Demikian status yang dimuat naik oleh seorang sahabat penulis yang cukup geram dengan fiil orang Malaysia yang kini menjadi antara masyarakat paling tidak bersyukur di dunia.

Pengumuman penangguhan per­mulaan sesi persekolahan daripada 5 dan 6 Januari kepada 11 dan 12 Januari depan ekoran banjir buruk yang melanda beberapa negeri di Semenanjung khususnya di Pantai Timur, yang sepatutnya disambut baik mengambil kira kesusahan dan kepayahan dialami mangsa banjir rupa-rupanya tidak disambut de­ngan dada terbuka oleh rakyat Malaysia khususnya para ‘pengkritik siber’.

Sebagaimana dinyatakan dalam status FB sahabat penulis itu, lebih ramai yang mengutik daripada berterima kasih.

Walaupun mengetahui betapa teruknya banjir yang melanda kali ini sehingga mengakibatkan lebih 150,000 penduduk di Kelantan sahaja terpaksa dipindahkan, banyak rumah musnah dan harta-benda hilang dihanyutkan air bah, mereka tetap mempersoalkan, “Perlukah diberi cuti (sekolah tambahan se­minggu lagi)?”

Hanya kerana mereka bukan mangsa banjir, rumah mereka tidak dilanda bah dan kehidupan mereka tidak terjejas sedikit pun, mereka mempertikai; “Kenapa cuti untuk semua?”

Puak-puak yang mempersoal dan mempertikai ini sebenarnya hanya mementingkan diri dan menutup mata daripada melihat apa yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka tidak mampu membaca rasional di sebalik keputusan menangguhkan sesi persekolahan untuk semua termasuk di negeri-ne­geri Pantai Barat yang tidak terjejas.

Hal ini kerana bagi puak-puak pengkritik ini dunia mereka sebenarnya tidak jauh dari laman dan belakang rumah mereka. Mereka tidak terfikir yang rakyat Malaysia kini boleh bekerja di Kuala Lumpur tetapi berasal dari Kelantan dan Terengganu, begitu juga sebaliknya.

Sepanjang cuti sekolah ini bukan sedikit yang menghantar anak isteri balik kampung, yang mungkin sahaja ‘terperangkap’ sama di pusat-pusat pemindahan sementara dan ‘terganggu’ jadual pulang ke rumah masing-masing di ibu kota kerana banyak jalan ditutup atau ‘terputus’ gara-gara banjir yang melanda.

Justeru keputusan Kementerian Pendidikan mengisytiharkan cuti sekolah seminggu lagi untuk semua termasuk negeri-negeri yang tidak terjejas dengan banjir, sudah tentulah dibuat setelah mengambil kira faktor berkenaan, faktor yang tidak dapat dilihat oleh para pengkritik dan `penyerang siber’ ini.

Mereka ini yang kebanyakannya hanya duduk-duduk di hadapan papan kekunci komputer atau berbaring sambil mendakap telefon mudah alih, cukup ligat dan proaktif ‘membuat ulasan selari’ tentang banjir yang melanda negara khususnya di Pantai Timur, lengkap dengan analisis hasil ‘fakta’ yang dikongsi daripada kumpulan WhatsApp `rumah sebelah’ atau status FB rakan yang dikongsi daripada rakan lain yang kenal dengan saudara rakan tadi yang kebetulan sekampung dengan rakan tempat kerja dan...(rantaian infiniti yang tidak diketahui siapa sumber asalnya).

Peliknya ramai yang menganggap ‘maklumat’ yang dikongsi dan diulang kongsi berkali-kali itu benar dan sahih belaka walaupun tidak ada sumber berwibawa mengesahkannya.

Bahkan ‘maklumat’ itu lebih dipercayai daripada berita yang di­siarkan dalam media arus perdana sama ada akhbar mahupun media elektronik yang mempunyai wartawan dan jurugambar yang turun sendiri ke lokasi kejadian, melihat dan merasai sendiri kesan bencana alam itu malah menemuramah sendiri mangsa-mangsa terlibat.

Maka timbullah kisah bayi mati kesejukan dan kelaparan di atas bukit di Kelantan lengkap `puisi nukilan ibu mangsa’ yang kononnya dikongsi di laman sosial. Secara logiknya bila si ibu yang baru kehilangan bayi itu hendak menulis puisi dalam keadaan sekarang? Walaupun ada status penafian dibuat juga di laman sosial, ‘puisi nukilan ibu mangsa’ sudah tersebar dan menjadi viral.

Tanpa rasa bersalah, puak-puak ini juga mereka-reka cerita itu dan ini, yang kalau dikaji niatnya tidak lain tidak bukan mahu mencetuskan kegemparan dan huru-hara.

Penat-lelah anggota pihak berkuasa seperti polis, tentera, bomba, Jabatan Pertahanan Awam, Rela di samping petugas dan sukarelawan parti politik yang bertungkus-lumus menghulur bantuan, usahkan hendak dihargai tetapi diperlekeh pula.

Lebih menjengkelkan apabila ada juga pengguna laman sosial ini yang terlebih kreatif mengeluarkan kenyataan ‘bagi pihak agensi tertentu’ atau ‘pemimpin tertentu’ sehingga menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.

Menjadi satu kerja tambahan pula kepada agensi kerajaan dan pihak berkuasa yang menjadi mang­sa tohmahan dan fitnah untuk membuat penafian dan menepisnya daripada berleluasa, sedangkan masa yang ada sepatutnya ditumpukan sepenuhnya untuk menyelamat mangsa banjir, membantu mereka dan memulihkan prasarana yang terjejas akibat bencana alam itu.

Alangkah baiknya jika golongan ‘penyerang siber’ ini sama-sama turun padang menyingsing seluar membantu petugas dan para sukarelawan menyumbang tenaga dan masa jika tidak pun wang ringgit kepada mangsa-mangsa banjir yang sedang dihimpit kesedihan dan kepayahan.

Namun kalau itu pun tidak hendak dilakukan, suka saya memetik kata-kata seorang rakan yang baru sahaja berhijrah menjadi insan lebih baik selepas cemuih dengan sikap manusia di Malaysia yang suka menjadikan amalan umpat keji dan fitnah sebagai budaya: “Kalau tak boleh nak tolong, tolong duduk diam boleh tak? Itu saja aku nak kata.”