SESUNGGUHNYA, organisasi kita ini tidak akan dapat bernyawa tanpa kewujudan anda setiap hari, tanpa mengira hujan, ribut atau panas terik, walaupun ada cubaan untuk mendapatkan cuti mendadak disebabkan kepala migraine.

HAKIKATNYA, jatuh bangun organisasi kita ini adalah hasil sumbangan anda sebagai pekerja yang mana jika anda malas, maka melingkuplah usaha kita. Jika kerja keras, maka jauhlah perjalanan organisasi kita untuk meraih dana membayar bonus di hujung tahun untuk anda semua.

DIMAKLUMI, ada dalam kalangan bos anda yang menganggap diri mereka sama taraf dengan dewata yang tidak boleh dibantah atau dinasihat. Kami juga sedih ada kalangan bos yang bersikap kasar kepada pekerja secara menengking sekali gus memalukan maruah pekerja di khalayak ramai. Kami berazam untuk membasmi bos sebegini kerana sebenarnya, mereka tidak layak menjadi bos anda atau manusia sekali pun.

DENGAN INI, kami sebagai bos anda, menggariskan 10 perkara utama dalam manifesto sempena Hari Pekerja kepada anda, agar kita sama-sama berusaha memastikan suasana di tempat kerja kita kekal harmoni dan penuh semangat setiakawan serta gigih memajukan organisasi.

1. Kekalkan pekerja sedia ada
Kami hargai setiap pekerja dari hari pertama anda datang untuk temu duga kerja. Kami berikrar untuk tidak memecat atau meminta anda mengundur diri, dan menggantikan anda dengan pekerja lebih muda semata-mata mahu menjimatkan wang membayar gaji.
 
2. Polisi tidak ambil pekerja asing
Kami juga tidak akan mengambil pekerja asing walaupun hakikatnya gaji lima orang pekerja asing bersamaan gaji seorang pekerja tempatan.
 
3. Tidak ambil pekerja puak sendiri
Kami menyedari ada kalangan bos yang bila bertukar jabatan atau baru menyertai organisasi lain, akan membawa masuk orang kepercayaannya. Perkara itu boleh dilakukan, dengan syarat tangga gaji mereka tidak melebihi kakitangan sedia ada, atau menyebabkan pekerja sedia ada hilang fungsi disebabkan kewujudan orang baharu itu.

4. Bayar bonus
Dalam keadaan ekonomi mencabar, kami memahami dugaan dan cabaran yang dihadapi terutama anda yang tinggal di bandar-bandar besar. Kami berikrar membayar bonus, walaupun syarikat hanya untung RM1,000. Bonus akan dibayar, jangan tidak ada langsung. Lagipun kami takut kepada anda yang ramai anggota kesatuan.

5. Naik pangkat
Kami berjanji untuk menaikkan pangkat anda mengikut merit, bukan tempoh lama bekerja. Kami terima rungutan anda bahawa yang lama bekerja tidak bermakna dia menyumbang banyak berbanding yang baru setahun bekerja. Kami berjanji untuk menilai sedalam-dalamnya sesuatu cadangan kenaikan pangkat dan tidak bergantung semata-mata kepada saranan ketua unit yang anda dakwa berat sebelah itu.

6. Guna alasan peruntukan
Kami juga tidak akan menolak lagi cadangan ketua jabatan untuk menaikkan pangkat sesiapa seperti sebelum ini atas alasan tiada peruntukan. Tetapi kemudiannya sumber manusia didapati mewujudkan jawatan baharu lain. Ramai persoalkan peruntukan itu dari mana? Jadi kami kini sedar tindakan itu telah mematikan inspirasi dan semangat pekerja.

7. Naik gaji
Kami juga tahu dan peka dengan peraturan gaji minimum RM1,500 yang ditetapkan oleh kerajaan. Kami telah meminta Pengurus Sumber Manusia untuk mengemas kini struktur gaji anda, agar ia menggambarkan realiti kos kehidupan semasa. Semua ini akan diluluskan setelah menilai keupayaan syarikat untuk terus bernafas. Jika tidak, mohon tunggu lagi setahun ya.

8. Pejabat kondusif
Kami sedar kelengkapan pejabat yang sudah lima tahun tidak ditukar. Kes-kes pejabat diserbu KPDNKK kerana menggunakan perisian cetak rompak juga amat memalukan kami. Oleh itu, kami berikrar akan menyediakan dana sewajarnya untuk menambah baik kelengkapan pejabat, termasuk WiFi percuma dan bilik pantry dilengkapi meja makan dan peti sejuk, untuk keselesaan pekerja serta bilik solat.

9. Hantar bos jalani kursus sivik
Kami mengambil maklum surat layang dan mesej WhatsApp mengenai ketua-ketua jabatan bersikap diktator atau digelar Dragon atau 'Hitler' dan setelah disiasat didapati ada kebenarannya. Mereka akan dihantar menjalani kursus anger management selain kelas 'adat berkomunikasi dengan manusia’, agar kes-kes menengking, memarahi dan memalukan pekerja di khalayak ramai tidak berulang.

10. Bos tidak sentiasa betul
Kami ambil maklum bahawa ramai dalam kalangan kami yang berasa diri kami sahaja betul dalam membuat keputusan. Oleh sebab wujud kegelisahan pekerja, maka  kami berikrar untuk menurunkan ego dan bersedia mendengar pandangan anda sebagai pekerja dalam sesuatu isu. Sekiranya ada pegawai kami yang menegah, lapor terus kepada kami. Sebab kami tidak lantik mereka jadi polis pejabat. Anda dibenarkan memberi pendapat, malah membantah pandangan bos-bos anda secara bersemuka, tetapi janganlah Merrepak di dalam Facebook atau WhatsApp.