Lompat melompat bukanlah perkara asing buat Lajim. Lajim tidak teragak-agak melompat kalau dia merasakan perlu untuk melompat.

Individu kontroversi ini mula melompat ke parti kerajaan sebelum diikuti Datuk Rubin Balang dan beberapa lagi orang lagi sehingga Parti Bersatu Sabah (PBS) yang memenangi Pilihanraya Umum 1994 dengan majoriti mudah, tumbang setelah Lajim, Rubin, Zaini dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri PBS berpaling tadah.

Tujuh belas tahun kemudian, Lajim keluar dari Barisan Nasional dan walaupun baharu sahaja menyertai pembangkang di Sabah, dia terus dilantik mengetuai PKR negeri itu oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun tiada sumbangan kepada PKR sebelum ini.

Pemimpin-pemimpin PKR yang telah lama berjuang diketepikan dan juak-juak Lajim diberi keutamaan dalam parti. Mereka dalam PKR waktu itu begitu marah diperlakukan demikian dan akhirnya meninggalkan parti satu demi satu.

Paling lawak sudah tentunya respon dari Lajim mengenai tindakan wakil rakyat PKR keluar parti ketika itu.

Kata Lajim, tindakan Ketua Penerangan PKR, Jeremmy Malajad keluar parti adalah suatu pengkhianatan terhadap mandat yang diberikan kepadanya oleh orang di Kadamaian dalam pilihan raya (umum).

Tetapi dia lupa semasa keluar UMNO dan masuk PKR, itu bukankah suatu pengkhianatan terhadap mandat rakyat? Dipilih sebagai calon UMNO, tetapi keluar UMNO dan masuk PKR bukankah dalam kategori atau definisi pengkhianatan?

Semalam, Lajim buat hal lagi. Katanya, tindakan keluar PKR yang disertai beberapa orang kanan parti itu kerana mahu memberi fokus dalam politik tempatan selepas hilang keyakinan dengan kemampuan PKR.

Adakah Lajim akan menyertai sebuah parti yang diambil alih oleh Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal setelah kelibatnya kelihatan semasa satu perhimpunan anjuran Mohd. Shafie di Kota Belud, Julai lalu?

Lajim oh! Lajim.