Watak-watak tersebut adalah ciptaan Prof. Dr. Hatta Azad Khan dalam skrip drama pentasnya bertajuk Syy!. Teater itu diarahkan oleh Mior Hashim Manap dan pertama kali dipentaskan di Panggung Bandaraya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Teater itu kemudian bertukar kepada drama televisyen selepas pengarah filem dan drama terkenal, Othman Hafsham tertarik dengan pementasan yang dibuat itu.

“Pada malam pementasan itu, Othman dan Tan Sri Jins Shamsuddin datang dan mereka duduk di barisan depan dengan saya. Saya tengok Othman paling kuat gelak dan selepas persembahan, dia beritahu saya dia berminat hendak jadikan siri televisyen,” kata Hatta.

Pada 1981, episod perintis Syy! sebagai sebuah drama komedi berdurasi 90 minit disiarkan di saluran TV3. Drama komedi pertama tempatan itu mendapat sambutan yang sangat hebat daripada penonton.

“Pada malam siaran itu, saya dan Othman tunggu siaran kerana hendak tengok maklum balas daripada penonton. Memang melucukan dan ramai orang gelak. Keesokannya, budak-budak yang masuk pejabat sudah mula ajuk apa yang kelakar dalam drama itu,” katanya.

Ekoran sambutan hebat itu, Othman yang pernah mengarahkan filem Adik Manja dan Mekanik menjadikan Syy! sebagai sitkom yang berdurasi 30 minit. Namun, bagaimana nama siri komedi itu berubah kepada Pi Mai Pi Mai Tang Tu mempunyai kisah di sebaliknya. Menurut Hatta, semasa menjadi sitkom, Syy! berpindah ke RTM tetapi selepas tidak disambung, sitkom itu kembali disiarkan di TV3.

“Apabila pindah balik ke TV3, episod pertama yang saya tulis berjudul Pi Mai Pi Mai Tang Tu tetapi masih di bawah Syy!. Pengawal rancangan di TV3 pada masa itu, Tan Sri Ahmad Othman Merican suka dengan tajuk itu dan terus tukar nama sitkom itu . Itu yang kekal sampai 18 tahun,” ujarnya.

Hatta yang kini menjadi Rektor Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sejak 2012, dilahirkan di Jerteh, Terengganu pada 29 Januari 1952. Bapanya merupakan bekas askar British yang berasal dari Pakistan manakala ibunya adalah anak jati Jerteh. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Pusat Jerteh sebelum melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh, Perak.

Minat wayang

Walaupun mengambil aliran sains di STAR dan bercita-cita menjadi doktor perubatan, minat Hatta terhadap bidang seni dan filem sudah berputik sejak di sekolah rendah. Hatta selalu mengikut bapanya pergi menonton filem di Kota Bharu, Kelantan yang terletak kira-kira 60 kilometer dari rumahnya. Pada masa itu, antara panggung wayang yang terkenal di Kota Bharu ialah Lido, Rex dan Capitol.

“Di pekan Jerteh ada satu panggung wayang bernama Bajar Cinema. Pemilik panggung wayang itu, Bajuria adalah kawan ayah saya dan dia juga berasal dari Pakistan sama seperti ayah saya.

“Panggung itu kemudian bertukar menjadi Rex dan banyak filem datang dari Lido, Kota Bharu. Saya menonton filem di situlah. Selain filem Melayu, ada filem Inggeris dan Hindi. Di situlah, saya kenal Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Datuk Aziz Sattar dan Allahyarham S. Shamsuddin yang tengah popular ketika itu,” katanya.

Selain itu, Hatta banyak mendapat banyak maklumat tentang filem Melayu melalui majalah-majalah filem seperti Majalah Filem, Gelanggang Film dan Mastika Filem yang dibeli oleh abangnya, Zaman pada tiap bulan.

Disebabkan pengetahuannya yang tinggi tentang perfileman, Hatta menjadi pelajar terbaik dalam subjek latihan bercakap ketika di tahun tiga. Beliau juga pandai melukis dan berkongsi pensil warna dan cat air milik Zaman untuk melukis potret dan pemandangan.

“Ketika berada di STAR, saya menjadi Presiden Persatuan Persuratan dan Kebudayaan Melayu. Walaupun pelajar aliran sains, saya ambil subjek tambahan lukisan. Cikgu yang mengajar lukisan minta saya uruskan dan berikan saya kunci studio seni sebab saya pelajar sains yang terbaik dalam seni lukis,” katanya.

Selepas tamat tingkatan lima, Hatta mendapat tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Kolej Perubatan Srinagar di Kashmir, India, namun beliau memilih untuk menyambung pengajian di Kolej Pertanian Malaya di Serdang kerana tidak dibenarkan oleh ibunya disebabkan tempat itu terlalu jauh.

“Saya pun fikir juga, kalau pergi Kashmir, mesti tidak lulus sebab tengok dalam filem, perempuan di sana cantik-cantik belaka. Kalau pergi sana, mesti saya mengurat, kahwin dan tinggal di sana,” katanya berjenaka.

Aktif dalam teater

Di Kolej Pertanian Malaya, Hatta sudah bergiat dalam teatar dan pernah membuat pementasan Ranjau Sepanjang Jalan serta Uda dan Dara. Di situ juga beliau berkenalan dengan Allahyarham Datuk Usman Awang dan sering berkunjung ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk berjumpa dengan Sasterawan Negara itu.

Namun, selepas dua tahun di kolej itu, Hatta gagal dalam peperiksaan kerana tidak meminati bidang pertanian. Beliau kemudian pulang ke Kuala Terengganu dan berkhidmat sebagai guru sementara dan wartawan sambilan di RTM Terengganu. Di RTM Terengganu, Hatta banyak terlibat membuat skrip drama, berlakon dan membaca berita. Selepas dapat sijil penuh dalam peperiksaan prauniversiti, Higher School Certificate (HSC), beliau menyambung pengajian dalam jurusan seni lakon, komunikasi dan seni halus di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Di situ, beliau rapat Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad dan banyak menulis skrip serta mengarahkan produksi di Panggung Sasaran.

Selepas tamat pengajian di USM, Hatta memilih untuk berkhidmat sebagai tutor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum mendapat biasiswa Skim Tenaga Pengajar Muda daripada UKM untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana dalam bidang rekaan pentas dan pengarahan di Universiti Purdue, Amerika Syarikat pada 1979.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu UKM dan memulakan kumpulan teater UKM dengan membuat banyak pementasan di luar kampus termasuk di Kompleks Budaya Negara dan Panggung Eksperimen .

Pada 1986, Hatta melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam pengajian filem di Universiti New South Wales, Australia. Sekembalinya dari Australia, beliau mengarahkan filem pertama Mat Som yang berjaya memenangi Anugerah Lakon Layar Terbaik di Festival Filem Malaysia dan terpilih menyertai Festival Filem Antarabangsa di Tokyo dan Fukuoka (Jepun), Hawaii (AS), Bangalore (India) dan Taipei (Taiwan) dan Jakarta (Indonesia).

Beliau juga pernah menghasilkan filem drama kemasyarakatan Wayang yang ditayangkan pada 13 November 2008. Antara skrip teater yang pernah beliau hasilkan ialah Mayat, Jebat dan Kerusi.

Peminat sitkom The Cosby Show, Perfect Strangers dan Dear John ini pernah menubuh Fakulti Seni Persembahan di Universiti Malaysia Sarawak serta berkhidmat sebagai Pengarah Akademi Seni Kebangsaan, Ketua Pengarah Istana Budaya dan Profesor serta Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik Universiti Teknologi Mara.