Selain bapa animasi negara, Hassan Abd. Muthalib, Pengarah Urusan Quest Animations (M) Sdn. Bhd., Kamarudin Ismail atau lebih dikenali Kamn Ismail juga merupakan tokoh yang banyak menerajui usaha memartabatkan animasi tempatan.

Banyak pengorbanan dan kerja keras yang dilakukan beliau bagi memastikan matlamat menerbitkan animasi menjadi kenyataan. Tanpa usaha gigih beliau barangkali masyarakat tempatan tidak mengenali siri animasi pertama Usop Sontorian dan animasi terawal yang menggabungkan teknik 2D dan 3D iaitu Keluang Man.

Pada peringkat awal cadangan menghasilkan animasi, Kamn Ismail berdepan dengan banyak cabaran termasuk perasaan tidak yakin rakan seangkatan yang ragu-ragu untuk menceburkan diri di dalam bidang yang masih ‘mentah’ ketika itu. Pelbagai usaha dilakukan beliau untuk meyakinkan mereka supaya bersama-sama menyertai projek siri animasi pertama negara.

“Untuk mencapai kejayaan tersebut bukan mudah. Ketika itu sukar untuk menarik keyakinan penggiat industri lain kerana mereka tidak melihat masa depan animasi, justeru mereka enggan menanggung risiko yang boleh mengakibatkan kerugian kelak.

“Selepas berjaya membentuk sebuah produksi, kami berhadapan pula dengan masalah mencari tenaga kerja memandangkan tidak ramai yang menguasai teknologi membabitkan aspek teknikal dan penerbitan animasi menggunakan komputer dan ketika itu belum ada institusi yang melatih tenaga kepakaran tersebut. Justeru, apa yang kami lakukan ialah mencari tenaga kerja dari seluruh tanah air dan melatih mereka tentang teknologi animasi,” katanya yang juga Presiden Persatuan Animasi Malaysia (Animas).

Sementara itu Ibrahim Anon atau lebih dikenali Ujang yang popular dengan majalah Gila-Gila dan Ujang turut mengakui kesukaran pada peringkat permulaan kerana dia juga pernah meyakinkan majikannya supaya mengadaptasi watak komik ke medium animasi.

“Namun, pasaran animasi ketika itu dilihat masih kabur menyebabkan ramai yang ragu-ragu untuk menceburkan diri dalam industri berkenaan. Malah, pelbagai persoalan yang ditimbulkan antaranya boleh jualkah? Siapa yang mahu beli? dan banyak lagi,” katanya.

Sebelum itu Ujang juga tidak pernah terfikir anak tempatan boleh menghasilkan animasi memandangkan kartun yang disiarkan di televisyen banyak diterbitkan dari luar negara seperti Walt Disney.

“Persepsi itu berubah apabila Kamn pertama kali menunjukkan kepada saya animasi seekor burung terbang menggunakan teknik 3D yang dihasilkannya sendiri. Sebelum ini Kamn hanya buat perisian untuk syarikat lain jadi, bila melihat hasil kerjanya, saya tertarik sebab saya tidak pernah tahu yang lokal pun boleh buat.

“Bermula daripada saat itu, apabila Kamn pelawa sertai produksi animasinya di bawah syarikat Kharisma Publications pada 1993, saya pun membuat keputusan untuk berhenti kerja di bawah syarikat Creative Enterprise yang menerbitkan majalah Gila-gila.

“Keputusan itu dibuat disebabkan saya mempunyai cita-cita untuk melihat animasi pergi lebih jauh. Lagipun pada masa itu sudah 10 tahun saya berkecimpung dalam bidang lukisan membuatkan saya jemu melihat kartun yang ‘tidak bergerak’. Jadi saya mahu mencuba sesuatu yang baharu dan melihat kartun itu ‘hidup’ di skrin televisyen,” katanya.

Sebaik tenaga kerja berjaya dikumpulkan, projek Usop Sontorian dimulakan dengan Kamn memberi tumpuan terhadap kemahiran melibatkan teknikal dan komputer manakala Ujang pula melukis karakter, membuat skrip dan dialog.

“Projek itu mengambil masa setahun untuk disiapkan melibatkan banyak proses termasuk mencari dan melatih tenaga kerja. Jika Kamn mengajar cara menggunakan perisian animasi, saya pula mengajar cara melukis.

“Sepanjang proses pembikinan, memang banyak kerja dan cabaran yang terpaksa ditempuh. Walaupun gaji yang ditawarkan kepada pekerja serendah RM500, namun pekerja tidak pernah berputus asa di dalam memastikan matlamat dapat dicapai.

“Bermacam-macam halangan dan karenah juga terpaksa ditempuh termasuk mendapatkan slot rancangan di stesyen televisyen yang mengambil masa setahun untuk disiarkan. Dalam tempoh setahun menanti siri animasi itu disiarkan, saya mengisi kekosongan waktu itu dengan menghasilkan majalah Ujang di bawah syarikat yang sama,” ujarnya.

Meskipun, ramai yang memandang sinis terhadap kemampuan kumpulan produksi Usop Sontorian malah turut dibandingkan dengan animasi dari luar negara, namun mujur sebaik disiarkan ia berjaya menarik perhatian penonton sekali gus menjadi fenomena baharu dalam industri seni kreatif.

Bahkan rating rancangan Usop Sontorian juga ketika itu berjaya mengatasi kedudukan Doraemon yang sebelum itu menjadi pilihan dan kegemaran kanak-kanak.