Lagu alunan Datuk Siti Nurhaliza yang mula popular pada 1998 itu masih dianggap lagu evergreen, malah ‘berhantu’ sehingga kini. Pelbagai kisah seram timbul susulan terciptanya lagu tersebut.

Penulis mendapatkan komen daripada penulis lirik lagu Cindai, Hairul Anuar Harun yang sehingga kini masih lagi menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai mengenai makna di sebalik lagu tersohor itu.

“Dalam konteks seni kata lagu Cindai, ia adalah perlambangan kepada seorang wanita yang cekal dan tabah menghadapi pelbagai dugaan dalam hidupnya. Wanita tersebut tetap berfikiran positif dan tidak mahu memanjangkan lagi rasa rajuk dan duka nestapanya demi mencapai impian yang dihajati,” katanya ketika dihubungi S2.

Kata Hairul Anuar lagi, hampir keseluruhan seni kata lagi Cindai berbentuk pantun dengan setiap pembayang dan maksudnya selari dengan apa yang ingin disampaikan. Walaupun di dalam pantun, senikata lagu Cindai menggunakan pelbagai gaya bahasa seperti metafora, paradoks, hiperbola, paralelisme, epizeukis dan aliterasi.

“Terlalu banyak cerita yang didengar mengenai lagi Cindai dan kaitannya dengan kisah-kisah mistik dan menyeramkan. Dikatakan ada yang mengalami pelbagai peristiwa seram seperti melihat pontianak ketika menyanyikan lagu tersebut.

“Malah ada yang mengaitkan lagu itu dengan kisah percintaan antara Tun Iram Sandiri dan Tun Biajid, anak kepada Hang Tuah. Kadangkala, maksud di sebalik lagu Cindai yang diinterpretasi oleh orang ramai melangkaui akal fikiran,” katanya.

Katanya, mungkin kerana Cindai mempunyai dua makna iaitu kain sutera berbunga-bunga dan satu lagi bermaksud hantu pontianak jika di Minangkabau, maka lagu itu dianggap berhantu.