Misalnya dalam kalangan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), terdapat tujuh sekolah premier yang berasaskan satu gender semata-mata. Empat daripadanya sekolah lelaki iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) dan Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR). Manakala selebihnya ialah sekolah pe­rempuan iaitu Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Sekolah Seri Puteri (SSP) dan Sekolah Tun Fatimah (STF).

Enam daripada tujuh sekolah ini adalah 20 sekolah pertama atau kohort satu yang dikategorikan sekolah berprestasi tinggi (SBT) pada tahun 2010. Sekolah-sekolah ini bukan setakat cemerlang dalam peperiksaan awam sebagaimana ditunjukkan dalam keputusan SPM 2015 tetapi juga dalam bidang kokurikulum.

Lapan daripada 10 SBP terbaik berasaskan keputusan SPM 2015 adalah sekolah satu gender sahaja. Yang menakjubkan, bukan setakat SBP premier sahaja yang menerajui kedudukan 10 SBP terbaik berasaskan keputusan SPM 2015 tetapi juga meli­batkan sekolah satu gender yang baharu ditubuhkan selepas tahun 2000.

Antaranya Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (Saser) yang memulakan operasinya pada tahun 2002 setelah mengambil alih tapak lama SDAR. Sekolah ini yang hanya terdiri daripada pelajar lelaki telah beberapa kali diumumkan sebagai SBP terbaik berasaskan keputusan SPM. Satu lagi SBP lelaki iaitu Sekolah Menengah Sains Alam Shah (SMSAS) yang ditubuhkan pada tahun 2003 setelah mengambil alih tapak lama SAS turut sentiasa mencatatkan keputusan cemerlang dalam SPM.

Tidak terkecuali, Sekolah Menengah Sains Seri Puteri (Seseri) yang telah mengambil alih tapak lama SSP, juga sering kali berada dalam kedudukan SBP terbaik berasaskan keputusan SPM. Keputusan SPM 2015 bagi Sekolah Menengah Sains Pe­rempuan Seremban adalah paling menakjubkan kerana baharu sahaja ditubuhkan tetapi telah menduduki tangga kelima terbaik dalam kalangan SBP. Namanya sahaja sudah cukup menggambarkan bahawa sekolah ini hanya terdiri daripada pelajar perempuan.

Jadi, dalam hal ini bukan setakat tujuh SBP premier telah mencatatkan keputusan cemerlang dalam SPM 2015 tetapi juga SBP satu gender yang baharu sahaja ditubuhkan turut menca­tatkan keputusan cemerlang. Tidak cukup dengan bukti SBP, bukti sekolah harian seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma yang hanya terdiri daripada pelajar perempuan sudah cukup menunjukkan kecemerlangan sekolah satu gender. Sekolah ini telah berjaya mencatatkan keputusan SPM 2015 yang terbaik di seluruh negeri Kedah.

Dengan kata lain, sekolah ini telah berjaya mengalahkan ke­semua SBP di Kedah yang para pelajarnya terdiri daripada pelajar perempuan dan lelaki. Contoh lain ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat di Kelantan yang selalu mencatatkan keputusan cemerlang dalam SPM. Pelajar sekolah ini hanya terdiri daripada pelajar perempuan.

Dalam hal ini apakah keputusan SPM yang cemerlang dalam kalangan sekolah satu gender ini hanya sekadar kebetulan semata-mata? Atau ada resipi lain yang menjadi faktor kecemerlangan sekolah-sekolah ini? Misalnya, faktor guru yang cemerlang dan berdedikasi mengajar para pelajar.

Atau tradisi ilmu yang menyebabkan sekolah-sekolah ini sentiasa mencatatkan keputusan cemerlang dalam SPM?

Namun, bagaimana tradisi ilmu dibudayakan bagi sekolah satu gender yang baharu ditubuhkan tetapi turut cemerlang dalam SPM 2015?

Selain faktor guru dan tradisi ilmu, faktor bekas pelajar juga boleh membantu para pelajar sekolah satu gender mencatatkan keputusan cemerlang. Misalnya, ada dalam kalangan alumni sekolah-sekolah tersebut sentiasa mengadakan pelbagai program bagi memacu kecemerlangan pelajar. Program seperti bengkel motivasi, ceramah kerjaya dan sesi penerangan mengenai teknik belajar boleh melonjakkan lagi semangat para pelajar sekolah-sekolah tersebut untuk sentiasa mencatatkan kecemerlangan dalam SPM.

Mereka ini sanggup mengeluarkan wang dari poket sendiri semata-mata untuk melihat pelajar-pelajar sekolah tersebut kekal cemerlang. Malah, ada yang mengumpul wang setiap kali perjumpaan semula untuk membantu sekolah dalam banyak perkara. Sebab itulah kita akan lihat hubungan antara alumni dengan pihak sekolah sentiasa dijaga dan dipelihara agar manfaatnya dapat dinikmati oleh para pelajar sekolah tersebut.

Di samping itu, faktor Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang aktif membantu sekolah mampu memacu kecemerlang­an para pelajar. Malah, dalam banyak hal ibu bapa dan gurulah yang akan sentiasa memantau perkembangan pelajar dari semasa ke semasa termasuklah mengadakan pelbagai aktiviti yang bukan setakat berorientasikan kecemerlangan akademik semata-mata tetapi juga dalam kokurikulum.

Ini sememangnya jelas kelihatan bagi SBP yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam kerana ibu bapa sentiasa mengambil berat perkembangan anak-anak mereka meskipun berada dalam sekolah berasrama. Bukanlah hanya meletakkan kesemua tanggungjawab mendidik anak-anak mereka di bahu para guru semata- mata.

Semua faktor di atas boleh menyumbang ke arah kecemerlangan para pelajar sekolah satu gender. Namun di sebalik kesemua faktor ini mungkinkah ada faktor unik yang menyebabkan sekolah satu gender sentiasa mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam SPM. Misalnya, faktor mudah untuk diurus bagi sekolah satu gender berbanding sekolah yang terdiri daripada campuran pelajar lelaki dan perempuan.

Justeru, untuk mengetahui perkara ini secara mendalam, satu penyelidikan yang menyeluruh perlu dijalankan ke atas sekolah-sekolah satu gender yang telah mencatatkan keputusan cemerlang dalam SPM. Dapatan penyelidikan ini boleh membantu Kementerian Pendidikan merealisasikan lebih banyak lagi sekolah yang cemerlang pada masa akan datang.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).