Tapi bukanlah pasal Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) yang memang dikongsi banyak pihak tiada keperluan penubuhannya buat masa ini.

Isunya tentang rasuah juga dan nak ingatkan sangat pelaku atau bakal suspeknya kesan buruk andai ditangkap, akan terpalit sama isteri dan anak-anak.

Bahkan, orang tua yang sedang meningkat usia pasti bersedih. Adik beradik, sanak-saudara pasti ‘cabut’ lari dari anda.

Sekali terpalit, rumah, harta dan kereta akan dibeku, disita atau dilucuthak harta terbabit.

Rasuah ini sebenarnya merosakkan reputasi diri - walaupun di kemudian hari tak ketahuan dilepaskan dari tuduhan itu.

Contoh klasik bagaimana pada 12 Februari 2004, kira-kira lima minggu sebelum pilihan raya umum, Tan Sri Kasitah Gaddam yang ketika itu Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi didakwa atas tuduhan amalan rasuah. Dakwaan berkaitan pengagihan saham yang dikatakan berlaku kira-kira enam tahun sebelum itu.

Beberapa hari sebelum pendakwaan, Kasitah sedang me­nikmati makan tengah hari bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anggota-anggota Kabinet di atas bot berkanopi yang sedang berlayar tenang di sekitar tasik Putrajaya. Sambil menikmati ikan salmon salai dan daging lembu dan kambing yang dimasak enak, Kasitah tidak menduga itu kali terakhir saat-saat cerianya bersama rakan-rakan Kabinet.

Ketika didakwa, Kasitah masih terpinga-pinga. Beliau dikatakan mengeluh ekoran tiada seorang pun dari sistem memberi amaran awal berkenaan pendakwaan yang dikenakan terhadapnya.

Ini berbeza dengan Datuk Mokhtar Hashim yang ketika ditangkap di rumahnya di Petaling Jaya pada 1982 atas tuduhan membunuh, perkara itu telah disampaikan kepadanya. Semasa ketibaan polis, beliau sudahpun bersedia.

Bagaimanapun Kasitah setelah melalui tempoh perbicaraan panjang, pada 12 Ogos 2009, beliau telah dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah tinggi daripada tuduhan rasuah dan melakukan peni­puan, hampir 13 tahun sebelum itu.

Gejala ini turut memalit Dr. Mohamad Khir Toyo. Selepas e­nam bulan menjalani hukuman penjara atas kesalahan salah guna kuasa, bekas Menteri Besar Se­langor itu dibebaskan dari penjara pada 29 Mac 2016 selepas mendapat kelulusan permohonan parol.

Mohamad Khir sebelum itu antaranya merayu agar hukuman penjara digantikan dengan khidmat masyarakat iaitu rawatan pergigian percuma kepada golongan miskin selama dua tahun.

“Saya masuk penjara dulu sebagai doktor gigi untuk khidmat pergigian kepada banduan di sana. Pusingan kedua, saya pula masuk sebagai banduan... dan te­ngok macam mana kehidupan bertukar 360 darjah,” kata Mohamad Khir dalam satu sidang akhbar waktu itu.

Itulah lumrah mereka di penjara, lebih-lebih lagi mereka yang dulunya amat dihormati dalam masyarakat, tetapi imej rosak dek penangan rasuah.

Semalam, Tumpang lalu berpeluang bercakap dengan seorang bekas Majistret Kuala Krai, Kelantan, Mohd. Firdaus Ramlan yang pernah dipenjarakan selama tiga tahun serta didenda RM40,000 kerana bahana rasuah.

Mohd. Firdaus yang ketika itu berumur 28 tahun dituduh meminta dan menerima suapan sebanyak RM8,000 bagi membantu seorang bekas penagih dadah.

Berkongsi keperitan di sebalik tirai besi, beliau yang dalam usia 33 tahun kini bergerak sebagai penceramah bebas memberitahu:“Saya kemudian ja­lani hukuman penjara selama setahun, tujuh bulan, empat hari dan 10 jam sebelum dibebaskan di bawah parol pada 27 Mei 2014.

“Dahsyat pengalaman saya dalam penjara... duduk pandang tembok sementara keluarga me­nghadap masyarakat. Waktu itu (lakukan kesalahan) saya masih muda, hanya fikir RM.

“Nasihat saya jangan start pun (rasuah) dengan jumlah yang sikit.”

Cuma semalam juga Tum­pang lalu cukup tersentak apabila Pengerusi cawangan DAP di Serian, Edward Andrew Luwak menyeru Menteri Sumber Manusia, Richard Riot untuk bercuti dari tugas, sementara SPRM menyiasat satu kes penyelewengan dana RM40 juta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Eh! Edward, apa sudah jadi dengan bos anda di Pulau Pinang, Lim Guan Eng? Kenapa anda tidak desak Guan Eng sahaja yang bercuti kerana Ketua Menteri itu sudah didakwa di mahkamah kerana dua kes rasuah?

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng, 57, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di Georgetown di bawah nilai pasaran.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.

Mahkamah Tinggi di Georgetown tetapkan 14 November tahun ini tarikh pengurusan dua kes rasuah berkenaan.

Terima kasih Mohd. Firdaus ke­rana sudi berkongsi kisahnya. Te­rima kasih juga kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad atas komitmen jitu membanteras barah rasuah ini.