Bukan dek kerana gempa bumi atau apa, tetapi kerana dentuman meriam buluh membelah suasana malam di bulan yang penuh dengan 1,000 kemuliaan ini.

Bagaikan perang, keadaan kampung-kampung pasti akan gamat dengan bunyi letupan bertalu-talu hasil bidikan meriam buluh buatan sendiri.

Malah ada yang bersaing sesama sendiri atau di antara kampung-kampung untuk menyaksikan meriam buluh siapa yang paling kuat dan dahsyat.

Itu adalah nostalgia bagi generasi yang lahir pada 1980, 1990-an atau yang terdahulu.

Keadaan itu sebenarnya membangkitkan rasa kemeriahan berpuasa umat Islam terutama yang tinggal di kawasan kampung. Tidak sah sekiranya tiada bunyi dentuman meriam buluh di hujung kampung ketika Ramadan menjelma.

Yang peliknya, pada masa itu jarang pula kita dengar berita mengenai kanak-kanak tercedera putus jari, tangan, buta mata dan sebagainya ketika bermain meriam buluh atau mercun buatan sendiri.

Kini, permainan meriam buluh dan mercun diharamkan oleh kerajaan ketika musim perayaan memandangkan kerap berlaku insiden kemalangan yang tidak diingini terutama terhadap kanak-kanak.

Walaupun masih kedengaran dentuman meriam buluh yang dibuat sendiri kanak-kanak mahupun orang dewasa ketika ini, ia sebenarnya lebih mendatangkan bahaya apabila ada sahaja berita-berita kemalangan yang tidak ingini berlaku.

Apa pun, bagi generasi sebelumnya, kenangan bermain meriam buluh ketika bulan puasa sudah pasti meninggalkan nostalgia yang tidak akan dilupakan, apatah lagi bagi kanak-kanak dan remaja lelaki ketika itu.

Lebih mencuit hati ketika itu apabila ada yang begitu bersungguh-sungguh membina meriam buatan sendiri menggunakan kreativiti yang tidak terjangkau dek akal.

Walaupun meriam buluh merupakan permainan tradisi, wujud juga tradisi permainan meriam yang menggunakan bahan lain seperti batang kelapa dan besi yang digunakan untuk menggamatkan suasana malam Ramadan dan Syawal.

Wartawan S2, FAIZAH IZZANI ZAKARIA mengimbau semula nostalgia bermain meriam buluh dalam kalangan generasi terdahulu yang pastinya akan sentiasa terpahat sebagai kenangan terindah menyambut Ramadan dan Syawal.