Biarpun sudah lewat malam, kami tidak bermasalah mencari lokasi ‘transit’ untuk mengubati hati duka kerana terdapat beberapa restoran mamak yang beroperasi 24 jam di sekitar kawasan perumahan.

Jam menunjukkan hampir pukul 1 pagi ketika kami sampai dan suasana restoran mamak ketika itu lengang dengan hanya lapan pengunjung termasuk sepasang kekasih dan sekumpulan enam pemuda berusia sekitar lewat 20-an dan awal 30-an yang sudah tiba terlebih dahulu.

Memandangkan kadar metabolisme yang semakin merosot dek peningkatan usia, kami akur dengan ‘amaran’ seorang sahabat agar tidak makan terlalu kenyang, justeru hanya sepinggan mi goreng mamak dipesan yang dikongsi bertiga, selain Teh-O panas kurang gula setiap seorang.

Sedang kami rancak bersembang sambil makan buah-buahan, tiba-tiba restoran mamak dipenuhi pelanggan termasuk lima sekeluarga, sekumpulan enam pekerja yang dipercayai datang makan sejurus selesai shift malam dan diikuti beberapa orang perseorangan memasuki restoran itu.

Dalam ramai-ramai itu, mata tertumpu gelagat seorang kanak-kanak perempuan dianggarkan usia sekitar empat tahun yang terkulat-kulat makan Maggie sup. Telahan kami, dia dikejutkan dari tidur yang lena sebelum ‘diangkut’ bersama-sama dua abang oleh ibu bapanya ke restoran itu.

Komen sahabat, ‘sampainya hati mak ayah dia paksa anak-anak makan time begini. Tengok tu, mata pun tak larat nak buka, tangan pula tongkat kepala...ish, tak patut sungguh!”. Ada benarnya leteran sahabat kerana ketika itu jam sudah menginjak hampir pukul 2 pagi.

Senario sedemikian bukan berlaku sekali kerana saya sendiri pernah ternampak ibu bapa yang mengheret anak-anak keluar makan lewat malam semasa dalam perjalanan memandu pulang ke rumah dari pejabat.

Keadaan itu mengingatkan saya kepada komen seorang kenalan dari Korea Selatan yang menegur berkaitan isu itu. Katanya, budak yang masih bersekolah tidak sepatutnya dibenarkan berjaga lewat malam, apatah lagi makan di luar. Budaya itu sama sekali tidak sihat!

Selain itu, beliau juga merungut berat badannya meningkat sehingga mencecah hampir 10 kilogram gara-gara makan lewat malam sepanjang berada di Malaysia. Itu baharu seminggu, kalau sebulan berada di negara ini, entah berapa kilogram naik, kata kenalan itu.

Tidak dinafikan, sukar untuk melihat warga Korea Selatan yang gemuk dan obesiti. Begitu juga di Vietnam, majoriti rakyatnya kecil molek dan mempunyai potongan badan langsing dan kurus. Selain pemakanan, disiplin diri juga antara faktor penyumbang.

Berbanding dua negara itu, pemakanan seharian rakyat Malaysia banyak yang berteraskan goreng-gorengan dan bersantan, sekali gus menyumbang kepada pengumpulan lemak dalam badan.

Selain itu, kesibukan kerja, menonton televisyen, banyak menghabiskan masa di depan komputer, ‘segan’ bersenam serta peningkatan restoran makanan segera dan penjualan makanan dalam bungkusan dan tin turut menyumbang masalah obesiti.

Obesiti di Malaysia semakin meningkat apabila lebih 16.8 juta atau 60 peratus daripada 28 juta penduduk menghidap masalah itu yang berpunca daripada amalan gaya hidup dan pemakanan tidak seimbang selain tidak suka bersenam.

Jangan tak tahu penghidap obesiti di Malaysia begitu besar jumlahnya setanding dengan Amerika Syarikat! Puncanya ialah masyarakat khususnya ibu bapa yang bekerja cenderung memilih makanan segera sebagai sajian ruji untuk anak-anak kerana mudah dan cepat.

Anda boleh bayangkan, faktor-faktor di atas yang menyumbang kepada masalah obesiti boleh mengundang pelbagai kesan dan risiko seperti penyakit kanser, pereputan tulang, serangan jantung dan diabetes.

Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHSM) 2011 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada tahun sebelumnya menunjukkan satu daripada lima orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes.

Statistik itu telah meletakkan Malaysia di tangga ke-10 dunia dengan jumlah penghidap diabetes seramai 3 juta orang, jauh lebih tinggi daripada jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelang 2025 iaitu hanya kira-kira 800,000 orang.

Sementara itu, Majlis Pencegahan Obesiti pula menjangkakan Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia Tenggara dengan pesakit kencing manis teramai pada 2017 dan tempat keenam di Asia Pasifik dari segi obesiti!

Melihat pendedahan angka tersebut, tidak hairanlah hospital-hospital kerajaan mahupun swasta ketika ini dikunjungi ramai orang dan ada ketika sesak seperti di pusat beli-belah!