Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Lindungi warisan kepelbagaian bio

SEBAHAGIAN kawasan pembalakan dan kilang papan yang telah diserbu 2
SEBAHAGIAN kawasan pembalakan dan kilang papan yang telah diserbu dalam Ops Gergaji di Sarawak sekitar Mei lalu. GAMBAR IHSAN SPRM

MALAYSIA kaya dengan pelbagai warisan dan khazanah. Cakap apa sahaja. Daripada makanan dan bangunan-bangunan sejarah sehinggalah warisan kemahiran nenek moyang kita. Ada di antara warisan tersebut kekal terpelihara dan ada juga yang dipulihara untuk tatapan generasi akan datang. Bagi yang rasa bertanggungjawab untuk mengekalkan warisan bangsa ini, mereka ini akan sedaya upaya mempertahankan warisan bangsa dan negara. Sebagai contoh, projek “Multimedia Interaktif Rumah Tradisional Kedah” yang diketuai oleh penyelidik Universiti Utara Malaysia, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri. Projek ini menyumbang ke arah pengekalan warisan rumah tradisional Kedah melalui kaedah penceritaan yang lebih jelas kepada pengguna. Usaha sebegini sewajarnya diteruskan melibatkan semua aspek warisan bangsa dan negara.

Ini bagi memastikan tiada warisan bangsa dan negara pupus ditelan zaman. Misalnya, kemahiran pertukangan membuat kapal layar yang dilaporkan berisiko tinggi pupus dek kerana tiada lagi tempahan kapal layar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Seni pertukangan ini tidak dapat diperturunkan kepada generasi baharu apabila tiada lagi industri pembuatan kapal layar di Pulau Duyong. Natijahnya, warisan negeri Terengganu dan Malaysia ini akan lenyap begitu sahaja. Nilai-nilai seni pertukangan yang berbentuk komersial dan perniagaan juga terhapus dengan sendirinya apabila industri kapal layar tidak lagi wujud di situ.

Ini baharu melibatkan seni pertukangan, belum lagi di­sentuh tentang warisan kepelbagaian bio yang cukup pen­ting dalam seharian manusia. Kita pastinya tidak akan dapat melupakan bah kuning di Kelantan dan banjir lumpur yang berlaku di Cameron Highlands tahun lalu. Kedua-ke­dua kejadian bencana alam ini banyak memberi kesan terhadap penduduk di sekitar kawasan itu.

Hanya kerana tiada rasa tanggungjawab untuk menjaga warisan kepelbagaian bio yang terdiri daripada flora, fauna dan sungai menyebabkan ramai pihak yang mengalami kerugian berbanding segelintir golongan yang mengaut keuntungan melalui pelbagai aktiviti-aktiviti komersial se­perti pertanian dan pembalakan.

Malang sekali ketika kerajaan berusaha untuk menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan hutan belantara, flora dan fauna serta gunung ganang, masih terdapat yang rakus untuk kepentingan diri sendiri.

Begitu banyak tindakan yang telah dilakukan tetapi dek kerana terlalu tamakkan wang ringgit, matlamat tetap menghalalkan cara. Kesalahan di depan mata pun buat-buat tidak nampak. Di Sarawak sahaja, mengikut rekod sehingga Julai ini, sebanyak 240 serbuan dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Sarawak (JPS) di kawasan hutan dan pembalakan, manakala sebanyak 122 kertas siasatan dikemukakan oleh JPS kepada pejabat Peguam Negeri untuk tindakan selanjutnya. Ini menggambarkan betapa aktifnya pembalakan yang dipercayai dilakukan secara haram.

Kepelbagaian bio di negara telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Hutan-hutan tropika di negara kita banyak membantu mengekalkan ekosistem sumber semulajadi negara. Cengal dan meranti antara kayu balak yang berkualiti tinggi untuk digunakan secara komersial. Kemampanan kehidupan manusia banyak bergantung terhadap ekosistem kelestarian hutan-hutan tropika.

Misalnya, hutan dara berperanan untuk mencegah banjir yang boleh mendatangkan kemusnahan besar terhadap harta benda dan nyawa manusia. Perniagaan juga akan mengalami kerugian dan tidak mustahil pelabur asing tidak teragak-agak menarik pelaburan mereka di negara kita.

Tidak terkecuali manusia memerlukan air yang bersih dan berkualiti dalam kehidupan seharian mereka. Begitu juga, air digunakan untuk tujuan komersial yang mendatangkan manfaat bukan setakat kepada individu dan syarikat tetapi juga memberi manfaat jangka masa panjang kepada negara

Bayangkan jika ekosistem air tercemar bukan sahaja mendatangkan kemudaratan ke atas haiwan tetapi juga manusia. Bayangkan juga jika berlakunya kekurangan air sehinggakan industri komersial tidak lagi mampu menjalankan operasi mereka, maka sudah tentulah pihak pelabur saban hari akan keluar daripada menjalankan perniagaan di Malaysia. Bahkan, bakal pelabur juga tidak berminat me­labur di Malaysia kerana tiada keperluan asas yang terpen­ting ini dalam kebanyakan industri dewasa ini.

Bagi sesiapa yang selalu menggunakan jalan dari Simpang Pulai ke Cameron Highlands, pastinya akan terse­rempak dengan individu-individu yang mengambil air bukit untuk kegunaan mereka. Air bukit ini yang bersih dan tidak tercemar banyak memberi manfaat kepada manusia termasuklah Orang Asli yang tinggal di situ.

Nilai ekonomik yang tidak terhingga ini tidak mampu diwarisi generasi akan datang jika tiada usaha berterusan untuk memelihara khazanah negara ini. Sememangnya, kita tidak boleh sesekali menolak pembangunan demi ke­langsungan kehidupan manusia yang yang semakin moden. Namun, apalah gunanya kehidupan moden kalau terpaksa berkompromi dengan kualiti kehidupan yang semakin menurun.

Perlu diingat, nilai komersial tidak sesekali mampu menggantikan nilai khazanah alam yang dimiliki oleh Malaysia. Sejak sekian lama negara-negara maju sudah kehilangan hutan-hutan belantara yang menjadi tempat tinggal flora dan fauna, maka baharulah sekarang mereka menyedari kepentingan alam semulajadi ke atas kehidupan manusia.

Diperkenalkan pelbagai konsep yang berpaksikan kelestarian ekosistem sumber semulajadi seperti teknologi hijau sudah cukup membuktikan dunia semakin bimbang dengan kemusnahan alam sekitar. Justeru, dalam konteks ini, lindungilah warisan kepelbagaian bio kurniaan Allah SWT di Malaysia sebelum kita kehilangannya buat selama-lamanya.

DR.ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain