Lebih memburukkan lagi keadaan, apabila berlaku tragedi pesawat MH370 hilang tanpa ditemui hingga kini sebelum satu lagi peristiwa malang membabitkan nahas pesawat MH17 yang ditembak oleh pihak tertentu tanpa sebarang penjelasan kukuh. Akhirnya pihak luar dibawa masuk "kononnya" bagi berkongsi kepakaran menyelesaikan segala permasalahan dan kerugian. Satu demi satu jalan penyelesaian diserlahkan oleh pihak pengurusan baharu yang diketuai oleh bekas CEO Aer Lingus, Christoph Mueller, yang dibawa masuk Mei 2015.

Maka hampir semua sudut MAS telah ditukar – daripada nama, penjenamaan hinggalah jumlah pekerja dikurang demi memberi impak lebih segar. Namun akhirnya semua ini gagal memberi makna apabila Mueller berhenti mengejut baru-baru ini tanpa alasan jelas. Bertepatan dengan keadaan ini, pihak Majlis Perundingan Melayu (MPM) telah mengadakan perbincangan meja bulat dengan tokoh dan bekas pekerja MAS yang disertai Wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI, NIZAM YATIM dan SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM.

Pada mereka matlamat utama adalah kembalikan tenaga dan bakat tempatan dalam pengurusan tertinggi dan menjayakan agenda mengembalikan keuntungan, tetapi pada masa sama kekal berperanan sebagai syarikat penerbangan nasional.

Wawancara ini lebih tertumpu bersama bekas Pengarah Urusan MAS, TAN SRI ABD. AZIZ ABDUL RAHMAN dan Setiausaha Agung MPM, DATUK DR. HASAN MAD. Sambungan Perbincangan Meja Bulat MPM-Utusan ini boleh diikuti di dalam Utusan Malaysia, esok.

MINGGUAN: Bagaimana Tan Sri melihat perkembangan dalam Malaysia Airlines (MAS) yang kini dikenali sebagai Malaysia Airlines Bhd. (MAB)?

ABDUL AZIZ: Saya rasa serba salah juga hendak bercakap tentang Malaysia Airlines sebab saya sudah tinggal lama, lebih 20 tahun. Walaupun saya sudah lama tinggalkan Malaysia Airlines, saya masih mengikuti perkembangan industri penerbangan. Malaysia Airlines ini kalau hendak kira, orang Melayu kata nasi sudah jadi bubur. Saya sebut kepada sahabat saya seorang Inggeris hari itu, nasi sudah jadi bubur. Dia kata di England, kamu masih boleh kembalikan bubur jadi nasi.

Berdasarkan laporan akhbar, pelan pemulihan Malaysia Airlines dikatakan berjalan lancar dan syarikat penerbangan itu dijangka kembali mencatat keuntungan menjelang 2018. Bukankah ini sesuatu yang positif?

ABDUL AZIZ: MAB mahu buktikan kepada kerajaan bahawa mereka bagus kerana berjaya memulihkan MAS dan mencatat keuntungan. Atas banyak sebab, kerajaan ikut rentak mereka dan luluskan Akta Malaysian Airline System Bhd. (Pentadbiran) 2015. Dengan itu, MAS patut berhenti, tidak ada operasi bagi menubuhkan syarikat penerbangan baharu dipanggil MAB. Ini adalah sebuah syarikat penerbangan baharu sepenuhnya.

Ia disebutkan dalam undang-undang tersebut bahawa MAB bukanlah pengganti MAS. Jadi, pihak MAB telah mengelirukan orang ramai dengan mengatakan mereka memulihkan MAS. Tugas mereka memulihkan MAS? Tidak tetapi hanya menubuh syarikat penerbangan baharu. Untuk itu, mereka diberikan pesawat dan mengambil mana-mana kakitangan yang mereka mahu. Kurangkan gaji, elaun dan segala-galanya. Disebabkan kakitangan tersebut terdesak, mereka masih di situ tetapi mereka sangat tidak gembira dan moral mereka sangat rendah.

Banyak daripada mereka yang beritahu saya bahawa mereka sangat tidak gembira. Dalam industri perkhidmatan seperti itu, apabila kakitangan tidak gembira, mereka tidak akan berikan perkhidmatan yang baik. Itu akan menjejaskan imej negara kita. Jadi, mereka potong banyak perkhidmatan. Penerbangan jarak jauh ke Eropah dan sebagainya, potong semua sekali. Mereka cuma ambil laluan yang mereka fikir boleh buat keuntungan setelah mengurangkan segala kos.

