Telefon bimbit khususnya, kurang diberi perhatian masyarakat kerana sifat fizikalnya yang kecil sehinggakan mereka sewenangwenangnya membuang peranti mudah alih yang tidak lagi digunakan itu ke dalam tong sampah atau tempat pengumpulan sampah.

Hakikatnya, komponen elektronik di dalam telefon bimbit mengandungi bahan pencemar seperti plumbum, kadmium dan merkuri yang tidak boleh terurai secara semula jadi.

Semakin banyak peranti mudah alih itu dibuang, semakin banyak bahan bertoksik terlepas ke alam sekitar terutama air bawah tanah, sekali gus menjejaskan kesihatan penduduk setempat.

Kadmium misalnya, boleh mengakibatkan penyakit paru-paru, kerosakan buah pinggang serta penyakit tulang manakala merkuri mampu merosakkan kulit dan menyebabkan kemerosotan ingatan.

Kajian oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat menunjukkan purata jangka hayat bagi telefon bimbit adalah antara 18 dan 24 bulan.

Statistik daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. pula menyatakan sebanyak 65.7 juta telefon bimbit telah didaftarkan di negara ini antara tahun 2009 dan 2014 yang kini boleh dianggap sebagai e-sisa.

Jumlah e-sisa tersebut yang berkemungkinan masih tersimpan di kediaman atau telah dibuang di tempat pelupusan sampah, belum lagi mengambil kira telefon bimbit yang dibawa masuk ke negara ini tanpa rekod sah.

Menyedari `bahaya senyap’ akibat daripada telefon bimbit terbuang itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada tahun lalu mengambil inisiatif melancarkan program e-Sisa Mudah Alih: Telefon Lama, Kehidupan Baharu.

Selain telefon bimbit, ‘e-sisa mudah alih’ juga merujuk kepada semua peranti mudah alih seperti telefon pintar, tablet, phablet, pengecas, cakera keras, pemain MP3 dan power bank.

Beberapa pemain industri telekomunikasi turut bekerjasama dalam menjayakan program kitar semula itu seperti Malaysian Technical Standards Forum Bhd. (MTSFB), Altel Communications Sdn. Bhd. (ALtel), Celcom Axiata Berhad (Celcom), Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi), Maxis Berhad (Maxis), Telekom Malaysia Berhad (TM) dan U Mobile Sdn. Bhd. (U Mobile).

Inisiatif yang diwujudkan MCMC itu juga adalah sebagai sokongan terhadap Resolution 79 yang dipersetujui dalam World Telecommunication Standardization Assembly (WTSA) pada bulan November 2012 bagi menggalakkan semua negara anggota mengambil
langkah mengendali dan mengawal e-sisa untuk mengurangkan bahaya akibat peranti telekomunikasi terpakai.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Ketua Jabatan Pembangunan Teknologi, Bahagian Teknologi dan Masyarakat MCMC, Badaruzzaman Mat Nor berkata, selain mengelakkan persekitaran terjejas dan kesihatan manusia terancam, lebih 90 peratus daripada
bahan yang digunakan dalam peranti mudah alih dan aksesori boleh
dipulihkan semula.

Malah, jelas beliau, melalui program kitar semula itu, pelbagai logam berharga seperti aluminium, emas dan tembaga dapat diekstrak daripada e-sisa. “Logam yang diekstrak daripada e-sisa adalah bernilai 40 hingga 50 kali ganda berbanding bijih yang diekstrak daripada lombong.

“Sebagai contoh, satu tan bijih emas menghasilkan kira-kira lima gram emas, manakala satu tan papan litar telefon bimbit boleh menghasilkan kira-kira 150 gram emas atau 30 kali ganda banyaknya,” katanya.

Kesemua bahan kitar semula itu kemudiannya akan diproses dan dijual kepada pihak pengeluar yang berkenaan.

Antara produk yang boleh dihasilkan daripada bahan terpulih itu ialah periuk keluli tahan karat, bateri, palet plastik dan jongkong emas.

Walau bagaimanapun, jelas Badaruzzaman, proses pemulihan tidak boleh dibuat sebarangan sebaliknya perlu dilakukan di fasiliti yang diperakui mengikut piawaian.

Beliau berkata, kesemua e-sisa mudah alih yang terkumpul akan melalui proses kitar semula dengan Shan Poornam Metals Sdn. Bhd. (Shan Poornam Metals).

Syarikat itu yang terletak di Perai, Pulau Pinang diiktiraf berkemampuan menyediakan kemudahan pemerolehan kembali penuh yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Bagi memudahkan pengumpulan e-sisa mudah alih, MCMC dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi menyediakan kotak pengumpulan di 72 buah kedai telekomunikasi di seluruh negara selain turut ditempatkan di Pusat Internet 1Malaysia (PI1M).

Melalui kitar semula e-sisa mudah alih, kita bukan sahaja dapat mencegah pencemaran, malah dapat memulihara alam semula jadi kerana bahan mineral yang digunakan untuk membuat telefon bimbit tidakperlu lagi dilombong sebaliknya menggunakan bahan terpulih.

Dengan sumber bumi ketika ini yang semakin terhad, penghasilan produk baharu daripada bahan kitar semula dapat mengurangkan penggunaan sumber bumi seterusnya membantu mencapai pembangunan yang mampan.

Kita perlu melihat usaha ini jauh ke depan, apa yang kita lakukan pada hari ini akan memberi kesan kepada generasi akan datang.

Tidak susah pun untuk mengitar semula kerana kita hanya perlu memasukkan e-sisa mudah alih ke dalam kotak pengumpulan dan proses seterusnya akan dilakukan oleh MCMC melalui rakan strategiknya.

Mulai hari ini, ayuh kita menjadi rakyat bertangggungjawab dengan mengutip semua e-sisa mudah alih dan memasukkannya ke dalam kotak pengumpulan!

Jom kitar semula e-sisa mudah alih!