Seakan tidak masuk akal seorang bapa sanggup mendera anak sendiri sehingga maut; anak kecil 7 tahun dipaksa minum air panas sehingga melecur; atau majikan yang menyiksa pembantu rumah tanpa rasa belas dan perikemanusiaan.  

Mahdzir sendiri menyuarakan kebimbangan beliau terhadap fenomena yang berlaku, terutamanya yang melibatkan mangsa adalah dalam kalangan anak-anak yang sepatutnya membesar dalam suasana yang selamat. 

Setiap kali berlakunya kes sebegini, pelbagai pandangan mengenai punca terhakisnya nilai kemanusiaan dalam masyarakat akan dilontarkan.  Ada yang menyalahkan institusi keluarga yang rapuh, malah ada juga yang menuding jari kepada institusi pendidikan yang sepatutnya memainkan peranan lebih aktif untuk memupuk nilai dalam diri individu.  

Dalam hal ini, tidak perlulah kita menjadikan mana-mana pihak sebagai kambing hitam, tetapi kita perlu membuat refleksi diri – sejauh manakah peranan kita sebagai ahli masyarakat dalam membentuk satu komuniti yang prihatin terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita?

Pembentukan nilai dalam diri seseorang individu sebenarnya bermula daripada institusi kekeluargaan itu sendiri.  Seorang anak yang dilahirkan dalam sebuah keluarga yang stabil dan bahagia mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk berjaya dalam hidup.  

Tetapi realitinya, kehidupan itu bukanlah sempurna sebagaimana yang diimpikan setiap orang.  Selepas institusi keluarga, pendidikan formal di sekolah merupakan fasa kedua dalam kehidupan setiap individu. 

Nilai murni yang dipupuk di rumah perlu diperkukuh di sekolah, dan begitulah sebaliknya.  Tetapi sekiranya murid tidak berpeluang untuk menikmati hidup dalam institusi keluarga yang kukuh, sekolah memainkan peranan yang lebih besar dalam membangunkan sahsiah murid agar menjadi insan yang sejahtera.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menggariskan matlamat pendidikan yang begitu jelas untuk membangunkan murid yang seimbang dalam segenap aspek berdasarkan kepatuhan kepada Tuhan. 

Murid yang holistik adalah murid yang sejahtera yang akan menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.

 Sistem pendidikan negara diperkemaskan lagi dengan Enam Aspirasi Murid  bagi mengimbangi ilmu dan akhlak agar murid ini dapat menjadi warga Malaysia yang berupaya mendepani cabaran masa hadapan. 

Dalam era kepesatan teknologi dan ekonomi dunia, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran yang tidak pernah kita jangka sebelum ini. 

Tidak pernah dibayangkan satu hari nanti kita akan bersaing dengan kecerdasan buatan atau artificial intelligence, dan hari tersebut sudah tiba sekarang ini.

Pada dekad 90-an Gary Kasparov, juara catur dunia sudah pun ditewaskan oleh computer Deep Blue dalam permainancatur.  Pada tahun 2016, Lee Sedol dari Korea Selatan telah ditewaskan oleh Alpha Go, satu program komputer yang dibangunkan oleh Google dalam permainan Go, satu permainan strategi abstrak yang dimainkan di negara China sejak 2,500 tahun dahulu.  Kini terdapat pula program Alpha Go Zero yang berupaya untuk ‘belajar’ sendiri tanpa menggunakan sebarang data daripada manusia. 

Teknologi transhuman pula adalah teknologi yang membolehkan manusia meningkatkan kebolehan dari segi keupayaan fizikal, kecerdasan, deria ataupun kemampuan untuk ‘memanjangkan’ usia. 

Mungkin kita sendiri tidak menyedari yang teknologi transhumant ini telah digunakan begitu meluas melalui fitness trackers yang sekarang ‘mengawal’ cara hidup kita. 

Kecerdasan buatan dan teknologi transhumant ini adalah contoh cabaran yang dihadapi oleh anak-anak era millennia ini yang tidak pernah difikirkan oleh ibu bapa atau guru mereka yang rata-rata dari Generasi X dan Y.  

Hakikatnya, kita akan menempuhi satu zaman akan datang di mana manusia terpaksa bersaing dengan teknologi. 

Kebergantungan manusia terhadap teknologi akan menjadi begitu tinggi sehingga pada satu masa nanti kita terpaksa bersaing dengan robot untuk mencari pekerjaan. 

Kos sara hidup akan menjadi semakin meningkat, dan kita akan berhadapan dengan pelbagai cabaran yang kita sendiri tidak dapat bayangkan pada masa sekarang.

Justeru paradigma masyarakat tentang pendidikan perlu berubah. 

Institusi keluarga, sekolah,  komuniti dan sector swasta perlu bekerjasama bagi membentuk satu ekosistem pembelajaran dalam komuniti. 

 Ini bermakna pembelajaran tidak sahaja berlaku di dalam bilik darjah dalam institusi formal bernama sekolah.  Pembelajaran boleh berlaku di mana-mana, hatta di hujung jari anak-anak kita, maka dengan sebab itu, pemupukan nilai, etika dan kerohanian akan menjadi lebih penting untuk ‘memanusiakan’ manusia dan memastikan yang kita tidak hanyut dalam kepesatan teknologi.

Pendekatan bersepadu sebagaimana dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan adalah cara terbaik dalam membangunkan nilai dan sahsiah yang dalam jangka masa panjang akan mengurangkan gejala sosial dalam masyarakat. 

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. 

Sudah tiba masanya ‘menjaga tepi kain orang’ dalam konteks positif menjadi budaya dalam hidup kita.