Ramai usahawan kecil dan sederhana di Malaysia amat sukar menyediakan sedikit peruntukan untuk melabur di media sosial. Saya tahu, amat sukar juga bagi anda untuk membuat justifikasi bagi penyediaan bajet kerana hasil yang sedia ada belum lagi memihak kepada anda. Jangan risau, ini perkara biasa.

Anda perlu faham pemasaran tidak sama seperti penjualan, kerana objektif pemasaran bukan untuk mendesak orang membeli. Sebaliknya objektif pemasaran adalah berjangka-panjang yang lebih kekal, iaitu membuatkan orang membeli buat pertama kali, dan kembali membeli lagi dan lagi tanpa perlu menjual.

Ia menggunakan taktik psikologi yang lebih halus dalam proses menukarkan pemikiran orang ramai untuk mengingati jenama anda setiap masa di mana sahaja, dan tabiat pembelian mereka sebelum ini untuk membeli produk atau perkhidmatan anda pula kali ini dan berterusan. Sudah pasti perjalanan ini akan mengambil masa yang lama, walaupun ada juga jenama yang mampu me­lakukannya dalam masa yang singkat.

Jenama yang berjaya me­lakukan dalam masa yang singkat itu mempunyai keunikan mereka sendiri. Apakah keunikan mereka? Mereka mampu menjawab persoalan yang sering bermain di fikiran pembeli, iaitu mengapa anda perlu membeli produk jenama ini dan bukan produk berjenama lain. Ini keunikan mereka. Jenama dan produk mereka mempunyai kekuatan yang luar biasa. Para pembeli mampu menjawab mengapa mereka membeli produk itu dan bukan yang lain. Sekiranya jenama anda mempunyai kekuatan yang sama, dengan sendirinya perjalanan anda tidak akan menjadi lama tetapi jika sebaliknya maka anda perlu bersabar sementara menunggu hasilnya.

Bagi yang tidak mempunyai kekuatan yang luar biasa, saya ingin kongsikan bagaimana anda boleh mempercepatkan proses tadi. Ia amat mudah untuk dilakukan, amat sesuai untuk digunakan di media sosial sahaja, tidak perlu mengeluarkan wang sesen pun dan semestinya lebih ramai orang akan melihat status yang anda muatnaik.

Apakah kaedahnya?

1. Kumpul seramai mungkin rakan-rakan yang juga berniaga.
Cuba dapatkan seramai mungkin rakan-rakan anda yang juga berniaga untuk menyertai ‘kumpulan’ ini. Seperti anda, mereka juga mempunyai produk yang baik, tidak mempunyai bajet untuk pemasaran di media sosial dan amat-amat memerlukan sebaran yang besar untuk status yang mereka muat turun.
 Anda boleh bermula dengan 10 orang, 30 orang ataupun 100 orang yang aktif di Facebook misalnya. Jumlah ahli perlu besar, dan tidak boleh terlalu kecil.

2. Rata-rata mempunyai pe­ngikut dan rakan yang tidak terlalu sedikit.
Sebaiknya setiap seorang perlu mempunyai senarai rakan-rakan dan pengikut yang tidak terlalu sedikit. Mungkin anda boleh meletakkan kriteria tertentu, minimum perlu mempunyai 3,000 rakan setiap seorang di Facebook contohnya.
Jadi sekiranya ‘kumpulan’ anda ini mempunyai 50 orang ahli, keseluruhannya kumpulan anda mempunyai 150,000 rakan-rakan. Ini satu jumlah yang amat-amat besar. Untuk mengawal setiap peraturan yang anda ada untuk ahli, seelok-eloknya interaksi tertutup di WhatsApp, Telegram ataupun di Facebook yang mempunyai beberapa ketua yang dilantik perlu ada.

3. Kongsi, Komen atau Like.
Ini perlu dilakukan dengan teratur dan jujur. Apabila seorang ahli ‘kumpulan’ anda mengutus status di laman perniagaan media sosial mereka, 49 orang ahli lain mesti bertindak dengan segera.
Mereka mesti kongsikan status tadi di media sosial peribadi mereka, atau menulis komen pada status itu yang bersesuaian selain dari menulis perkataan Up atau sekurang-kurangnya memberikan Like. Proses yang sama juga mesti ada sekiranya anda yang mengutus status tertentu di media sosial anda. 49 ahli lain perlu kongsikan ia di media sosial mereka, atau komen atau menderma Like mereka di status anda.

4.Besarkan ‘kumpulan’ anda sebesar yang anda mampu kawal.
Jangan biarkan ia berhenti pada 50 ahli sahaja, sebaliknya cuba kembangkan lagi sehingga yang anda mampu kawal. Lebih besar kerjasama ini, lebih besar sebaran yang akan berlaku. Yang penting, setiap ahli perlu jujur.