Jadi, Tan Sri tidak gembira dengan apa yang berlaku dalam syarikat penerbangan nasional itu sekarang?

ABDUL AZIZ: Kita tidak boleh panggil MAB sebagai syarikat penerbangan nasional. Kerajaan pernah umumkan bahawa ini adalah syarikat penerbangan nasional. Tetapi kita perlu sedar bahawa ia bukan begitu. Apa yang MAB buat, mereka tandatangani perjanjian perkongsian kod dengan Emirates. Kemudian kamu beritahu kepada umum bahawa walaupun kami tidak terbang, kami masih pergi ke semua tempat itu. Ejen pelancongan pun boleh buat perkongsian kod ini.

Saya sangat sedih dengan apa yang berlaku. Mereka potong laluan. Kemudian mereka tutup bahagian kejuruteraan dan kargo (MASkargo). Saya sangat sedih apabila mereka tutup bahagian ini terutama kejuruteraan. Kita bina bahagian kejuruteraan MAS hampir 20 tahun. Bahagian kejuruteraan kita mempunyai daya saing berkelas dunia.

Kita mengambil masa yang lama untuk membolehkan diri kita diiktiraf. Australia, Kanada, Amerika Syarikat dan hampir semua termasuk Singapura apabila kekurangan ruang, mereka hantar kepada kita (untuk diselenggara dan dibaiki).

Sekarang, di bawah kepimpinan baharu, mereka tutup pusat laba (profit center). Kesemua juruterbang MAS berkelas dunia. Apa jadi dengan mereka? Mereka lari dan bekerja dengan syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa seperti Qatar Airways dan Emirates.

Untuk melatih juruterbang ini bukan mudah sebab kita tidak ada wang pada masa itu. Kita bernasib baik kita ada Majlis Amanah Rakyat (Mara). Mereka hantar orang kita belajar menjadi juruterbang dan jurutera. Sebab itu, kebanyakannya orang Melayu jadi juruterbang dan jurutera penerbangan. Sekarang semua orang ini sudah tiada.

Kenapa saya sebut semua ini? Sebab ia mengambil masa yang panjang dan sukar untuk melakukan semua ini. Saya terpaksa berjumpa dengan Perdana Menteri dan hampir semua orang untuk buat semua ini tetapi sekarang jadi begini. Saya fikir masih belum terlambat tetapi kita mesti yakinkan orang yang tepat dan ada kuasa.

Bagaimana Tan Sri melihat pengambilan orang asing untuk menguruskan MAB supaya syarikat itu mempunyai daya saing yang tinggi?

ABDUL AZIZ: Mereka ada undang-undang dan tubuhkan MAB, tidak apalah. Tetapi kemudian mereka ambil ekspatriat (orang asing). Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Operasi, dan semua ketua jabatan dalam MAB semua ekspatriat. Malah, jabatan sumber manusia pun diketuai ekspatriat. Kesemuanya 15 orang. Apabila jadi begini, kita terfikir apakah kerajaan tahu apa yang sedang berlaku. Sebab ketika di zaman saya, hendak ambil seorang ekspatriat bekerja, kita kena pergi jumpa Perdana Menteri. Tetapi sekarang ini begitu sahaja, 15 orang ambil semua. Kita pun tidak tahu.

Kita kena beritahu MAB tidak boleh buat perkara ini. Apabila kita tanya balik, pihak yang bertanggungjawab kepada semua ini adalah Khazanah. Apa yang Khazanah tahu sedangkan mereka bukan orang aviasi tetapi orang kewangan. Mungkin mereka serahkan perkara ini kepada pihak lain. Saya difahamkan ia diserahkan kepada syarikat konsultan tetapi syarikat konsultan yang tidak tahu apa-apa tentang perkara ini.

Sebab itu, ia jadi begitu. Bagaimana untuk merombak dan mereka buat kenyataan catat keuntungan. Tetapi menurut laporan akhbar, keuntungan sepanjang tahun adalah satu realiti yang jauh bagi MAB. Ia tidak menjamin bahawa ia akan berjaya.

Polisi Langit Terbuka ASEAN sudah bermula sejak 2010 sehingga pelaksanaan sepenuhnya pada tahun lalu. Apakah Tan Sri melihat MAB sudah bersedia untuk menghadapinya?

ABDUL AZIZ: Semasa sibuk dengan penyelidikan tentang Malaysia Airlines, ada wakil syarikat konsultan yang dilantik oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk bantu pulihkan Malaysia Airlines datang berjumpa saya. Saya tanya mereka tentang perkara ini kerana saya terlibat dengan polisi langit terbuka ini sejak 20 tahun dahulu lagi.

Seluruh dunia boleh dikatakan sudah berbincang untuk mengadakan langit terbuka. Tidak ada langit sekatan. Kalau dahulu, kita hendak terbang dari sini ke England, kita kena berunding tentang pelbagai perkara seperti berapa penerbangan dan jenis pesawat. Kemudian, kira-kira lima tahun lalu, mereka bersetuju untuk mengadakan polisi langit terbuka. Tetapi kita masih perlu buat perbincangan antara dua negara sama ada setuju adakan polisi langit terbuka.

Ini satu perkara yang paling penting sebelum kita memikir cara mana kita hendak bantu Malaysia Airlines. Saya tanya konsultan yang jumpa saya tentang polisi langit terbuka ini. Kemudian, konsultan yang sepatutnya pakar bagi menasihati Malaysia Airlines, tanya saya apa itu polisi langit terbuka?

Asia Tenggara sudah lama bersetuju tetapi ada negara yang belum bersetuju. Tapi bulan lalu, semua negara bersetuju. Asia Tenggara sekarang mengamalkan polisi langit terbuka. Semua negara bersetuju. Hanya Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor Bahru, Johor yang dikecualikan atas sebab strategik.

Jadi, apabila ada polisi langit terbuka, seluruh operator sistem akan berubah. Apabila Malaysia Airlines hendak ditubuhkan semula, saya beritahu Khazanah kamu perlu beri pertimbangan kepada polisi langit terbuka.

Sekarang, apa yang akan berlaku di rantau kita, syarikat penerbangan tambang murah akan tumbuh seperti cendawan di mana-mana dan kamu tidak boleh hentikannya. Kalau kita baca pelan Malaysia Airlines Berhad (MAB), mereka tidak ambil kira perkara ini. Mereka belum lagi ada pelan. Jadi, mereka tidak ada pesawat dan pekerja sebagai persediaan ke arah itu. Ini akan jadi masalah besar kepada MAB.

MAS perlu strategi menyeluruh

APA jalan penyelesaian yang sedang dilakukan MAB sekarang?

HASAN MAD: Kalau di lihat sehingga sekarang pun penyelesaian yang cuba dilakukan MAB hanyalah melibatkan penyelesaian dalam masalah perakaunan sahaja. Bagaimana untuk balance akaun, mengurangkan liabiliti dengan menjual beberapa aset maka akaun mereka nampak cantik tetapi hanya di atas kertas sahaja.

Mungkin MAB perlu fokus pada perniagaan teras sahaja atau bagaimana?

HASAN MAD: Kalau diperhatikan dalam bidang utama perniagaan, kita ambil contoh KLM Airlines yang mana teras mereka bukan bersandarkan penumpang tetapi kargo. Dan itulah perniagaan teras mereka dan tidak mengharapkan bahagian penumpang sahaja.

Malangnya di MAS perniagaan kargo telah ditutup yang mana sebelum ini merupakan bahagian yang menjana keuntungan. Ini memang sesuatu yang menyedihkan.

Mungkin ada cara atau strategi lain yang boleh digembleng bagi memastikan MAB dapat terus bersaing dan kembali bangkit menjadi sebuah entiti perniagaan yang dihormati?

HASAN MAD: Saya juga ingin menyentuh tentang Singapore Airlines yang saya baca di Bloomberg. Tentang bagaimana syarikat berkenaan mahu terus berkembang di sebalik pelbagai kekangan dan saingan sengit dalam industri ini.

Ini kerana syarikat penerbangan seperti Emirates telah menurunkan harga kerana mereka mempunyai jumlah penumpang yang tinggi.

Maka mereka boleh menurunkan harga dan Singapore Airlines mampu meletakkan diri sebaris dengan syarikat-syarikat besar lain. Mereka juga telah “mengawal” industri kerana kelebihan yang ada dan kini bersaing dengan syarikat lain dengan strategi dan tindakan yang lebih baik.

Jadi cara terbaik untuk MAS kembali menjadi syarikat penerbangan terbaik adalah dengan mempunyai pelbagai strategi baru yang membolehkan mereka menjadi lebih kompetitif dan berdaya saing.