Rekod lawatan yang dicatatkan oleh Perdana Menteri keempat yang dikenali sebagai Dr. M atau nama tima­ngannya ‘Che Det’ itu adalah jauh ketinggalan berbanding Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi seteru politik­nya ketika ini.

Masakan tidak, Najib sejak mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April 2009, sudah merekodkan 52 kali lawatan ke Sarawak dan mempunyai hubungan cukup rapat dengan para pemimpin di negeri ini.

Hakikat itu tidak boleh dinafikan dan diakui oleh bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tun Adenan Satem atau Tok Nan yang mencetuskan tsunami politik di Bumi Ke­nyalang pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) yang lalu.

“Antara enam orang Perdana Menteri yang sudah memerintah kita daripada Tunku Abdul Rahman sampai Najib, siapa yang selalu datang ke Sarawak? “Siapa yang mempunyai perasaan istimewa untuk Sarawak. Tidak lain, tidak bukan, orang muda (Najib) kita hari tok (hari ini). Ada orang itu (Mahathir), 22 tahun menjadi Perdana Menteri tapi ‘batang hidung’ pun jarang nampak.

“Najib pula datang, ada (buah tangan) nak diberikan kepada kita (Sarawak). Beliau tidak datang de­ngan tangan kosong...you...you...,” demikian masih terngiang-ngiang dalam ingatan penulis ucapan yang ke­rap diulang Tok Nan semasa hayatnya ketika berkempen pada PRN-11.

‘Hadiah’ istimewa diberi Najib kepada Sarawak yang pa­ling dihargai Tok Nan ialah projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak bernilai RM16.5 bilion sepanjang lebih 1,000 kilometer (km) dari Lundu ke Lawas yang sudah 50 tahun dinantikan oleh rakyat Bumi Kenyalang kerana diyakini bakal membawa pembangunan besar pada masa depan.

Era pemerintahan Najib juga membuka lembaran baharu dalam hubungan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan apabila pertama kalinya beberapa perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang berhubung kait dengan hak-hak istimewa rakyat negeri ini dipersetujui untuk dibincangkan semula.

Perkara yang dibincangkan secara berperingkat atau fasa itu ternyata bukan ‘omong kosong’ apabila Najib setelah mengadakan beberapa pertemuan dengan Tok Nan telah meluluskan permohonan fasa pertama iaitu menurunkan 13 kuasa pentadbiran Pusat kepada kerajaan negeri.

Perbincangan berhubung MA63 tidak dihentikan selepas pemergian Tok Nan, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mengambil alih jawatan menerajui kerajaan Sarawak meneruskan agenda tersebut.

Jika LPB Sarawak dihadiahkan Najib kepada Sarawak semasa pemerintahan Tok Nan, Abang Johari pula mendapat Empangan Hidroelektrik (HEP) Bakun sebagai ‘buah tangan’. Ini apabila Sarawak diberikan hak sepenuhnya untuk mengambil alih empangan hidroelektrik terbesar negara yang selama ini dimiliki oleh Kerajaan Pusat.

Jangan lupa, HEP Bakun nyaris menjadi projek ‘Gajah Putih’ semasa era pemerintahan Dr. Mahathir apabila gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan menyebabkan berlaku peningkatan kos pembinaan daripada RM6 bilion kepada RM15 bilion.

Semua ‘hadiah’ besar ini diberikan kepada Sarawak hanya dalam tempoh lapan tahun pemerintahan Najib, tetapi apa ‘buah tangan’ Mahathir kepada rakyat Bumi Kenyalang yang menyokong kuat kerajaan Barisan Nasional (BN) sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri?

Memang benar dan tidak dinafikan Dr. Mahathir adalah ‘Bapa Pembangunan dan Pemodenan’ Malaysia, jika melihat kejayaannya memperkenalkan negara ini di mata dunia dan pembinaan projek mega di Semenanjung seperti Menara Berkembar Petronas, pusat pentadbiran Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Namun, semua pembangunan yang menakjubkan itu hanya dinikmati di Semenanjung sedangkan Sarawak yang menyumbang sumber pendapatan dan undi terbesar kepada kerajaan BN dipinggirkan apabila penduduknya masih ketinggalan menikmati kemudahan asas, menikmati gaji terendah sehingga ramai yang berhijrah untuk bekerja kilang di ibu negara, Selangor dan Johor pada masa itu.

Hairannya, setelah tidak berkuasa dan mengetuai pembangkang sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, Dr. Mahathir tiba-tiba ingin menjadi ‘hero’ kononnya mahu memperjuangkan hak dan nasib rakyat Sarawak yang di­pinggirkan oleh kerajaan BN.

Justeru, ramai yang ‘memulang paku buah keras’ kepada Dr. Mahathir apabila beliau mewakili Pakatan Harapan me­lancarkan lima teras tawaran baharu untuk wilayah dan rakyat Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semasa kempen perdana parti itu di Kuching, baru-baru ini.

Persoalannya, bukankah apa yang diperjuangkan oleh rakyat Sarawak dan kini dijanjikan oleh Pakatan Harapan itu sudah dibangkitkan sejak zaman peme­rintahan Dr. Mahathir lagi dan beliau sendiri mengelak untuk membincangkannya?

Sedangkan, Kerajaan Pusat pimpinan Najib dalam tempoh singkat sudah ‘membuka pintu’ membincangkan perkara tersebut dan mencapai beberapa kejayaan termasuk penurunan kuasa Kerajaan Pusat-negeri sebelum ini.