudukan kewangan keluarga.

Jangan sembunyikan masalah kewangan daripada mereka. Mungkin isteri anda mempunyai idea yang boleh membawa kepada penyelesaian terhadap masalah kewangan tersebut.

Kekayaan bukan sahaja dinilai melalui wang ringgit tetapi melalui tahap kesihatan anda.

Jangan lupa, jika tertekan tentang keadaan kewangan anda, kesihatan dan pemakanan anda masih perlu dijaga.

Makanlah makanan yang berkhasiat dan makanan berkhasiat tidak semestinya mahal. Sebenarnya makanan segera adalah lebih mahal daripada makanan berkhasiat.

Menjaga pemakanan dan bersukan adalah penting dalam menghilangkan tekanan anda. Berilah sedikit masa untuk diri anda bersenam setiap hari kerana bersenam boleh menghilangkan penumpuan anda terhadap masalah sedia ada. Selain bersenam, tidur yang cukup juga adalah penting.

Jika sebelum ini, kita sering membeli barangan import, mungkin sudah sampai masanya kita utamakan barangan buatan Malaysia kerana kita boleh mendapatkannya dalam harga yang murah, kualiti yang setanding dan khidmat lepas jualan yang lebih cepat berbanding dengan jenama antarabangsa.

Akhir kata, menangani krisis kewangan keluarga dan peribadi adalah satu cabaran yang besar dan berat namun jika anda mempunyai strategi yang baik serta perancangan yang berterusan, ia akan membantu anda menangani masalah ini dengan hati yang terbuka dan semangat juang yang tinggi.

Dalam kita susah, ada orang lain yang lebih susah dari kita.

Ingat! Kita tidak keseorangan.

PENULIS ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia.